Rabu, 31 Julai 2013

OCD, Lintasan Hati dan Ramadhan 2

Nur
Assalamualaikum…..terima kasih kerana memberikan keterangan yang terperinci..tapi saya nak kongsi masalah saya…..Bila lintasan gangguan itu ada dlm hati, saya akan jadi bimbang dan was-was samaada saya ada melafazkan atau tidak. Mula-mula saya berasa bimbang kemudian bila asyik fikir kebimbangan tersebut terus lintasan tersebut naik ke fikiran saya maksudnya lintasan fikiran memang suruh saya melafazkan…saya berusaha melawannya tapi tetap ada dalam fikiran saya…saya tak tahu mcm mana nak lakukan. Sebab kekadang saya rasa fikiran saya mcm dah dikawal oleh sesuatu. Saya dah tak boleh berfikir secara rasional. Tapi bila satu tahap saya sedar apa berlaku dalam diri saya adalah semua salah. Wallahualam.

....................................................................................


@ Nur,

Wa’alaikumussalam,

Saya faham apa yg Nur rasai itu dan saya harap sangat supaya Nur bersabar. Saya nak tanya, ada tak Nur baca perkongsian tentang Syndrome Tourette? Disini saya pautkan sedikit:

“Sindrom Tourette merupakan gangguan pada saraf otak iaitu neurological yang boleh mengakibatkan berlakunya tingkah-laku, perbuatan atau kata-kata diluar kawalan, tidak disengaja atau berulang-ulang yang dikenali sebagai TICS

Tics dapat didefinasikan sebagai PERGERAKAN TUBUH BADAN atau PERTUTURAN (DALAM HATI ATAU LAFAZ SUARA) yang berlaku secara spontan, pantas, tanpa sebab, berulang kali dan DILUAR KAWALAN seseorang yang mengalami Sindrom Tourette.

Sindrom Tourette adalah keadaan yang mempengaruhi sistem saraf utama dan menyebabkan tics. Tics merupakan sentakan atau kekejangan, pergerakan atau bunyi-bunyian yang tidak sengaja dilakukan oleh individu yang mengalami Sindrom Tourette. Terjadinya Sindrom Tourette apabila seseorang itu mempunyai dua tics iaitu yang mempengaruhi pergerakan badan dan bunyi. Selalunya, seseorang yang memiliki simptom OCD, akan juga mempunyai simptom Syndrom Tourette, dan sebaliknya (vice versa)

Jika OCD banyak mempengaruhi gangguan dari segi was-was tentang kebersihan, susunan barangan, dan membuat perlakuan kompulsif seperti membasuh tangan berulang-ulang, Syndrome Tourette pula akan mempengaruhi gangguan dari segi LINTASAN HATI dan gerakkan-gerakkan tubuh badan yang tidak dapat dikawal.

JENIS-JENIS TICS YANG DIHIDAPI OLEH PESAKIT TOURETTE SYNDROME
(Berlaku tanpa dapat dikawal)

Tics Vocal / Phonic:
Membunyikan tekak, Mendengus, Menjerit atau memekik, Mengulangi perkataan berulang-ulang, LINTASAN-LINTASAN HATI, Bercakap sendirian tanpa diinginkan, Coprolalia iaitu menyebut perkataan lucah atau perkataan yang dilarang dalam masyarakat atau kepercayaan ugama, dan lain-lain lagi”.

Sekarang Nur nampak tak simptom tu ada pada Nur, mungkin samada Nur mempunyai OCD, atau Nur mempunyai TS. Perkara ini berlaku spontan, tanpa dapat dikawal, dan ianya adalah penyakit. Bila dikaitkan sebagai penyakit, maka Nur tidak bersalah, dan Nur tidak perlu melayan hingga berfikir secara terlalu terperinci samada bersalah atau tidak, Nur yang sengaja nak cakap atau tidak, sebab ini adalah PENYAKIT. Dalam masalah penyakit, Islam telah mnetapkan RUKSAH (kelonggaran mengikut penyakit) terhadap pesakit dalam beribadah pada Allah.

Sesungguhnya Allah itu Maha Tahu apa yang berlaku dalam diri Nur secara zahir dan batin. Maka apa yg Nur boleh lakukan sekarang ini ialah (saya cadangkan saja) Memandang perkara ini sebagai:

1. Kifarah dari Allah untuk menghapuskan dosa-doa. sebab bila perkara ni berlaku, Nur amat merasa tertekan, resah dan sakit, betul tak? Kita manusia tidak lari dari melakukan kesilapan dan dosa, kadangkala kita tak sedar ada perkara yg kita pandang kecil dan ringan kesalahannya, disisi Allah ianya amat besar dan berat. Kadangkala ada perkara yang kita anggap besar dan berat, tapi disisi Allah ianya hanya umpama sebelah sayap nyamuk sahaja. maka:

SabdaNabi SAW:
“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu kelelahan, atau penyakit, atau kekhuatiran, atau kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya (Dosa) kerananya.”
(HR. Al-Bukhari no. 5642 dan Muslim no. 2573)

Jadi, bila lintasan ni datang, bertenang, beristighfar, JANGAN LAYAN UNTUK FIKIRKAN SEMULA, sebab ianya berlaku diluar kawalan, kemudian banyakkan bmemohon ampun dan serta berzikir mengikut kemampuan Nur.

"Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak (tak sengaja) dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpahmu) yang disengaja (untuk bersumpah) oleh hatimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun."
(QS Albaqarah : 225)

Juga perlu BERSYUKUR dan BERTERIMAKASIH kerana Allah memberikan jalan mudah bagi menghapuskan dosa dan ini bermakna Allah masih memberikan perhatian kepada Nur.

Boleh juga memohon ampun seperti ini:

“Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa yang pernah kulakukan sehingga aku dikIfarah dengan perkara ini.”

2. Cuba buat Latihan Pernafasan , buat selalu, lebih-lebih lagi bila rasa terganggu. (semua ni adalah ikhtiar dan komitmen kita sahaja)

3. Cuba buat senaman riada yg saya sharekan, Buat 2 kali sehari, pagi dan petang (Ini juga ikhtiar dan komitmen)

Wallahuaklam, semuga Nur dipermudahkan Allah dalam segala urusan dunia dan akhirat. Segala yang baik itu dari Allah, apa yang silap dan khilaf itu dari kelemahan saya , manusia yang lemah dan lalai. Assalamualaikum.

OCD, Lintasan Hati dan Ramadhan 1


Nur

Assalamualaikum…….Saya juga mengalami masalah yg sama. Ape yg saudaralalui, saya pun lalui juga. Rase sedih sgt2. Nak tidur dan bangun tidur, fikiran ni asyik kacau je dgn lintasan2 yg jahat. Kdg2 rase dah tak larat nak menanggungnya. =( tolong la saya. Saya tak tahu nak cerita dengan sape. Saya nak bertanya….adakah di bulan ramadhan kita akan terhindar dari gangguan OCD berbentuk lintasan hati??? kerana syaitan semuanya di belenggu…wallahualam…harap dpt menjawab persoalan saya

...................................................................................

@Nur:

Waalaikumussalam,

Dari Abu Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ ، وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

“Apabila bulan Ramadhan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu”.

(HR Bukhari dan Muslim Bukhari, no. 1899. Muslim, no.1079)

“Apabila tiba saja malam pertama bulan Ramadhan, dibelenggulah syaitan-syaitan dan jin-jin yang ganas (yang besar). Pintu-pintu Neraka ditutup dan tiada satu pun terbuka. Pintu-pintu Syurga pula dibuka dan tiada satu pun yang tertutup.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 3/103, no. 618. Ibnu Khuzaimah, 3/188, no. 1883. Dinilai Hasan oleh al-Albani)

Imam al-Qurthubi menjelaskan:

“Apabila dikatakan, “Mengapa kita masih melihat kejahatan dan maksiat berlaku di bulan Ramadhan. Sekiranya syaitan dibelenggu, bukankah sepatutnya perkara seperti itu tidak akan berlaku?”

Maka jawabannya, “Bahawasanya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu para penentang yang ganas dari kalangan mereka sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Apabila semua syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab untuk tidak akan berlakunya kejahatan dan kemaksiatan. Kerana sebab berlakunya kemaksiatan itu turut didorong oleh sejumlah faktor lainnya selain dari faktor syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 4/114)

Apa yg dapat kita fahami dari keterangan diatas terdapat beberapa pandangan ulamak:

1. Syaitan yg dibelenggu adalah syaitan-syaitan yg ganas dan berpangkat besar, seperti mana yg dinyatakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah:

“… (Berdasarkan pendapat yang lain) Apa yang dimaksudkan syaitan dalam hadis ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang. Sebab itulah Ibnu Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Shahihnya untuk hadis berkaitan, lalu beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan al-Hakim… (sebagaimana di atas).”

2. Maksud ‘DIBELENGGU’ itu boleh juga difahami dengan , ‘mereka terbelenggu kerana umat islam BERPUASA = iaitu Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yg membatalkan puasa @ maksiat, dosa dll, maka lantaran itu, mereka seakan terbelenggu kerana gangguan-gangguan mereka tidak dihiraukan oleh umat islam yang berpuasa.

3. Pandangan lain pula, walaupun syaitan-syaitan telah dibelenggu, tetapi manusia tetap mempunyai hawa nafsu, maka dibulan Ramadhan ini, dapatlah kita melihat sendiri siapakah kita, our true colour, adakah kita manusia bersikap jelek atau sebaliknya tanpa bisikan syaitan.

4. Seorang tentera yg telah biasa hidup berdisiplin, walau sesudah pencen, dan bekerja sebagai peladang, jiwanya tetap terikut dengan disiplin tenteranya. Seorang yg berasal dari Utara, walau telah berkahwin dengan orang Negeri Sembilan, dan tinggal di Negeri Sembilan hingga memiliki cucu, ‘Loghat Utaranya’ masih lekat dan tidak hilang. Maksud saya, sesuatu yg telah lama mendarah daging dalam jiwa seseorang, walaupun punca asalnya sudah tiada, tetapi patternnya masih kuat mempengaruhi jiwa seseorang.

Wallahuaklam





Selasa, 30 Julai 2013

KT Darul Iman ~ Penyu Menangis Siapalah Tahu


20 tahun lalu cinta pernah bersemi disini.....


Masih jelas lagi diingatanku akan pasaraya Hock Kee Seng, yang amat popular ketika itu, selain, A&W, McDota(mungkin sudah tiada) dan Pasar Payang.



Jelas, gadis itu pernah muncul memberikan harapan dan impian dalam hidup ini. Dan aku pun berhijrah kesini dalam mengisi ruang-ruang pengalaman perjalanan usiaku. Memori itu terlalu indah walau pun amat pahit jika dikenang.


Turun naik bot penambang ke Seberang Takir, senyuman pakcik tua mengayuh beca, dan manisnya kuih Nekbak (umpama bahulu yang tawar direndam air gula), segalannya masih tersimpul kemas dalam lipatan memori.


Beberapa tahun lalu KT muncul lagi dalam hidupku, dengan harapan dan impian baru, merencanakan wawasan baru dalam hidupku. Tapi begitulah, segala yang direncana, tak seindah rencanaNya....KT datang dan pergi dalam hidupku, namun aku kini cuma melihat dan tersenyum, segalanya hanyalah cebisan-cebisan pengalaman yang perlu kulalui sebagai rencanaNya dalam mengajar dan mendidik diriku untuk memahami hikmah dan ketentuanNya.


Walau apapun, KT, kau kan tetap dihatiku.


PENYU MENANGIS SIAPALAH TAHU

Anak muda berlagu sayang
Di Batu Remis melepas rindu
Adik ketawa di Rantau Abang
Penyu menangis siapalah tahu

Sesak nafasnya sesak
Tak tahu adik tak tahu
Sebak dadanya sebak
Tak tahu adik tak tahu
Bengkak jantungnya bengkak
Tak tahu adik tak tahu
Retak hatinya retak
Tak tahu adik tak tahu

Lenyap ditelan deruan ombak
Telur penawar hatinya lebur
Tumpah air matanya melimpah ruah
Agar terhibur adik terhibur

Anak muda berlagu sayang
Di Batu Remis melepas rindu
Adik ketawa di Rantau Abang
Penyu menangis siapalah tahu

Kelabu matanya kelabu
Tak tahu adik tak tahu
Sendu tangisnya sendu
Tak tahu adik tak tahu
Sayu jiwanya sayu
Tak tahu adik tak tahu
Layu langkahnya layu
Tak tahu abang tak tahu

Puisi oleh: J.M Aziz (Seberang Takir, Kuala Terengganu)

Sayangku sayang



Fatih, Sarahaida, Ikhwan dan Taufiq, Selamat menunaikan ibadah puasa, ayah sangat bangga melihat keazaman dan kekuatan kamu semua dalam menjalani ibadah puasa, Dan ayah amat berbangga dengan segala pencapaian-pencapaian akademik dan sahsiah yang ada pada kamu semua hari ini. Kiranya tak pernah tersangka bahawa anak-anak ayah tergolong dalam kumpulan pelajar-pelajar elit yang disebut bagai pelajar cemerlang, terbilang dan gemilang.

Fatih, setiap pandangan dan pendapat yang kamu utarakan pada ayah sejak kebelakangan ini, amat mengatasi umurmu yang baru meningkat 17. Sarah, kau memang sumber ketenangan jiwa ayah. Kau sahajalah yang yahu memujuk dan menenangkan hati ayah. Ikhwan, displin kamu memang tinggi, cuma ayah perlu persiapkan dirimu dengan lebih kerana kamu yang memiliki banyak ciri-ciri simptom perfectionist seperti ayah ketika remaja dulu. Tahniah Taufiq yg baru berusia 7 tahun pun kuat berpuasa.

Kehidupan kita memang tidak seperti keluarga lain, sayangku semua. Kita tak dapat hidup sebumbung untuk sama-sama menikmati tiap detik dalam kehidupan lantaran keadaan-keadaan yang telah menyebabkan kita menjadi begini.

Namun, kita tetap sentiasa berhubungan dan masih sempat menikmati saat-saat bahagia bersama walaupun dalam waktu-waktu yang terbatas. Ayah amat menghargai dan terharu dengan sikap kamu semua yang sangat-sangat mengerti dan faham serta redha dengan hakikat ini.

Setiap waktu yang bersendirian, doa ayah tak pernah putus untuk kamu semua. Ayah sedar, ayah tak dapat membuat sumbangan yang banyak dalam kehidupan kamu seperti ayah-ayah orang lain. Kebanyakan urusan dan keputusan terpaksa kamu semua lakukan sendirian tanpa bantuan seorang ayah.

Ayah pernah kecewa dan putus asa dengan keadaan ini, tertanya-tanya mengapakah aku dan anak-anakku harus menerima kenyataan hidup seperti ini.

Akan tetapi akhirnya ayah menemui jawapannnya, Sungguh, tiap sesuatu itu punya hikmah yang tersembunyi.Kamu semua tidak akan semaju dan sedemikian gemilang seperti hari ini andainya kita hidup sebumbung dari hari lahir kamu semua hingga hari ini.

Muga Allah memberikan petunjuk, hidayah, serta keselamatan pada kita semua. Amin....

Isnin, 29 Julai 2013

quotes







Most people live life on the path which set for them. Too afraid to explore any other. But once in a while, there are people like you come along who knock down all the obstacles we put in your way. People who realize free will is a gift you'll never know how to use until you fight for it. I think that's the Chairman's real plan that maybe one day we won't write the plan. You will.







Khamis, 18 Julai 2013

Staying Healthy and Grow Younger

Assalamualaikum,

Salam Ramadahan dan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada anda semua. Berpuasa adalah antara ibadah yang menguatkan ketahanan rohani kita.

pesan seorang sahabat:

" Pepatah Arab “al-’Aqlus Salim fil Jismis Salim”
Akal (dan segala aspek non-material manusia) yang SIHAT, berada pada jasad yang SIHAT juga.

Saya baru sahaja menyedari akan hakikat ini beberapa waktu dahulu..kira-kira setahun yang lalu. Ketika saya menghadiri satu sesi kursus rawatan diri (nak buang sihir, saka dan sebagainya), kami disuruh dan diajar bersenam dengan cara tertentu, diajar juga teknik pernafasan…dan rupa-rupanya dengan izin Allah,

GANGGUAN SIHIR atau GANGGUAN MAKHLUK HALUS TERSEBUT BERJAYA DISINGKIRKAN HAMPIR 50 PERATUS DENGAN HANYA MELAKUKAN RIADAH FIZIKAL YANG BETUL.

Apabila aliran darah berlari dengan baik dan lancar, jasad kita sudah tidak lagi menjadi habitat yang selesa buat makhluk jin ini.

Dari Safiyah Binti Huyay bahawa Rasulullah bersabda :

‘ Sesunggguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam melalui pembuluh darah (sistem nerve)’.
(HR Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Saya ingin memberi fokus bahawa dalam membina kesihatan rohani, kesihatan dan kekuatan fizikal juga tidak boleh diabaikan. Perlu wujud keseimbangan.

Jika rohani kita kuat tetapi jasad lemah, ketidakseimbangan tersebut bakal mengakibatkan kemudaratan juga…dan ada sebahagiannya sehingga mengancam nyawa, apabila tubuh tidak mampu menampung tenaga dalaman yang melebihi kapasiti jasad."

Dibawah ini saya sertakan sejenis senaman yang lebih kurang sama seperti yg diajarkan oleh seorang ustaz . Disamping mengamalkan Latihan Pernafasan yang saya pernah kongsikan, lakukan lah senaman ini 2 kali sehari ; pagi dan petang. Lakukan dengan niat berikhtiar, InsyaAllah anda akan merasakan perubahan positif pada diri anda.

Ia juga baik diamalkan terutama disepanjang bulan puasa sebagai ikhtiar untuk merasa segar dan mengelakkan mengantuk terutama menjelang petang didalam pejabat berhawa dingin.


Selasa, 16 Julai 2013

The Secret (Rhonda Byrne) 2006



Bagi yang ingin menonton video The Secret (Rhonda Byrne) 2006, Boleh menontonnya disini:


LINK (sila klik pada link)

Isnin, 1 Julai 2013

Sumpahan Mentari Se-galah

Bismillahirahmanirahim

Blog ini pernah saya updatekan dengan entry bertajuk Dhuha seketika dulu. Surah ini merupakan surah ke 93 dalam Alqur'an. Surah Ad-Dhuha dimulakan Allah dengan satu sumpah iaitu "Demi waktu Dhuha" iaitu satu jangkawaktu yang bermula dari naiknya matahari lebih kurang paras setinggi galah atau dengan ertikata lain, lebih kurang 2 jam selepas waktu subuh sehingga sekitar pukul 12.00 tengahari.


Perkataan "Demi" dalam Al-Qur'an menurut tafsiran bererti SUMPAH . Dalam surah ini terdapat dua waktu yang disebutkan oleh Allah iaitu:

1. Demi waktu dhuha (matahari naik kadar se-galah)

2. Dan malam apabila ia sunyi-sepi


3. Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
(QS Ad-Dhuha: 1-3)

Mari kita perhatikan hakikat betapa pentingnya waktu Dhuha itu sehingga Allah bersumpah dengan waktu Dhuha.

Cuba fahami perkataan sumpah itu sebagai suatu sumpahan terhadap jangkawaktu Dhuha yang ditetapkan itu. Sumpahan biasanya difahami oleh masyarakat kita sebagi sesuatu yang negatif (Cursed and Spells). Seperti contohnya:

"Si Tenggang disumpah menjadi batu akibat kedurhakaannya pada ibunya."

Akan tetapi sumpahan yang diletakkan dalam jangkawaktu yang dinamakan waktu Dhuha ini adalah sumpahan yang baik, sepertimana yang kita sedia pelajari dan dengari bahawa melakukan solat sunat dalam jangkawaktu ini (Solat Sunat Dhuha) merupakan antara ikhtiar dan jalan mendatangkan kelimpahan rezeki dalam kehidupan.

Ianya lebih kurang dapat difahami bahawa, Satu sumpahan telah diletakkan dalam jangkawaktu yg tertentu dimana, sesiapa yang melakukan solat sunat dalam jangkawaktu ini akan menerima beberapa benefits yang disertakan dalam pakage Dhuha ini.

Sabda Nabi SAW:

Daripada Buraidah katanya telah bersabda Rasullah SAW:

" Pada diri manusia ada 360 ruas tulang, dituntut ke atasnya untuk memberi sedekah bagi setiap satu daripada ruas-ruas tersebut.

Para sahabat bertanya, 'Siapakah yang terdaya melakukan yang demikian ya Rasulullah ? ' Lalu baginda bersabda, ' Boleh juga dilakukan dengan menanam kahak (membersihkan kotoran) di lantai masjid atau menghilangkan halangan di jalan, jika tidak dapat dilakukan,

maka cukup baginya dengan melakukan dua rakaat solat Dhuha ."

(HR Ahmad dan Abu Daud dan dengan lafaz lain oleh muslim )

Oleh yang demikian, dapat kita fahami disini, bahawa antara fadhilat/ benefits
dari melakukan solat sunat dalam jangkawaktu Dhuha ini, dapat kita lihat dari ayat 4 hingga 8 surah Ad-Dhuha iaitu:

Terjemahan Surah:

4. Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

5. Dan kelak Tuhanmu pasti akan memberikan kurniaNya kepadamu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda dan hatimu menjadi puas.

6. Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia melindungimu

7. Dan didapatiNya engkau kebingungan mencari-cari, lalu Dia memberikan petunjuk

8. Dan didapatiNya engkau miskin (kekurangan) , lalu Dia memberikan kekayaan (mencukupkan keperluan)
(QS Ad-Dhuha: 4-8)

Huraiannya:

a. Mendapat kesudahan kehidupan yang baik, WALAUPUN keadaan kehidupan pada awalnya buruk.

b. Mendapat KEJAYAAN DAN KEBAHAGIAAN didunia dan akhirat yang maksima iaitu sehingga HATI MENJADI REDHA DAN PUAS dengan kejayaan dan kebahagiaan itu.

c. Menerima perlindungan dan pemeliharaan walaupun ketika bersendirian atau sebatang kara.

d. Mendapat petunjuk jalan yang benar (hidayah/jalan keluar/idea) apabila menemui sesuatu permasalahan dan musibah kehidupan.

e. Dari segi ekonomi dan kerohanian, akan diberikan harta kekayaan dan dicukupkan keperluan dirinya.


TETAPI: terdapat pantang larang serta komitmen yang perlu dipatuhi sekiranya ingin mendapatkan perkara-perkara yang diatas iaitu:

Terjemahan Surah:

9. Oleh itu, terhadap anak-anak yatim, janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

10. Adapun terhadap orang-orang yang meminta-minta maka janganlah engkau tengking herdik;

11. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dengan bersyukur)
(QS Ad-Dhuha : 9-11)

Huraiannya :

a. Dilarang berlaku kasar kepada anak-anak yatim dan perkara-perkara lainnya temasuk memakan harta anak yatim yang berada dibawah tanggungjawab kita.

b. Dilarang menengking herdik (berlaku kasar) kepada orang yang meminta sesuatu dari kita samada ingin memohon bantuan meminjam wang, meminta sedekah, derma dan apajua, JIKA KITA TIDAK MAHU memberikan bantuan atau pertolongan atau tidak berkemampuan untuk membantu, tolaklah dengan lembut dan beralasan. Jangan mengutuk,menghina dan memandang rendah pula akan kelemahan orang yang meminta-minta itu kerana kita tidak akan terfikir apakah asbab yang membawa kepada diri orang itu sehingga menjadi orang yang meminta-minta. Dan ingatlah, takdir boleh berubah menjadi terbalik, mungkin suatu hari nanti kita pula akan jadi peminta yang meminta-minta kepada orang itu tadi.

Ini termasuk juga binatang-binatang seperti kucing tak bertuan yang mengiau pada kita meminta makanan ketika kita sedang makan direstoran atau dimana jua. Jauhi sikap menghalau kucing itu apatah lagi menendang atau membaling batu padanya.

c. Zahirkan serta sebutkan nikmat-nikmat Tuhan yang telah kita terima dari Allah dengan mensyukurinya secara tepat.

Sekarang, kita dapat melihat Surah Ad-Dhuha ini sebagai sebuah pakage mudah yang sangat istimewa. Walau apapun, lakukan segalanya dengan ikhlas dan niat semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah, dan ingatlah bahawa, tidak akan bergerak atau berlaku sesuatu itu MELAINKAN dengan keizinan dan kehendak Allah SWT semata-mata.

Wallahuaklam, ini hanyalah sebuah penelitian, sila tegur sekiranya khilaf.


Assalamualaikum.

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]