Rabu, 24 Disember 2014

Mengapa kadang-kadang aku alim, kadang-kadang aku zalim


Hidup ini kita tidak boleh nak kata, banyak sebenarnya benda yang kita tidak tahu, melainkan Allah swt yang mengetahui rahsianya. Sungguh banyak benda yang kita tidak jangka sama sekali berlaku dalam kehidupan ini.

Ada manusia yang malamnya kuat beribadah, tapi siangnya kecundang dengan penangan hawa nafsu dan maksiat. Ada yang kita lihat dulunya dia sangat kuat berdakwah, suka menasihat, kuat tarbiahnya, kuat amalannya, namun pada hari ini gugur entah ke mana.

Benda ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, hatta iblis yang dahulu terkenal di kalangan malaikat sebagai hamba Allah swt yang soleh dan dekat dengan Allah swt, namun apabila Allah swt menghendaki sesesorang hambaNya sesat, tiada siapapun yang dapat menghalang apatah lagi manusia biasa yang sangat lemah.

Oleh itu, istiqamah benda yang sangat ajaib sekiranya dapat dilakukan. Sehinggakan amalan kecil sekiranya kita istiqamah melakukannya mampu mengatasi amalan-amalan yang hebat dan besar. Sebab itu Islam menganjurkan kita bersederhana dalam beribadat dan tidak gopoh untuk mencegah penyakit futur.

Diriku sendiri pun pernah mengalami dan merasai sendiri putaran roda dalam kehidupan ini. Ada masanya diriku sungguh kuat beramal ibadah sehinggakan syaitan dan nafsu juga tidak mampu menghalang ibadatku. Amalan-amalan wajib, sunat kesemuanya ku pulun perabis. Itu cerita saat diriku tengah kuat. Namun bak kata pepatah Melayu, "ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari."

Namun, sebagai manusia biasa, ada masa kita akan lemah. Itu adalah perkara normal dalam kehidupan ini. Saat itu, aku jatuh terduduk, tersembam dan kekuatanku seperti dipijak-pijak oleh sesuatu yang amat berat. Syaitan dan konco-konconya sudah tentu berpesta melihat keadaanku yang sangat lemah. Tiada tempat mengadu selain Allah swt. Walaupun dalam keadaan berat dan malas, aku gagahi juga bersujud memohon pertolongan. Allah swt lah sebaik-baik wakil dan penjaga.

Aku merasai sendiri betapa peritnya untuk bangkit semula apabila diri telah 'down'. Untuk bangun semula bukanlah sesuatu yang mudah kerana diri telah terluka dengan sangat teruk. Namun, apabila difikir-fikir semula, ada sebab dan hikmah mengapa Allah swt merasakan kepada hamba-hambaNya situasi seperti itu. Di kala itulah kita mula menghisab dan muhasabah semula apa yang perlu dipelajari di saat kita lemah. Namun, apabila kita serahkan urusan hidup kita kepada Allah swt dan kita bertawakal kepadaNya, nescaya Allah swt tidak akan meninggalkan kita begitu sahaja. Akan ada pertolongan daripada Allah swt melalui pelbagai cara dan kaedah.

Entry ini saya tulis untuk mengingatkan diri ini betapa bahayanya penyakit futur serta wabak-wabak yang akan mengikuti di sepanjang medan dakwah. Penyakit-penyakit ini sekiranya tidak dicegah dan dirawati sebaik mungkin akan membahayakan gerakan dakwah. Betapa ramai yang tergelincir, terus merajuk dan tidak mahu lagi bangkit. Betapa ramai yang tersembam mengharapkan huluran bantuan sahabat-sahabat, namun tiada siapa sudi menghulurkan tangan membantu. Tidak kurang juga yang menghilang tanpa khabar berita, sehingga menjadi lebih teruk daripada mad'unya dahulu. Nauzubillah..

Janganlah kita sesekali merasa takabbur dengan kekuatan sementara yang Allah swt pinjamkan. Janganlah sesekali kita memandang rendah kepada orang yang sedang merangkak dalam memperjuangkan agama Allah swt ini. Hari ini hari kita, dan belum tentu hari esok hari kita.

Dan kepada mereka yang lemah semangat, merasakan diri tidak bernilai di mata manusia, janganlah sesekali putus asa dari rahmat Allah swt. Allah swt senantiasa membukakan pintu keampunan dan rahmat kepada hambaNya. Mohonlah kepadanya di sepertiga malam terakhir memohon kekuatan dan dipermudahkan segala urusan. InsyaAllah :)

COPYPASTE DARI: MINDA HUSNUZZON


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]