Isnin, 1 Julai 2013

Sumpahan Mentari Se-galah

Bismillahirahmanirahim

Blog ini pernah saya updatekan dengan entry bertajuk Dhuha seketika dulu. Surah ini merupakan surah ke 93 dalam Alqur'an. Surah Ad-Dhuha dimulakan Allah dengan satu sumpah iaitu "Demi waktu Dhuha" iaitu satu jangkawaktu yang bermula dari naiknya matahari lebih kurang paras setinggi galah atau dengan ertikata lain, lebih kurang 2 jam selepas waktu subuh sehingga sekitar pukul 12.00 tengahari.


Perkataan "Demi" dalam Al-Qur'an menurut tafsiran bererti SUMPAH . Dalam surah ini terdapat dua waktu yang disebutkan oleh Allah iaitu:

1. Demi waktu dhuha (matahari naik kadar se-galah)

2. Dan malam apabila ia sunyi-sepi


3. Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
(QS Ad-Dhuha: 1-3)

Mari kita perhatikan hakikat betapa pentingnya waktu Dhuha itu sehingga Allah bersumpah dengan waktu Dhuha.

Cuba fahami perkataan sumpah itu sebagai suatu sumpahan terhadap jangkawaktu Dhuha yang ditetapkan itu. Sumpahan biasanya difahami oleh masyarakat kita sebagi sesuatu yang negatif (Cursed and Spells). Seperti contohnya:

"Si Tenggang disumpah menjadi batu akibat kedurhakaannya pada ibunya."

Akan tetapi sumpahan yang diletakkan dalam jangkawaktu yang dinamakan waktu Dhuha ini adalah sumpahan yang baik, sepertimana yang kita sedia pelajari dan dengari bahawa melakukan solat sunat dalam jangkawaktu ini (Solat Sunat Dhuha) merupakan antara ikhtiar dan jalan mendatangkan kelimpahan rezeki dalam kehidupan.

Ianya lebih kurang dapat difahami bahawa, Satu sumpahan telah diletakkan dalam jangkawaktu yg tertentu dimana, sesiapa yang melakukan solat sunat dalam jangkawaktu ini akan menerima beberapa benefits yang disertakan dalam pakage Dhuha ini.

Sabda Nabi SAW:

Daripada Buraidah katanya telah bersabda Rasullah SAW:

" Pada diri manusia ada 360 ruas tulang, dituntut ke atasnya untuk memberi sedekah bagi setiap satu daripada ruas-ruas tersebut.

Para sahabat bertanya, 'Siapakah yang terdaya melakukan yang demikian ya Rasulullah ? ' Lalu baginda bersabda, ' Boleh juga dilakukan dengan menanam kahak (membersihkan kotoran) di lantai masjid atau menghilangkan halangan di jalan, jika tidak dapat dilakukan,

maka cukup baginya dengan melakukan dua rakaat solat Dhuha ."

(HR Ahmad dan Abu Daud dan dengan lafaz lain oleh muslim )

Oleh yang demikian, dapat kita fahami disini, bahawa antara fadhilat/ benefits
dari melakukan solat sunat dalam jangkawaktu Dhuha ini, dapat kita lihat dari ayat 4 hingga 8 surah Ad-Dhuha iaitu:

Terjemahan Surah:

4. Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

5. Dan kelak Tuhanmu pasti akan memberikan kurniaNya kepadamu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda dan hatimu menjadi puas.

6. Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia melindungimu

7. Dan didapatiNya engkau kebingungan mencari-cari, lalu Dia memberikan petunjuk

8. Dan didapatiNya engkau miskin (kekurangan) , lalu Dia memberikan kekayaan (mencukupkan keperluan)
(QS Ad-Dhuha: 4-8)

Huraiannya:

a. Mendapat kesudahan kehidupan yang baik, WALAUPUN keadaan kehidupan pada awalnya buruk.

b. Mendapat KEJAYAAN DAN KEBAHAGIAAN didunia dan akhirat yang maksima iaitu sehingga HATI MENJADI REDHA DAN PUAS dengan kejayaan dan kebahagiaan itu.

c. Menerima perlindungan dan pemeliharaan walaupun ketika bersendirian atau sebatang kara.

d. Mendapat petunjuk jalan yang benar (hidayah/jalan keluar/idea) apabila menemui sesuatu permasalahan dan musibah kehidupan.

e. Dari segi ekonomi dan kerohanian, akan diberikan harta kekayaan dan dicukupkan keperluan dirinya.


TETAPI: terdapat pantang larang serta komitmen yang perlu dipatuhi sekiranya ingin mendapatkan perkara-perkara yang diatas iaitu:

Terjemahan Surah:

9. Oleh itu, terhadap anak-anak yatim, janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

10. Adapun terhadap orang-orang yang meminta-minta maka janganlah engkau tengking herdik;

11. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dengan bersyukur)
(QS Ad-Dhuha : 9-11)

Huraiannya :

a. Dilarang berlaku kasar kepada anak-anak yatim dan perkara-perkara lainnya temasuk memakan harta anak yatim yang berada dibawah tanggungjawab kita.

b. Dilarang menengking herdik (berlaku kasar) kepada orang yang meminta sesuatu dari kita samada ingin memohon bantuan meminjam wang, meminta sedekah, derma dan apajua, JIKA KITA TIDAK MAHU memberikan bantuan atau pertolongan atau tidak berkemampuan untuk membantu, tolaklah dengan lembut dan beralasan. Jangan mengutuk,menghina dan memandang rendah pula akan kelemahan orang yang meminta-minta itu kerana kita tidak akan terfikir apakah asbab yang membawa kepada diri orang itu sehingga menjadi orang yang meminta-minta. Dan ingatlah, takdir boleh berubah menjadi terbalik, mungkin suatu hari nanti kita pula akan jadi peminta yang meminta-minta kepada orang itu tadi.

Ini termasuk juga binatang-binatang seperti kucing tak bertuan yang mengiau pada kita meminta makanan ketika kita sedang makan direstoran atau dimana jua. Jauhi sikap menghalau kucing itu apatah lagi menendang atau membaling batu padanya.

c. Zahirkan serta sebutkan nikmat-nikmat Tuhan yang telah kita terima dari Allah dengan mensyukurinya secara tepat.

Sekarang, kita dapat melihat Surah Ad-Dhuha ini sebagai sebuah pakage mudah yang sangat istimewa. Walau apapun, lakukan segalanya dengan ikhlas dan niat semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah, dan ingatlah bahawa, tidak akan bergerak atau berlaku sesuatu itu MELAINKAN dengan keizinan dan kehendak Allah SWT semata-mata.

Wallahuaklam, ini hanyalah sebuah penelitian, sila tegur sekiranya khilaf.


Assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]