Khamis, 16 Januari 2014

Aku Pengumpul Sampah



Aku seorang pengumpul sampah? ya, benar, semenjak kecil aku memiliki satu kecenderungan ini, Sukar Membuang Barang. Segalanya yang kuterima, aku miliki, pasti aku menyimpannya. Tak kiralah kertas gula-gula, mancis,, botol minyak cap kapak, tiket bas, tiket wayang, kotak rokok dan pelbagai macam lagi benda remeh temeh yang pada orang lain sudah tentu dibakul sampahkan, tetapi tetap kusimpan. Ianya seolah-olah memiliki nilai sentimental (Sentimental Value) yang sangat tinggi padaku. Semuanya ada kenangan yang tersendiri. Ini sama sekali tidak sama dengan hobi seperti mengumpul setem, pengikat kunci dan lain-lain. Ini adalah kegilaan yang melampau!


Contohnya seperti , inilah tiket wayang pertama yang aku tonton hasil wang gaji pertamaku bekerja, atau inilah bungkusan gula-gula pemberian wanita yang telah lama aku menjadi secret admire, atau tiket bas ini adalah kenangan aku berjalan ke sesuatu destinasi.

Segalanya kusimpan, dengan harapan, bila ada masa aku akan menyusunnya dengan kemas samada dalam frame, atau aku failkan atau akan aku katalogkan. Tetapi hari tersebut tak pernah tiba. Maka ianya terbungkus samada dalam plastik, envelope besar atau beg sekolah lamaku. Dan longgokan ini semakin hari semakin bertambah. Kotak kasut, kotak jam, beg plastik shopping, kotak-kotak hadiah harijadi....semakin padat ruang bawah katilku, rak buku dipenuhi dengan kotak-kotak tersusun dari kecil meninggi ke saiz besar.

Aku juga Tidak Sesekali Membenarkan sesiapa pun untuk menyentuh, mengemas atau membersihkan koleksi sampahku itu. Sekiranya berlaku, pasti berlaku pergaduhan yang besar dan panjang. Akibatnya aku pasti akan resah sendirian jika aku meninggalkan rumah dalam jangkamasa yang agak lama kerana aku khuatir barangan koleksi sampahku diusik orang.

Sukar membuang barangan juga menyebabkan aku SUKAR memberi kemaafan, SUKAR melupakan sesuatu, dan memiliki seakan kebolehan mengingati sesuatu perkara secara terperinci walaupun perkara itu telah lama berlaku berpuluh tahun dahulu.

Tidak hairanlah jika kadangkala aku bercerita kisah ketika zaman remaja kepada kawan-kawan lama, mereka mengakui bahawa apa yang kuceritakan itu samada mereka sudah tidak ingat lagi dan tak pasti benarkah pernah berlaku, dan ada juga yang ketika itu baru akan teringat semula dan tersenyum sendiri. Yang pastinya rakan-rakan lamaku pasti akan bertanya: "Macamana kau boleh ingat lagi perkara tu? ...

Aku tidak pernah menyedari sebelum ini, bahawa aku sebenarnya sakit, sebelum aku di diagnos oleh pakar bahawa aku adalah penghidap OCD (Obsessive Compulsive Disorder), rupanya telah lama aku memiliki simptom awal yang akhirnya membentuk OCD dalam diriku.

Sikap "Sukar Membuang Barangan" ini dikenali dalam terma OCD sebagai 'The Collector' atau dalam dunia perubatan psikiatrik sebagai COMPULSIVE HOARDING. (Pengumpul/penyorok Barangan).-CH


Rata-rata penghidap OCD selalunya dikaitkan dengan Compulsive Hoarding ini walaupun bukan kesemua OCDian memilikinya. Tetapi bagiku, CH ini yang datangnya lebih awal dalam diriku sebelum ganguan was-was yang lain, maka aku mempunyai pandanganku yang tersendiri terhadap CH ini.

Bagiku, gangguan was-was yang berlaku umpamanya gesaan mengulang semula mengambil wudhu, hanya kerana was-was samada niat yang dibaca tadi betul atau tidak, adalah berpunca dari sikap yang telah lama tertanam kesan daripada CH tadi. Ini ialah kerana, walaupun seseorang OCDian itu telah TAHU dan FAHAM bahawa membaca lafaz niat itu TIDAK PERLU tetapi mereka sangat sukar untuk membuang pattern ini. Ini adalah berpunca dari sikap "Sukar Membuang Barangan" yang ada pada mereka.

Bagiku, aku sendiri yang tidak mahu membuang pattern itu, secara aku tidak sedari kerana aku telah terbiasa untuk menyimpan segala-gala yang berkait dengan diriku. Sedangkan kertas bungkusan gula-gula pun tidak mampu kubuang kerana merasai betapa tingginya nilai sentimental pada kertas pembalut gula-gula itu, bagaimana aku mampu membuang pattern lama seperti membaca lafaz niat sewaktu takbiratul ihram walaupun aku juga tahu membaca lafaz niat itu TIDAK PERLU.

Jika dalam artikel Realiti Kehidupan Kita Adalah Refleksi Dalaman Diri Kita (klik untuk baca) kita melihat contoh pekebun yang mengecat daun untuk menghijaukan daunnya, maka begitulah jua dalam ikhtiar merawat penyakit gangguan was-was ini, kadangkala kita cuba mengecat daun, bukannnya menaburkan baja ke akar pokok.

Oleh itu, tindakan pertama-tama yang perlu anda lakukan sekiranya anda seorang OCDian yang memiliki Compulsive Hoarding ialah:

Membuang dan membakar segala 'Koleksi Simpanan Sampah' anda itu. Keberanian anda membuangnya itulah yang akan mencetuskan satu semangat dan kekuatan baru dalam diri anda yang akan membuat anda mampu untuk membuang pattern OCD yang ada pada diri anda seperti keupayaan untuk tidak mahu mengulang-ngulang mengambil wudhu, mandi wajib, mengulang solat, mengulang memeriksa tombol pintu dan lain-lain. Sebenarnya selama ini sikap terlalu sayangkan 'Nilai Sentimental" terhadap sampahlah yang membuatkan kita juga tanpa disedari amat sayangkan perkara- perkara remeh seperti proses mengulang-ulang semula perbuatan kompulsif itu.


Fikirkan begini: Ketika kita telah meninggalkan jasad kita, apakah yang kita bawa ke kubur? sekujur tubuh dibalut sehelai kain tak berjahit. Apakah sentimental value itu relevan disini?.....



PAUTAN DARI Wanista.com:
Adakah kamu salah seorang hoarder? Di bawah ada ciri-ciri utama seorang hoarder:

1) Rumah sangat berselerak akibat terlalu banyak barang
Biasanya hoarder kompulsif ini mempunyai rumah yang sangat berselerak dengan barang dan kadang-kadang sampai membukit. Mereka akan menyediakan ruang yang amat sedikit untuk perabot yang digunakan tidak kiralah di kawasan ruang tamu,bilik tidur, tandas dan dapur. Mungkin ada yang beranggapan bahawa golongan hoarder ini pemalas untuk mengemas rumah, tetapi sebenarnya mereka sayang untuk membuang apa-apa barang.

2) Barangan yang disimpan tidak tersusun
Bagi mereka yang mempunyai penyakit ini, biasanya mereka tidak menyusun barang dengan baik. Ada juga pengumpul barangan tahu dimana mereka meletakkan barang mereka, tetapi bagi yang mempunyai penyakit ini, rumah mereka terlalu banyak barang sehinggakan tidak tahu lokasi barang yang ingin dipakai. Mereka hanya mencampakkan dan menyimpan barang dimana-mana sahaja.

3) Barangan yang disimpan tidak mempunyai nilai
Ada orang yang suka menyimpan barang antik, tetapi bagi yang mempunyai penyakit OCD hoarder ini, mereka menyimpan semua barang yang mereka rasa sayang untuk dibuang, termasuklah pek makanan segera, plastik dan termasuklah barangan yang memang langsung tiada nilai. katalog, majalah atau surat khabar juga menjadi pilihan pengumpul barang dengan tiada niat untuk menjual kembali.

hoarder-3

4) Mempunyai binatang peliharaan yang banyak
Ada diantara mereka yang mempunyai penyakit ini memelihara haiwan yang banyak kerana kesunyian dipinggirkan masyarakat.

5) Rumah menjadi kotor
Akibat terlalu banyak barang, rumah akan menjadi kotor kerana tidak dapat dibersihkan. Biasanya sampah-sampah juga turut dikumpul kerana serba salah untuk dibuang. Lama kelamaan ia akan memberi kesan terhadap kesihatan kamu dan juga orang disekeliling.

6) Kamu tidak suka membuat aktiviti sosial di rumah kamu
Bagi yang mengalami masalah ini, biasanya mereka akan mengelak untuk membuat sebarang aktiviti dengan melibatkan orang luar di rumah mereka. Apabila gangguan obsesif-kompulsif ini berkembang ke tahap rasa malu, hoarder biasanya akan membawa diri meninggalkan rakan-rakan dan keluarga untuk menyembunyikan masalah tersebut. Akhirnya mereka tidak boleh menjemput rakan-rakan atau keluarga kerana tidak ada tempat untuk duduk atau melawat dengan selesa.

7) Menjadi begitu defensif apabila ditegur
Apabila ditegur biasanya mereka akan bersikap defensif dan berkata “Saya tahu ini kelihatan tidak kemas dan bersepah, tetapi saya merancang untuk menggunakan semua barang ini dalam masa terdekat”. Mereka juga tidak mahu menerima hakikat bahawa kediaman mereka terlalu kotor.

8) Enggan memberikan barangan yang tidak digunakan kepada orang lain
Oleh kerana terlalu banyak barang, adakalanya mungkin ada orang yang meminta untuk menggunakan barang tersebut. Bagi penghidap penyakit ini, mereka seboleh-bolehnya tidak mahu memberi kepada sesiapapun barang yang mereka kumpul walaupun mereka tidak gunakan barang tersebut.

Kalau kamu memberikan jawapan YA kepada lebih dari 3 fakta diatas, hati-hati! Kamu mungkin seorang hoarder.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]