Rabu, 20 Mac 2013

Yang Teringin atau Yang Perlu?

Assalamualaikum,


Katakankanlah, anda seorang ayah, atau seorang ibu. Tapi bukan ibu bapa yang biasa-biasa. Tetapi ibubapa yang benar-benar berwibawa, cerdik, brilliant, beriman, kaya dengan ilmu pengetahuan dunia dan akhirat, juga kaya dengan harta benda dan sebagainya yang mana anda boleh dikategorikan sebagai ibubapa yang hebat.

Anda dikurniakan beberapa orang zuriat, dan ketika anak-anak anda sedang membesar dan mempelajari proses kehidupan, sudah tentu pelbagai macam permintaan yang diminta dari anak-anak anda.

Sebagai ibubapa yg hebat (seperti yg tertera diatas), anda juga sangat menyayangi anak-anak anda dengan kasih sayang yang TEPAT dan hanya inginkan kebahagian dan kejayaan mereka didunia dan akhirat.

Anda mampu mengadakan segala apa sahaja yang diminta oleh mereka. TETAPI:

Sebagai ibubapa yg hebat, apakah kerana perasaan sayang anda itu, anda akan memenuhi segala apa sahaja permintaan anak-anak anda tanpa memikirkan samada permintaan itu baik atau tidak kepada mereka?

Sebagai ibubapa yang memiliki pengetahuan luas dalam pelbagai bidang kehidupan dunia, sudah tentu anda akan memberikan perkara yang terbaik kepada mereka, dan perkara yang terbaik untuk mereka ialah:

SEGALA APA YANG DIPERLUKAN OLEH MEREKA UNTUK MENEMPUH KEHIDUPAN INI. BUKAN SEGALA APA YANG DIINGINKAN OLEH MEREKA.

Ini adalah kerana, sebagai anak-anak yang belum matang dan masih dalam proses pembelajaran, mereka tidak tahu sebenarnya apa yang baik dan apa yang tidak baik untuk mereka. Mereka inginkan sesuatu itu mungkin kerana tertarik dengan apa yang mereka lihat, atau mungkin kerana hawa nafsu mereka dan sebagainya, tanpa mengetahui apakah risikonya jika mereka memiliki perkara yang diinginkan itu.

Berbanding dengan anda, (dengan kelebihan anda sebagai ibubapa yang hebat) anda benar-benar tahu apakah yg benar-benar mereka perlukan dan anda hanya memberikan segala apa yang anda TAHU ianyaPERLU(bukan anda hanya rasa-rasakan) untuk mereka, bagi menjamin kesejahteraan kehidupan mereka.

Maka, kebarangkalian akan berlaku juga, permintaan dari anak-anak anda yang tidak anda penuhi kerana mengetahui perkara itu mendatangkan risiko yang tidak baik. Dan sepertimana biasa, sesekali anak anda akan akur, dan kadangkala merajuk, dan sebagai ibubapa hebat, sudah pasti anda tahu cara menangani perkara ini.

Ada juga kebarangkalian berlaku, dimana apa yang diinginkan oleh mereka, akan anda dapatkan untuk mereka, kerana dimasa yang sama, anda tahu perkara itu DIPERLUKAN oleh mereka. Jika ini berlaku, anak anda akan sangat gembira dan buat seketika, sebagai anak-anak, mereka menunjukkan sikap sangat sayang pada anda. Tetapi semua itu hanyalah perkara biasa bagi anda kerana anda adalah ibubapa yang hebat.


Sesekali, dalam beberapa kes, anda akan memenuhi juga permintaan mereka walaupun pada kali ini, anda tahu perkara yang diminta itu berisiko untuk mereka. TETAPI anda sengaja memberikan juga dengan tujuan supaya mereka belajar dan mendapat pengalaman apabila mereka mendapati keinginan mereka itu akhirnya tidak baik untuk diri mereka. Anda tahu, perkara yg diminta itu tidak baik, tetapi anda juga tahu, bahawa anak-anak anda PERLU untuk belajar sesuatu, maka lantaran itulah anda berikan juga apa yang diminta.


Sebahagian dari anak-anak anda ada yang semakin lama semakin matang dan mula mengadaptasi cara dan gaya anda, tetapi ada jua yang tidak berapa menjadi, malah gagal, lantaran tidak mahu menggunakan kreativiti pemikiran mereka.

Ini bukanlah bererti anda gagal mendidik mereka, tetapi mereka sendiri yang memilih jalan-jalan kehidupan mereka itu. Walaubagaimana sekali pun jua keadaan mereka, sebagai ibu-bapa yang hebat, anda tetap menyayangi dan sedia membantu mereka dengan ikhlas.


.......................................................................


Mengapakah panjang dan lebarnya kisah ibubapa hebat dan anak-anaknya saya coretkan pada artikel kali ini?


Sebenarnya, itu hanyalah sebagai perbandingan, yang saya cuba ketengahkan hanya bertujuan supaya kita dapat memahami dengan mudah akan perhubungan antara manusia dengan Penciptanya, iaitu Allah SWT dalam konteks permohonan doa.

Maksud Firman Allah:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah :216)


Dari ayat diatas kita boleh merenung kembali tentang apa yang telah saya tuliskan sebagai perbandingan diatas tadi iaitu:

Maka, kebarangkalian akan berlaku juga, permintaan dari anak-anak anda yang tidak anda penuhi kerana mengetahui perkara itu mendatangkan risiko yang tidak baik. Dan sepertimana biasa, sesekali anak anda akan akur, dan kadangkala merajuk, dan sebagai ibubapa hebat, sudah pasti anda tahu cara menangani perkara ini.

Ada juga kebarangkalian berlaku, dimana apa yang diinginkan oleh mereka, akan anda dapatkan untuk mereka, kerana dimasa yang sama, anda tahu perkara itu DIPERLUKAN oleh mereka. Jika ini berlaku, anak anda akan sangat gembira dan buat seketika, sebagai anak-anak, mereka menunjukkan sikap sangat sayang pada anda. Tetapi semua itu hanyalah perkara biasa bagi anda kerana anda adalah ibubapa yang hebat.


Ingatlah (terutama diri penulis) bahawa kehidupan kita ini selain dari mengejar kejayaan dunia, kita juga akan menempuh kehidupan kekal diakhirat.

Oleh yang demikian, renung-renungkanlah dalam diri kita, sejauh kehidupan yg telah kita lalui setakat ini, adakah selama ini kita mengejar dan berdoa meminta apa yang kita TERINGIN (yg lebih berbaur nafsu semata) atau kita sepatutnya berdoa dan berusaha untuk memiliki perkara-perkara yang kita PERLUKAN.




Jika, anda pernah membaca artikel "Another Puzzle Solved", diakhir perbincangan, Ustaz haikal ada mengatakan:

"Maka begitu jugalah halnya dengan sesiapa sahaja yang putus cinta dan sebagainya; sebab itulah selalu dinasihatkan supaya "bersabar, ada hikmah disebaliknya". Tetapi rata-rata orang kita tak mahu terima nasihat macam ni, malah marahkan takdir, 'takdir kejam' dan lain-lain. Sedangkan sebenarnya Allah telah menyelamatkan mereka dari bersama dengan orang-orang yang tak sekufu dengan mereka, bertujuan memberikan hanya yang terbaik untuk mereka......


Mungkin bagi mereka yang belum berapa hadam atau 'familiar' pengaplikasian Hukum Tarikan dan juga dengan perbincangan-perbincangan didalam blog ini yang menjurus kepada frekuensi-frekuensi negatif dan positif dalam perhubungan, mungkin sukar untuk memahami secara tepat.

Kadangkala sebagai manusia,kita telah terbiasa terbawa-bawa dengan gaya pemikiran Negatif dan Penuh Dendam (walau tanpa mereka sedari sebenarnya mereka menyimpan dendam), maka akan berlaku sikap prejudis terhadap seseuatu perkara.

Sebagai contoh, seseorang wanita yang terluka hatinya oleh seorang lelaki, akan prejudis dimasa depannya kepada segala tindakannya yang menjurus pada perhubungan dengan lelaki. Tak mustahil jika semua lelaki akan dipandangnya 'jahat dan curang' dan pantang ada peluang, dia akan menunjukkan kemarahannya itu tidak mengira tempat kerana telah berada benar-benar dalam posisi frekuensi negatif. Dia ingin dunia tahu, hatinya dilukai dan dia sangat marah kepada keadaan ini. Hidupnya penuh dengan kemarahan dan dendam tanpa dia sedari. Walau pada kehidupan luarannya dia nampak seolah-olah seseorang yang solehah, kata-katanya sentiasa berciri-cirikan Al-Quran dan Hadis, tetapi semua itu hanyalah untuk menutup kemarahannya yang tersimpan dalam lubuk hatinya.

Begitu juga disebaliknya jika seseorang lelaki mengalaminya, mungkin tindakan yang diambilnya setelah mengalami sesuatu kegagalan itu bersifat lebih kejam.

Segala ini berlaku apabila kita tidak MEMAHAMI atau TIDAK DAPAT MEMBEZAKAN antra perkara yang kita PERLU dan PERKARA YG KITA TERINGIN. Hanya jiwa yang memahami apa itu redha, sabar dan ikhlas sahaja akan dapat menghayatinya.

Masalah orang kita ialah mempunyai penyakit: AKU NAK YANG TU JUGAK!! @ Aku Nak Dia Jugak! @ Aku Tak Mampu Hidup Tanpa Dia! @ Dia Telah Mencuri Hatiku, Aku Tak Mungkin Mampu Melupakan Dia! @ Dia Tercipta Untukku - (How you know ha? Are you God Who create him?)

Walaupun kadangkala secara jelas sebenarnya, melalui pelbagai cara, Allah SWT telah pun menunjukkan bahawa YANG TU JUGAK itu TIDAK DIPERLUKAN oleh dirinya. Tetapi, kelemahan manusia, hati yang dikaburi oleh samaada NAFSU ,KEMARAHAN, atau RASA PUTUS ASA atau Perasaan Cinta Tanpa Berdasarkan Keimanan tidak akan dapat memahami isyarat dariNya.

Jalan terbaik bagi menangani perkara ini ialah dengan cara MENGHAYATI DENGAN IKHLAS bahawa perkara yg berlaku itu adalah kerana ALLAH lebih mengetahui apa yang kita PERLUKAN.

Renung-renungkanlah wahai minda, apakah kita akan terus menyalahkan takdir, menyalahkan orang lain atas keperitan yang kita alami, sedangkan Allah SWT telah berfirman:


Maksud Ayat:

“apa jua kebaikan (Nikmat kesenangan) Yang Engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana Yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.

(An Nisa' : 79)

SILA RUJUK "SIAPAKAH PUNCA MASAALAH" UNTUK MEMAHAMI DENGAN LEBIH LANJUT


Wallahuaklam

~arjunasetia~

"Bukan semua keinginan dan impian kita akan dapat kita miliki tepat seperti yang kita harapkan, TETAPI kita pasti akan memiliki segala apa yang kita PERLUKAN. Segala apa yang kita perlukan itu termasuklah juga KESAKITAN dan KEPEDIHAN sebagai tarbiyah, kifarah dan teguran dari ALLAH dengan tujuan membantu kita supaya tersedar, insaf dan bangkit"


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]