Jumaat, 27 September 2013

KESUDIAN...

Law Of Abundance - Hukum Kelimpahan. (Con't 3)- KESUDIAN

Sambungan dari LINK

Bayangkan anda seorang yang bekerja sebagai kru sebuah syarikat perfileman. Anda dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan membawa peralatan kamera ke set penggambaran. Kerjaya anda ini membuatkan anda mengenali ramai artis-artis handalan yang berlakon dibawah pengarah tersohor yang menjadi majikan anda.

Keunggulan pengarahan majikan anda membuatkan filem-filemnya sangat popular dan disukai ramai, tak kurang juga yang mencecah tahap 'box-office' dan pengarah ini telah berjaya menghasilkan ramai artis yang menjadi pujaan peminat-peminat seluruh negara.

Dalam diam anda amat mengkagumi karisma dan kewibawaan majikan anda ini walaupun pada hakikatnya, majikan anda (pengarah tersebut) amat jarang berkomunikasi dengan anda kerana anda hanyalah seorang tukang angkut kamera walaupun terlalu banyak masa yang telah anda habiskan bersama-sama pengarah tersebut. Sebenarnya diri anda amat berminat dan teringin untuk berlakon terutama dibawah pengarahan pengarah tersebut tetapi anda sendiri akur bahawa siapalah diri anda disisi pengarah tersebut, maka anda hanya memendam sahaja keinginan anda itu sejauh mungkin.

Tetapi, pada suatu pagi, di sebuah set penggambaran, berlaku sesuatu yang amat diluar jangkaan anda!

Pagi tersebut, pengarah tersohor ini telah membuat pengumuman bahwa setelah selesai penggambaran filem ini, beliau akan mengarahkan sebuah filem baru yang mana susunan skrip dan lakonlayar filem baru tersebut adalah hasil karya pengarah itu sendiri. Tentulah ianya sesuatu hasil yang sangat hebat! Dan yang sangat mengejutkan sekali ialah:

PENGARAH TERSEBUT TELAH MEMILIH DIRI ANDA SEBAGAI WATAK UTAMA DALAM FILEM TERSEBUT!


Hal ini tentu sahaja membuatkan anda terasa bagai hendak pengsan bila memikirkan bagaimanakah dengan tiba-tiba sahaja pengarah tersebut sudi memberi perhatian kepada diri anda hingga begitu rupa! Sedangkan selama ini anda memikirkan bahawa pengarah tersebut tidak pernah langsung menghiraukan tentang diri anda. Beberapa malam berikutnya anda tidak lena tidur malam kerana terlalu gembira, apatah lagi anda telah pun diberikan sesalinan skrip sebagai tugasan anda untuk filem baru tersebut.

Betapa terharu dan berterimakasihnya anda kepada pengarah tersebut kerana kini anda telah sedar bahawa selama ini, diluar kotak pemikiran anda, diri juga anda dihargai, juga diberi perhatian yang sama oleh pengarah tersebut seperti pekerja-pekerja dan artis-artis dibawah penerbitannya.


..............................................


Jika dalam artikel yang lalu, saya bermukadimah dengan kisah ibubapa yang hebat,apakah pula yang tersirat disebalik mukadimah kru filem pada kali ini?

Samada sedar atau tidak, kita, manusia ciptaan Allah ini, pernah 'tidak wujud / tidak ada' pada suatu masa dahulu. Dan pada ketika anda sedang membaca penulisan ini, tenyata anda wujud dan hidup dikalangan segala makhluk ciptaanNya didalam dunia ini, pada hari ini. Dan anda turut sama merasakan serta menyumbangkan antara segala kisah dan cerita dalam kehidupan dunia ini.

Pada hakikat yang sebenarnya, segala yang kita alami, hadapi, rasai ini adalah penciptaan Allah yang bersifat baru, pernah tiada langsung dan kemudian diadakan olehNya. Alam semesta ini pernah 'tiada' dan sepi. (sepi itu pun tidak wujud!) Tetapi, dengan 'kesudian dan kemahuannya' maka diciptakanNya alam semesta ini maka terciptalah segala apa yang kita hadapkan sekarang ini.

Pernahkah kita terfikir betapa hebat dan baiknya Allah SWT yang berkesudian ingin menciptakan sebuah kehidupan untuk makhluk yang bergelar manusia di sebuah planet yang kita panggil bumi ini? Dan penciptaan inilah yang merangkumi segala kisah suka duka kehidupan manusia termasuk diri kita.

Dengan adanya KESUDIAN ALLAH, maka ada kisah kita pergi ke sekolah, kita bercinta, kita putus cinta, kita masuk ke IPT, kita bekerja, bertukar kerja, menikmati muzik, menonton filem, ada pula yang berlakon dalam filem yang menjadi tontonan kita, ada pula pencipta lagu, kemudian kita berusaha memiliki kenderaan, dan terdapat pelbagai pula pilihan kenderaan, ada yang kita teringin tapi dirasakan tak mampu, kemudian pada suatu ketika kita dimampukan pula.

Kemudian berdepan dengan cabaran dan permasalah hidup dan ekonomi, kenaikan harga minyak, gula, cabaran-cabaran politik, pertelagahan dalam pemahaman kebenaran agama, masalah sosial dan beribu macam pelbagai lagi.

Kemudian kita merasai alam perkahwinan, ada yang kekal, ada yang separuh jalan, dan pada hari ini kita sedang sibuk pula membuat persiapan untuk majlis perkahwinan anak-anak kita dan kita sangat seronok dan adakalanya sedih dan sesak dalam melalui kepelbagaian rentak dan tuntutan kehidupan ini.

Terfikirkan bahawa adanya segala macam' pelbagai' ini hanyalah dengan adanya 'KESUDIAN' Allah untuk menciptakannya?

Terfikirkah kita dalam keseronokkan kita menyiapkan majlis perkahwinan anak kita, dalam kesibukan membuat jemputan, menguruskan dewan dan katering, segalanya ini adalah atas KESUDIAN Allah untuk menciptakan dan memasukkan senario berbentuk begini dalam kehidupan manusia diplanet bumi?

Dan terfikirkah kita bahawa dari awal penciptaan manusia iaitu Nabi Adam AS hingga keakhir zaman kelak, yang mana kehidupan ini penuh dengan 'pelbagai macam' ini, salah seorang dari makhluk manusia yang mendapat KESUDIAN untuk turut sama merasakan 'pelbagai macam' ini adalah ANDA?

Maha Suci Allah, sesungguhnya setiap sesuatu yang diciptakanNya walaupun seekor semut tidak pernah sesaat pun lari dan luput dari PERHATIAN dan KASIH-SAYANGNYA, setiap penciptaanNya adalah istimewa disisiNya.

Firman Allah:

‘Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi, melainkan Allah-lah yang
memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat
penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Luh Mahfuz).’

(Surah Hud, Ayat 6)


Dan untuk kesekian kalinya, pernahkah kita merasa teruja, gembira atas KESUDIANNYA ini, dan menghargai KESUDIAN tersebut dengan bersyukur dan berterimakasih padaNYA? Merasakan dengan takjubnya bahawa KETIKA Dia sedang membuat penciptaan-penciptaanNya, Dia sudi memilih kita, diantara entah berapa juta billion manusia yang akan diciptakannya untuk merasai 'pelbagai macam' kehidupan ini......


Firman Allah:

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.."
(Surah Al-Hadid: 22-23)


Isnin, 9 September 2013

AKU TAHU




AKU TAHU TAPI BUAT-BUAT TAK TAHU



AKU TAHU hidup dunia cuma sementara
tapi seolah-olah kuhidup untuk selamanya

AKU TAHU segala amalan bakal dihisab,
tapi masih kulupakan alam akhirat

AKU TAHU Raqib 'Atid setia di sisi mencatat amalan
tapi maksiat masih berterusan

AKU TAHU solat itu penting
tapi selalu memandangnya enteng

AKU TAHU aurat itu aib diri,
tapi masih tak pandai menjaga diri

AKU TAHU cinta itu fitrah,
tapi aku jadikannya fitnah

AKU TAHU apa itu dosa apa itu pahala,
tapi aku seolah tak endahkannya

AKU TAHU Allah sentiasa memerhati
tapi sering kulakukan maksiat secara sembunyi

AKU TAHU ujian Allah pasti ada hikmahnya,
tapi aku sering berputus asa

AKU TAHU aku ini hambaNYA
tapi masih hanyut dengan dunia

AKU TAHU azabnya api neraka,
tapi masih kulakukan maksiat padaNYA

AKU TAHU betapa nikmat kehidupan di syurga
tapi tak berusaha untuk medapatkannya

....................

Ya Allah, banyaknya benda yang telah AKU TAHU, tapi buat seolah- olah tidak tahu..



Sumber: facebook
Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]