Khamis, 16 Januari 2014

Aku Pengumpul Sampah



Aku seorang pengumpul sampah? ya, benar, semenjak kecil aku memiliki satu kecenderungan ini, Sukar Membuang Barang. Segalanya yang kuterima, aku miliki, pasti aku menyimpannya. Tak kiralah kertas gula-gula, mancis,, botol minyak cap kapak, tiket bas, tiket wayang, kotak rokok dan pelbagai macam lagi benda remeh temeh yang pada orang lain sudah tentu dibakul sampahkan, tetapi tetap kusimpan. Ianya seolah-olah memiliki nilai sentimental (Sentimental Value) yang sangat tinggi padaku. Semuanya ada kenangan yang tersendiri. Ini sama sekali tidak sama dengan hobi seperti mengumpul setem, pengikat kunci dan lain-lain. Ini adalah kegilaan yang melampau!


Contohnya seperti , inilah tiket wayang pertama yang aku tonton hasil wang gaji pertamaku bekerja, atau inilah bungkusan gula-gula pemberian wanita yang telah lama aku menjadi secret admire, atau tiket bas ini adalah kenangan aku berjalan ke sesuatu destinasi.

Segalanya kusimpan, dengan harapan, bila ada masa aku akan menyusunnya dengan kemas samada dalam frame, atau aku failkan atau akan aku katalogkan. Tetapi hari tersebut tak pernah tiba. Maka ianya terbungkus samada dalam plastik, envelope besar atau beg sekolah lamaku. Dan longgokan ini semakin hari semakin bertambah. Kotak kasut, kotak jam, beg plastik shopping, kotak-kotak hadiah harijadi....semakin padat ruang bawah katilku, rak buku dipenuhi dengan kotak-kotak tersusun dari kecil meninggi ke saiz besar.

Aku juga Tidak Sesekali Membenarkan sesiapa pun untuk menyentuh, mengemas atau membersihkan koleksi sampahku itu. Sekiranya berlaku, pasti berlaku pergaduhan yang besar dan panjang. Akibatnya aku pasti akan resah sendirian jika aku meninggalkan rumah dalam jangkamasa yang agak lama kerana aku khuatir barangan koleksi sampahku diusik orang.

Sukar membuang barangan juga menyebabkan aku SUKAR memberi kemaafan, SUKAR melupakan sesuatu, dan memiliki seakan kebolehan mengingati sesuatu perkara secara terperinci walaupun perkara itu telah lama berlaku berpuluh tahun dahulu.

Tidak hairanlah jika kadangkala aku bercerita kisah ketika zaman remaja kepada kawan-kawan lama, mereka mengakui bahawa apa yang kuceritakan itu samada mereka sudah tidak ingat lagi dan tak pasti benarkah pernah berlaku, dan ada juga yang ketika itu baru akan teringat semula dan tersenyum sendiri. Yang pastinya rakan-rakan lamaku pasti akan bertanya: "Macamana kau boleh ingat lagi perkara tu? ...

Aku tidak pernah menyedari sebelum ini, bahawa aku sebenarnya sakit, sebelum aku di diagnos oleh pakar bahawa aku adalah penghidap OCD (Obsessive Compulsive Disorder), rupanya telah lama aku memiliki simptom awal yang akhirnya membentuk OCD dalam diriku.

Sikap "Sukar Membuang Barangan" ini dikenali dalam terma OCD sebagai 'The Collector' atau dalam dunia perubatan psikiatrik sebagai COMPULSIVE HOARDING. (Pengumpul/penyorok Barangan).-CH


Rata-rata penghidap OCD selalunya dikaitkan dengan Compulsive Hoarding ini walaupun bukan kesemua OCDian memilikinya. Tetapi bagiku, CH ini yang datangnya lebih awal dalam diriku sebelum ganguan was-was yang lain, maka aku mempunyai pandanganku yang tersendiri terhadap CH ini.

Bagiku, gangguan was-was yang berlaku umpamanya gesaan mengulang semula mengambil wudhu, hanya kerana was-was samada niat yang dibaca tadi betul atau tidak, adalah berpunca dari sikap yang telah lama tertanam kesan daripada CH tadi. Ini ialah kerana, walaupun seseorang OCDian itu telah TAHU dan FAHAM bahawa membaca lafaz niat itu TIDAK PERLU tetapi mereka sangat sukar untuk membuang pattern ini. Ini adalah berpunca dari sikap "Sukar Membuang Barangan" yang ada pada mereka.

Bagiku, aku sendiri yang tidak mahu membuang pattern itu, secara aku tidak sedari kerana aku telah terbiasa untuk menyimpan segala-gala yang berkait dengan diriku. Sedangkan kertas bungkusan gula-gula pun tidak mampu kubuang kerana merasai betapa tingginya nilai sentimental pada kertas pembalut gula-gula itu, bagaimana aku mampu membuang pattern lama seperti membaca lafaz niat sewaktu takbiratul ihram walaupun aku juga tahu membaca lafaz niat itu TIDAK PERLU.

Jika dalam artikel Realiti Kehidupan Kita Adalah Refleksi Dalaman Diri Kita (klik untuk baca) kita melihat contoh pekebun yang mengecat daun untuk menghijaukan daunnya, maka begitulah jua dalam ikhtiar merawat penyakit gangguan was-was ini, kadangkala kita cuba mengecat daun, bukannnya menaburkan baja ke akar pokok.

Oleh itu, tindakan pertama-tama yang perlu anda lakukan sekiranya anda seorang OCDian yang memiliki Compulsive Hoarding ialah:

Membuang dan membakar segala 'Koleksi Simpanan Sampah' anda itu. Keberanian anda membuangnya itulah yang akan mencetuskan satu semangat dan kekuatan baru dalam diri anda yang akan membuat anda mampu untuk membuang pattern OCD yang ada pada diri anda seperti keupayaan untuk tidak mahu mengulang-ngulang mengambil wudhu, mandi wajib, mengulang solat, mengulang memeriksa tombol pintu dan lain-lain. Sebenarnya selama ini sikap terlalu sayangkan 'Nilai Sentimental" terhadap sampahlah yang membuatkan kita juga tanpa disedari amat sayangkan perkara- perkara remeh seperti proses mengulang-ulang semula perbuatan kompulsif itu.


Fikirkan begini: Ketika kita telah meninggalkan jasad kita, apakah yang kita bawa ke kubur? sekujur tubuh dibalut sehelai kain tak berjahit. Apakah sentimental value itu relevan disini?.....



PAUTAN DARI Wanista.com:
Adakah kamu salah seorang hoarder? Di bawah ada ciri-ciri utama seorang hoarder:

1) Rumah sangat berselerak akibat terlalu banyak barang
Biasanya hoarder kompulsif ini mempunyai rumah yang sangat berselerak dengan barang dan kadang-kadang sampai membukit. Mereka akan menyediakan ruang yang amat sedikit untuk perabot yang digunakan tidak kiralah di kawasan ruang tamu,bilik tidur, tandas dan dapur. Mungkin ada yang beranggapan bahawa golongan hoarder ini pemalas untuk mengemas rumah, tetapi sebenarnya mereka sayang untuk membuang apa-apa barang.

2) Barangan yang disimpan tidak tersusun
Bagi mereka yang mempunyai penyakit ini, biasanya mereka tidak menyusun barang dengan baik. Ada juga pengumpul barangan tahu dimana mereka meletakkan barang mereka, tetapi bagi yang mempunyai penyakit ini, rumah mereka terlalu banyak barang sehinggakan tidak tahu lokasi barang yang ingin dipakai. Mereka hanya mencampakkan dan menyimpan barang dimana-mana sahaja.

3) Barangan yang disimpan tidak mempunyai nilai
Ada orang yang suka menyimpan barang antik, tetapi bagi yang mempunyai penyakit OCD hoarder ini, mereka menyimpan semua barang yang mereka rasa sayang untuk dibuang, termasuklah pek makanan segera, plastik dan termasuklah barangan yang memang langsung tiada nilai. katalog, majalah atau surat khabar juga menjadi pilihan pengumpul barang dengan tiada niat untuk menjual kembali.

hoarder-3

4) Mempunyai binatang peliharaan yang banyak
Ada diantara mereka yang mempunyai penyakit ini memelihara haiwan yang banyak kerana kesunyian dipinggirkan masyarakat.

5) Rumah menjadi kotor
Akibat terlalu banyak barang, rumah akan menjadi kotor kerana tidak dapat dibersihkan. Biasanya sampah-sampah juga turut dikumpul kerana serba salah untuk dibuang. Lama kelamaan ia akan memberi kesan terhadap kesihatan kamu dan juga orang disekeliling.

6) Kamu tidak suka membuat aktiviti sosial di rumah kamu
Bagi yang mengalami masalah ini, biasanya mereka akan mengelak untuk membuat sebarang aktiviti dengan melibatkan orang luar di rumah mereka. Apabila gangguan obsesif-kompulsif ini berkembang ke tahap rasa malu, hoarder biasanya akan membawa diri meninggalkan rakan-rakan dan keluarga untuk menyembunyikan masalah tersebut. Akhirnya mereka tidak boleh menjemput rakan-rakan atau keluarga kerana tidak ada tempat untuk duduk atau melawat dengan selesa.

7) Menjadi begitu defensif apabila ditegur
Apabila ditegur biasanya mereka akan bersikap defensif dan berkata “Saya tahu ini kelihatan tidak kemas dan bersepah, tetapi saya merancang untuk menggunakan semua barang ini dalam masa terdekat”. Mereka juga tidak mahu menerima hakikat bahawa kediaman mereka terlalu kotor.

8) Enggan memberikan barangan yang tidak digunakan kepada orang lain
Oleh kerana terlalu banyak barang, adakalanya mungkin ada orang yang meminta untuk menggunakan barang tersebut. Bagi penghidap penyakit ini, mereka seboleh-bolehnya tidak mahu memberi kepada sesiapapun barang yang mereka kumpul walaupun mereka tidak gunakan barang tersebut.

Kalau kamu memberikan jawapan YA kepada lebih dari 3 fakta diatas, hati-hati! Kamu mungkin seorang hoarder.





Isnin, 6 Januari 2014

Afirmasi / Affirmation 2



Sabda Rasulullah S.A.W :

"Tetapi hendaklah orang yang memohon itu bersikap mantap seolah-olah pasti termakbul doanya - dan hendaklah ia memperbesarkan keinginannya untuk dikabulkan itu, kerana sesungguhnya Allah itu tidak ada sesuatu yang dipandang besar olehNya yang dapat diberikan kepada orang yang memohonnya itu.
(HR Imam Muslim)

Assalamualaikum, saya pernah menulis tentang AFIRMASI/ PENEGASAN suatu ketika dulu, dan diawal tahun baru ini mari kita refresh kembali tentang Afirmasi ini melalui artikel yang sangat padat dan terperinci mengenainya. Semoga kita semua beroleh manfaat dengan izin Allah.



AFIRMASI

Oleh: Dr. Mohamed Farook Raj Mohamed

Afirmasi merupakan teknik menyatakan sesuatu yang positif berulang kali dengan kuat sehingga Minda Bawah Sedar menerimanya sebagai sesuatu kepercayaan baru. Ia sangat berguna untuk menukar kepercayaan yang negative. Afirmasi juga sesuai untuk mempercepatkan mencapai matlamat.


Contohnya katakan seorang yang berpidato didepan orang ramai tetapi merasa gugup . Sebelum berpidato , beliau boleh berkata berulang – ulang kali

‘Saya seorang pemidato yang baik’

berulang kali sehingga dia sendiri hilang rasa keraguan nya dan boleh berpidato dengan baik. Ia sangat baik dilakukan sebelum berpidato, menghadiri temuduga , menghadiri peperiksaan dan sebagainya.

Jika seseorang ragu – ragu samada boleh mencapai matlamatnya, seperti samada mampukah dia membeli rumah seperti yang diidaminya, maka dia boleh membuat afirmasi

‘ Saya mempunyai rumah banglo yang saya idamkan’.

Di sini sebutkan jenis rumah yang menjadi idaman anda seperti rumah banglo, semi d atau kondo. Sebutkan berulangkali dan kalau boleh sebutkan dengan kuat sehingga Minda Bawah Sedar mula mempercayainya. Tidak lama kemudian anda akan rasa anda seolah sudah mempunyai rumah tersebut dan seterusnya akan dapat membeli rumah idaman anda.

Terdapat dua perkataan yang sangat penting yang MESTI DIELAKKAN semasa membuat afirmasi IAITU

a) Perkataan – TIDAK
b) Perkataan - AKAN

Ini adalah kerana Minda Bawah Sedar tidak mengenali dua perkataan ini. Ingat blog mengenai menumpukan perhatian kepada apa yang kita hendak. Dua perkataan ini telah saya terangkan dahulu tetapi saya akan mengulanginya untuk kebaikan kita.

Lihat Afirmasi ini

‘SAYA TIDAK MAHU GAGAL DALAM PEPERIKSAAN’

Oleh kerana Minda Bawah Sedar tidak mengenali perkataan ‘TIDAK’ maka Minda Bawah Sedar akan menerima Afirmasi tersebut sebagai :

‘SAYA MAHU GAGAL DALAM PEPERIKSAAN’ .

Maka orang itu pun akan gagal dalam peperiksaan. Mungkin orang itu sudahpun belajar dan bersedia untuk mengambil peperiksaan, tetapi afirmasi ini membuat Minda Bawah Sedar menganggap orang itu mahu gagal dalam peperiksaan. Maka dia tidak akan dapat mengingat apa yang dipelajarinya sehinggalah dia gagal , sesuai dengan afirmasinya yang silap tadi.

Satu contoh kesilapan besar seperti ini adalah kempen berhenti merokok oleh Kementerian Kesihatan. Hari ini , selepas beberapa tahun dilaksanakan ,Kementerian Kesihatan mengakui kempen ini tidak berkesan . Saya sudah pun mengetahui kempen ini akan gagal pada masa ianya dilancarkan. Sila lihat afirmasi yang digunakan dalam kempen berhenti merokok 'SAYA TAK NAK MEROKOK'. Afirmasi ini menggunakan perkataan 'TAK NAK' (iaitu TIDAK hendak merokok). Oleh kerana perkataan TIDAK digunakan ,maka Minda Bawah Sedar akan memahaminya sebagai ' Saya NAK merokok '. Maka tidak hairanlah orang yang selalu menyebut afirmasi ini akan merokok dengan LEBIH BANYAK.Maka kempen ini pun tidak berjaya. Jika ada pegawai yang terlibat dengan kempen anti merokok sedang membaca blog ini, tolong sampaikan pesanan ini kepada pegawai yang menjalankan program ini supaya ianya boleh diubah dan kempen ini akan berjaya. Afirmasi yang lebih sesuai adalah 'Saya benci rokok'

Maka ingat perkataan ‘TIDAK’ sekali – kali tidak boleh digunakan dalam Afirmasi .
Perkataan kedua yang perlu dielakkan adalah perkataan AKAN. Minda Bawah Sedar tidak memahami konsep masa. Satu - satunya masa yang ada didalam Minda Bawah Sedar adalah MASA SEKARANG . Saya telah terangkan dengan lebih mendalam dalam blog ‘ Menumpukan Perhatian Pada Masa Sekarang’. Maka elakkan perkataan ‘AKAN’ dalam Afirmasi anda.

Lihat Afirmasi ini

‘SAYA AKAN MEMBELI SEBUAH RUMAH BANGLO’

Bilakan masa akan itu? Setahun, dua tahun , 10 tahun? Buat Afirmasi yang lebih spesifik seperti yang saya terangkan dalam blog Matlamat. JANGAN gunakan perkataan AKAN dalam afirmasi masa

Juga Afirmasi juga sangat sesuai dibuat seolah perkara itu SUDAH TERCAPAI

Contohnya

SAYA KAYA DAN SEMAKIN KAYA SETIAP HARI

Sebutkan Afirmasi ini berulangkali setiap hari. Perlu juga ada matlamat yang lebih spesifik yang menyatakan apa yang dimaksudkan KAYA ,contohnya memiliki rumah banglo
(yang spesifik), wang yang ditentukan jumlahnya dan sebagainya. Afirmasi ini berguna bagi membuat Minda Bawah Sedar kita percaya yang kita boleh dan akan mencapai matlamat kita tadi.

Afirmasi yang baik adalah afirmasi yang disebutkan seolah – olah sudah pun tercapai.
Jika semasa menyebut afirmasi ini terdapat

1) rasa ragu – ragu samada matlamat yang disebut dalam afirmasi boleh dicapai atau

2) terasa satu perasaan negative seperti takut , risau jantung berdebar , perut kurang selesa dan sebagainya TERUSKAN afirmasi tersebut. Rasa ragu – ragu atau perasaan negative tadi menunjukkan terdapat satu kepercayaan negative yang menghalang matlamat yang disebut dalam afirmasi tadi dari tercapai. Contohnya, jika seorang menyebut afirmasi ‘ Saya seorang pemidato yang baik’ tetapi merasa ragu – ragu atau sebarang perasaan negative seperti jantung berdebar semasa menyebutnya, maka mungkin dia sendiri percaya dia bukanlah seorang pemidato yang baik. Maka dia perlulah meneruskan afirmasinya sehingga rasa ragu – ragu dan perasaan negatifnya hilang . Seterusnya dia akan PERCAYA bahawa dirinya adalah seorang pemidato yang baik dan seterusnya dia akan menjadi seorang pemidato yang baik.

Teknik visualisasi ( yang saya telah terangkan dalam blog visualisasi) juga berfungsi dengan cara yang sama seperti afirmasi. Visualisasi juga boleh dilakukan sehIngga rasa ragu – ragu dan perasaan negative hilang dan seterusnya matlamat tercapai.

Jadi ,amalkan teknik afirmasi selalu dan gunakannya selalu untuk mengubah sikap dan kepercayaan negative dan mencapai matlamat anda

Contoh:

Sikap negative...............................Afirmasi

1) Berhenti Merokok ......................... Saya benci rokok.Saya benci bau rokok
2) Berpidato .................................Saya seorang pemidato yang baik
3) Kesihatan .................................Saya sihat dan semakin sihat setiap hari
4) Gemuk .................................Saya suka bersenam setiap hari/
.................................Saya semakin slim
.................................Saya memilih makanan yang berkhasiat
5)Matlamat .................................Saya mempunyai RM 10000 dibank

Anda boleh membuat afirmasi untuk apa sahaja yang anda perlukan . Cuma jaga supaya perkataan TIDAK dan AKAN tidak digunakan dalam afirmasi anda. Juga sebutkan afirmasi seolah - olah ia SUDAH TERCAPAI.

Contohnya JANGAN sebut ‘Saya boleh menjadi seorang pemidato yang baik’ atau ‘Saya akan menjadi seorang pemidato yang baik’ . Sebaliknya sebutkan ‘ Saya seorang pemidato yang baik’ seolah – olah anda sudah pun menjadi seorang pemidato yang baik .

Teknik afirmasi ini boleh digunakan untuk mengubah sebarang sikap negative atau mencapai matlamat dengan lebih cepat. Afirmasi lebih berkesan jika digunakan serentak dengan teknik visualisasi. Semasa menyebut ‘Saya seorang pemidato yang baik’, bayangkan anda sedang berpidato dengan baik didepan orangramai. Jika anda tidak dapat melakukan teknik afirmasi dan visualisasi serentak, lakukan kedua – dua afirmasi dan visualisasi satu demi satu . Contohnya lakukan teknik visualisasi selama 5 minit di ikuti teknik afirmasi selama 5 minit. Atau pilih teknik yang sesuai dengan keadaan anda. Bila menunggu di pejabat pos, teknik visualisasi adalah lebih sesuai . Bila berseorangan dibilik , barulah amalkan teknik afirmasi.

Saya harap anda tidak akan mengabaikan teknik afirmasi dan visualisasi ini Seseorang mungkin akan menyesal kerana mengabaikannya apabila pada satu hari nanti bila dia mengamalkan teknik afirmasi dan visualisasi dann mendapati ia sangat berkesan. Saya tahu anda akan menggunakan teknik ini dan mendapat menafaatnya.


Credit to: Dr. Mohamed Farook Raj Mohamed


ARTIKEL INI ADALAH HASIL PENULISAN Dr. Mohamed Farook Raj Mohamed DAN IA ADALAH DARI PAUTAN BLOG BELIAU 'MENJANA KEJAYAAN MELALUI PERUBAHAN MINDA'. SILA KLIK PADA LINK UNTUK MEMBACA HASIL PENULISAN BELIAU YANG SANGAT BERMANFAAT.

Ahad, 5 Januari 2014

Diary Kesyukuranku

Assalamualaikum,

Selamat menyambut tahun baru masihi 2014 kepada semua yang sudi singgah ke blog ini.

Firman Allah: Ini adalah kurniaan Tuhanku untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau sebaliknya dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya kembali kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang ingkar maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah. (An-Naml-40)

Sepanjang hari ini mungkin banyak perkara yang tidak selesa, tidak baik atau ingin kita hindari, telah kita alami, betulkan? Dan kita masih suka memperkatakan atau merungut tentang perkara-perkara tersebut.

Tetapi saya yakin, walaupun ada banyak perkara 'tidak selesa' yang berlaku, tetap ada perkara-perkara baik yang hadir dalam kehidupan seharian kita. Tetapi, adakah kita perasan dengan perkara tersebut? Jika perkara buruk kita akan berkeluh kesah dan merungut, apakah kita ada berterimakasih pada perkara yang baik walau sekecil mana pun perkara itu?

Adalah sangat mudah untuk menyebutkan perkara-perkara yang kita tidak miliki, tetapi, luangkanlah sedikit masa setiap hari untuk bersyukur sekurang-kurangnya pada 10 perkara yang kita perolehi pada hari ini.

1. Bayangkan seorang kanak-kanak kecil yang kamu kenali, yang kamu berikan hadiah atau makanan, tetapi kanak2 itu tidak menghargainya, membuangnya atau mengutuk pemberian kamu itu, adakah kebarangkalian untuk kamu membelikan lagi hadiah kepada kanak2 itu?

2. Bagaimana pula jika kanak-kanak itu menunjukkan perasan gembira dan suka pada pemberian kamu itu, mengucapkan terimakasih, menjaga dengan baik hadiah pemberian kamu, sering menunjukkan pada kamu hadiah itu setiap kali kamu berjumpa dengannya? Bagaimanakah pula kebarangkalian untuk kamu memberikan lagi hadiah kepada kanak-kanak itu?

Saya ingin mengajak pembaca tuliskan 10 perkara baik yg kita dapat hari ini, walau perkara kecil seperti ada yang masih menyapa kita, memberi salam dan senyuman pada kita, ada yang 'likes' status kita di facebook,, ada budak beri gula-gula kepada kita , masih bernafas dan lain-lain lagi. Sebaiknya setelah kita bersiap sedia hendak tidur dimalam hari, kita boleh melakukan hal ini.


Selepas menulis itu, cuba hayati setiap 1 perkara yg ditulis dan bersyukur dari hati yang ikhlas pada Allah dgn rasa terimakasih yg mencetuskan perasaan sebak didada kerana terharu dgn kesudianNya memberikan kita rezeki ke atas semua perkara tu. Saya yakin tentu ada lebih dari 10 perkara. Sebaiknya tulis di atas kertas, bukan dikomputer atau phone. Boleh juga dijadikan sebuah buku "diary kesyukuranku" . Sebenarnya,hampir 95 peratus pengamal LOA memiliki diary kesyukuran ini. Buat setiap hari dgn konsisten dan insyaallah anda akan dapat nampak sendiri beberapa perubahan positif yang tak disangka-sangka dalam hidup anda menjelang seminggu, cubalah sebagai ikhtiar, mudah dan percuma, insyaallah.

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]