Ahad, 2 Jun 2013

Datanglah ke ofis ayah, ambil duit...


prologue

Herlina dan rakan-rakan bersiar-siar disekitar ibukota hari itu. Alang-alang tengah cuti 'study week' ni, ambillah masa sekejap untuk window shopping. Entah macamana, iphonenya tercicir. Puas rayau kesana sini, manakan nak jumpa. Entah kot tertinggal kat tandas KLCC tadi ke, jangan harapla nak jumpa balik.



Dengan rasa risau berbaur menyesal, Herlina menghubungi ayahnya yang sedang bekerja menggunakan handphone kawannya.

"Assalamualaikum ayah, Lina ni"

"Waalaikumussalam, ha..pakai no siapa ni? kat mana?"

"Ni no telefon Nani, Lina kat KLCC ni. Iphone cicir, puas cari tak jumpa...."
dengan perasaan bimbang takut dimarahi

"Laaa..macamana boleh cicir? kamu ni lalai....habis tu macamana?"

"tu la yang kol ayah ni, macamana ni, tak de fon susahla Lina. Dah puas cari balik, tak jumpa"

"Hmmm.. tak perlah kalau dah macam tu, KLCC kan dah dekat je dengan ofis ayah, datangla kejap ke ofis ayah, ambil duit, beli phone lain"

Sejurus itu juga hati Lina menjadi amat gembira tak terkata, wajahnya kemerah-merahan kerana merasa lega. Sebelum ke pejabat ayahnya, sempat juga dia mengajak rakan-rakannya membuat survey dibeberapa buah kedai telefon bimbit.


.......


Begitulah yang selalunya berlaku pada diri kita apabila kita mendapat JAMINAN, PENGESAHAN DAN JANJI YANG SANGAT BOLEH KITA PERCAYAI / CONFIRMED bahawa kita akan diberikan bantuan terhadap sesuatu kesulitan atau sesuatu keinginan kita, iaitu : MERASA AMAT GEMBIRA DAN SERONOK


Maksud Firman Allah:

Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina
(QS Al Ghafir:60)


Allah memudahkan bagi kamu dengan putaran malam dan siang. Dia memberikan kamu setiap perkara yang kamu mohon. Kiranya kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah tidaklah terkira, tetapi manusia itu zalim dan ingkar tidak berterima kasih.
(QS Ibrahim, Ayat 31-34)

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.
(QS Al-Baqarah: 186).

“Berdoalah kepadaKu, niscaya akan Kuperkenankan bagimu.
(QS Al-Mukmin: 60).


Didalam beberapa ayat dari firman Allah SWT yang dinyatakan diatas, adalah juga merupakan sebuah JAMINAN. PENGESAHAN DAN JANJI dari Allah SWT, Tuhan Pencipta Alam Semesta yang Maha Kaya Raya lagi Maha Benar dan Maha Tepat JanjiNya.

TETAPI,

Berapa kalikah, setelah kita berdoa kepada Allah, kita dapat merasakan MERASA AMAT GEMBIRA DAN SERONOK kerana yakin bahawa doa kita telah makbul seperti yang dijanjikan Allah didalam Al-Qur'an (Rukun Iman Yang Ketiga ialah Beriman dengan Kitab Allah) dan merasakan bahawa setelah berdoa, mengikut janji Allah, doa itu telah dimakbulkan dan

Dapat merasai atau menghayati bahawa kita kini berada didalam status dan proses "menerima permintaan / permintaan anda sedang menuju kepada anda" ?

Jika dengan janji manusia yang lemah kita boleh merasai kegembiraan dan keseronokan, bagaimanakah dengan janji dari Allah, Tuhan Yang Maha Perkasa?

Jawablah dengan jujur dari hati yang ikhlas.


..............

epilogue


Herlina dan rakan-rakannya sampai ke pejabat ayahnya agak lewat kerana agak lama membuat survey dibeberapa buah kedai telefon bimbit dan setelah itu mereka singgah makan dulu.

Sejurus setelah berjumpa dengan ayahnya,

"Ayah, sorilah, lewat sikit, pergi buat survey tadi"

"Takpe, tapi.....ayah nak minta maaflah, boleh tak tunda hujung bulan ni, sekejap tadi ayah bawak kereta ke bank, ayah terlanggar kereta oranglah, ayah dah terpakai duit yang nak bagi kamu tu..............


Hadis Nabi S.A.W
‘Berdoalah sekalian kamu kepada Allah, dengan rasa yakin diperkenankan dan ketahuilah, bahawasanya Allah Taala TIDAK MEMPERKENANKAN doa dari hati orang yang lalai lagi lupa'
(HR Tarmizi)
(berdoa sambil lewa dan tidak dapat merasakan dengan penghayatan bahawa doanya itu akan dimakbulkan)


Sabtu, 1 Jun 2013

OCDian - Terlalu sensitifkah kami ini?





SOALAN:

Betulkah pesakit OCD ini sangat sensitif seperti mudah kecil hati, terlalu perasa, walaupun terhadap perkara remeh temeh. Terima kasih


JAWAPAN DARI PERSPEKTIF SAYA (BUKAN DARI PAKAR JIWA):


Saya hanya mampu menjawab dari persepsi diri saya sebagai seorang yang pernah melalui saat2 kritikal sebagai penghidap OCD.

Bagi saya, dari kacamata orang normal, sememangnya penghidap OCD nampak seperti sangat mudah sensitif, walaupun dengan perkara remeh temeh, TETAPI

hal yang sebenarnya yang membuatkan mereka menjadi demikian sensitif bukan lah 100 peratus mencerminkan sikap diri mereka yang sebenar. Mereka menjadi terlampau sensitif KERANA menghidapi OCD. Sensitif yg keterlaluan atau marah tak menentu , mudah melenting, kerana sesuatu yang kecil bagi org normal, adalah sebuah konflik yang besar bagi penghidap OCD.

Mungkin seorang normal akan menjadi marah atau melenting apabila berlaku sesuatu yang mencabar maruah atau emosinya, cth seperti tanah milik ibubapanya ingin dirampas dengan cara yang tidak wajar dari sesebuah pihak.

Bagi penghidap OCD, perubahan yg dibuat oleh orang lain terhadap cara susunan rak bukunya yang tidak selari dengan 'etika kekemasan' yg disusunnya (sebagai contoh) adalah umpama konflik rampasan tanah diatas. Hal seperti ini boleh membuat dirinya menjadi serba tak kena selagi tidak disusun semula. Apa yang menjadi konflik dalam diri, sebenarnya penghidap juga merasa marah dengan gangguan yg dihadapinya itu, merasa rendah diri kerana sebenarnya dia sendiri tidak suka berkelakuan begitu, tetapi tidak mampu melawannya.

Perlu difahami bahawa, gangguan yg dihadapi berupa samada lintasan-lintasan dalam hati atau idea (bukan bisikan suara) yang menggesa penghidap agar melakukan perkara itu berulang-ulang dan akan muncul lagi dalam masa kurang dari setiap 5 minit, selagi keadaan yg menjadi konflik itu tidak dibetulkannya (cth: betulkan semula susunan buku). Kadangkala mereka menyusun semula buku BUKAN dengan kehendak diri mereka, tetapi melakukannya kerana tak terdaya melawan gesaan berulang-ulang yang berlaku 24 jam dalam kehidupan mereka. Lantaran itu, mereka menjadi seperti lemas, dan sentiasa tertekan, dan inilah yang membuatkan mereka menjadi sensitif, tetapi sebenarnya, jauh disudut hati mereka, penghidap OCD sangat kasihan dgn orang-orang disekeliling mereka yang sering menjadi mangsa kemarahan mereka.

Saya sendiri setelah melalui beberapa fasa dan kemudian dapatlah dikatakan agak 'bebas OCD', baru saya dapat mengenali dan mengetahui tentang kebolehan dan potensi diri saya sendiri, yang mana selama ini bagai terpendam dan tertutup dek kerana kebanyakkan masa dihabiskan dengan melayan OCD. Saya sendiri tidak menyangka saya mampu bercakap dihadapan khalayak ramai, boleh berjenaka dan membuat orang lain ketawa, malah menghasilkan ebook-ebook berkenaan motivasi dan lain-lain, yang mana selama ini, segala potensi ini hanya tersimpan tanpa saya ketahui, selagi diri saya masih dibaluti dengan ketat oleh OCD.

Saya yakin sebenarnya setiap OCDian bukanlah seperti apa yang umum nampak pada hari ini, jika ada rezeki dan Izin Allah, jika mereka pulih dan bebas OCD, mereka akan mendapati diri mereka juga berpotensi sebagai seorang yang sangat penyayang, empatik, mudah bertolak-ansur dan mempunyai pelbagai potensi lain, melebihi dari apa yang ada dalam kehidupan diri mereka sekarang.

OCD - Washer : Fobia Ke Bilik Air


Bahar antara pembaca yang paling terkini menghubungi atas sebab untuk berkongsi ikhtiar untuk meredakan gangguan was-was yang dialaminya. Beliau seorang penghidap OCD jenis WASHER, iaitu terlalu mengambil berat soal kebersihan, terutama yang berkaitan dengan ibadah. Pengulangan dan kekerapan membasuh tangan sehingga sanggup berpatah balik kerumah setelah jauh memandu hanya untuk membasuh tangannya yang dirasakan kotor. Tak kurang rakan-rakan yang mentertawakan, walau ada jua yang turut bersimpati.

Dia amat takut untuk ke tandas, kerana dia sedar, dia pasti akan mengambil masa yang lama untuk membersihkan dirinya setelah selesai membuang hajat, samada besar atau kecil. Dia merasakan jika tidak dibasuh dengan bersih, maka tentulah solatnya nanti tidak sah.

Selain itu, dia juga RISAU tentang kebersihan tandas melainkan tandas rumahnya sendiri. RISAU tentang pengguna sebelumnya yang mungkin memercikkan najis dimana-mana sahaja yang mungkin boleh terkena pada pakaiannya atau tubuh badannya. Lantaran itu dia pernah menahan dirinya dari membuang air besar selama lebih dari 2 minggu, ketika bekerja diperantauan, dan menunggu sehingga dia pulang ketanah air untuk melepaskan hajat besarnya. Akibat terlalu kerap menahan hajat ini, dia kini juga telah menghidap buasir.

Hal ini lebih menyukarkan dirinya, kerana sebagai penghidap buasir, cara membasuhnya memakan masa yang lebih lama dan lebh rumit. Bahar semakin tertekan dengan keaadaan ini. Kerisauannya tentang najis ini semakin menjadi-jadi sehingga memaksa dia untuk mandi setiap kali selesai membuang air besar.

Kariernya terganggu, dalam usia yang masih muda iaitu pertengahan 20'an, dia juga risau memikirkan masadepannya, belum lagi memikirkan bagaimana jika berumahtangga nanti dengan keadaannya yang sedemikian.

Namun Bahar mempunyai semangat yang kental untuk segera pulih setelah mengetahui bahawa gangguan was-was yang dideritainya adalah sejenis penyakit dan boleh diubati sekiranya bertemu dengan penawar dan asbab yang tepat untuk kesembuhannya. Dia komited mencari penawar dan telah menghabiskan ribuan ringgit bagi memulihkan keadaan dirinya.

Dalam kes Bahar, saya belum dapat memberikan fokus yang sepenuhnya bagi program perawatan dirinya ini, lantaran saya mempunyai komitmen yang agak ketat semejak pemergian almarhumah ibu saya tempohari. Saya cuma dapat berkongsi beberapa pandangan dan saranan serta memautkan beberapa pautan artikel untuk dibaca dan difahami olehnya.

Dan apa yang berlaku ialah, dia penghidap OCD yang benar-benar ingin pulih, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menanam keazaman yang kental untuk "BEBAS OCD"

Bahar belum sempat saya terangkan tentang Hukum Tarikan, tetapi dia sendiri telah membuat komitmen untuk memahami apakah yang cuba untuk disampaikan oleh saya. Dalam masa kurang dari 2 minggu setelah menghubungi saya beliau mengakui telah merasai beberapa perubahan positif dalam dirinya setelah membaca siri-siri perincian pengaplikasian berulang kali dan dapat memahaminya dengan tepat. Dia seolah memiliki kekuatan dan semangat untuk melawan gesaan mengulang-ulang dan mampu berkata: "Tak kesahlah.."

InsyaAllah, saya akan update tentang perkembangan seterusnya tentang kes Washer seperti Bahar. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dunia dan akhirat anda dan juga semua yang 'disentuh' oleh gangguan OCD ini tak kira dimana jua anda berada. Amin.

Klik untuk membesarkan

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]