Ahad, 3 Februari 2013

Repost - PARALLEL KEHIDUPAN

Artikel ini telah terbit pada 21 April 2010. ianya disiarkan kembali sebagai intro untuk PENGENALAN KEPADA SIRI PENGAJIAN MATRIX YANG AKAN DIPAUTKAN DIBLOG INI.



Sebelum kita membicarakan lebih lanjut tentang cara mengaplikasikan konsep husnuzzon dalam kehidupan kita, adalah perlu untuk kita memahami tentang takdir dan keselarian kehidupan kita dimukabumi ini. Perhatikan Firman Allah ini:

Allah tidak akan mengubah nasib (seseorang atau) sesuatu kaum, sehingga kaum (atau orang itu) berusaha (membuat komitmen) untuk mengubah apa yang ada pada diri mereka.
(Ar-R'aad : 11)

Maka jelas dari firman Allah, membuktikan betapa Allah telah memberikan manusia suatu kelebihan iaitu kebebasan bertindak dengan kudrat yang dikurniakanNya supaya manusia dapat menggunakan kudrat ini untuk memperbaiki dan memastikan kehidupan manusia itu sentiasa dalam keadaan yang baik.

Firman Allah ini juga bermaksud, bahawa kita TIDAK boleh menyerahkan segala hal-hal yang berkaitan dengan nasib hidup kita semata-mata kepada Allah untuk memberikan kita kehidupan yang baik. Jika inilah yang kita praktikkan, maka bila kita menemui kesusahan dalam hidup, sudah tentulah kita akan menyalahkan Allah. Sedangkan Allah itu Maha Adil, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mustahil Allah berlaku kejam kepada hamba-hambaNya yang sangat disayangiNya.

Allah telah menganugerahkan kepada kita suatu 'kuasa eksekutif' sebagai bekal sementara kita hidup didunia ini, untuk menjalankan tugas kita sebagai khalifah dimukabumi dan juga mengabdikan diri padaNya. Hidup yang dianugerahkan pada kita ini adalah kehidupan yang "FREE WILL". bukan dikontrol atau dikawal mutlak oleh Allah. Jika kita menganggap segala nya sudah ditentukan atau sudah ditakdirkan, mengapa pula Allah berfirman seperti diatas? Mengapa pula ada kitab catatan malaikat Kiraman dan Katibin dikiri dan kanan kita? Ramai yang sudah tersalah anggap tentang konsep takdir ini.

Lauh Mahfuz
Hakikatnya, segala apa jua yang kita fahami sebagai takdir, ketentuan, nasib dan sebagainya di seluruh alam semesta ini, memang telah diberikan ketentuan oleh Allah S.W.T dan segalanya tercatat (direkodkan)dan disimpan disebuah tempat yang kita ketahui dengan nama Lauh Mahfuz.

Firman Allah:
" Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab ( Lauh Mahfuz ) yang terang nyata." (Al-An'aam :59)

Lauh Mahfuz ini termasuk dalam perkara ghaib. Al-Qur'an menerangkannya hanya sekali sahaja dalam ayat 21-22 surah al-Burooj. Maksud ayat, " Bahkan yang didustakan mereka itu ialah al-Qur’an yang mulia; yang tersimpan dalam Lauhul Mahfudz."

Imam Abul Fida' Ismail ibn Kathir (Tafsir Ibn Kathir) meriwayatkan beberapa keterangan daripada sahabat tentang Lauh Mahfuz, antaranya :

1. Daripada Hasan al-Basri: “Pada sisi Allah, terletak Lauh Mahfudz, dari situlah diturunkan daripadaNya akan kehendakNya terhadap siapa yang dikehendaki daripadaNya.”

2. Daripada Ibn Abi Hatim, "Tiada sesuatu yang ditentukan oleh Allah melainkan ditentukan terlebih dahulu dalam Lauh Mahfudz baik al-Qur'an, apa yang sebelumnya atau yang sesudahnya."

Hakikat Lauh Mahfuz yang sebenarnya ialah untuk menggambarkan ilmu Allah iaitu Allah tahu segala-galanya hatta perkara yang belum berlaku. Mengetahui bukan bermakna meletakkan ketentuan mutlak yang tidak boleh diubah-ubah lagi, sesuai dengan firmanNya dibawah:

Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki. Dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab (Lauh Mahfuz). (Ar-Raad : 39)

Sabda Rasulullah SAW:
"TIDAK ADA YANG DAPAT MENOLAK KETENTUAN TUHAN KECUALI DOA, dan tidaklah yang menambah umur kecuali berbuat kebajikan. Dan seorang laki-laki akan diharamkan baginya rezki karena dosa yang diperbuatnya."
(Hadis Riwayat Abu Hurairah)

Hadis yang ini sudah nyata melarang kita hanya menyerah saja kepada takdir yang kita sendiri belum tahu rahsianya.

Sekarang, saya ingin mengajak anda semua berbincang dengan bebas lagi tentang hakikat Takdir yang telah ditentukan, dan dicatat (direkod) di dalam Ummul Kitab yang tersimpan di Lauh Mahfuz, supaya lebih mudah kita fahami tentang hakikat yang sebenar akan takdir didalam parellel kehidupan manusia.

Takdir adalah Program Asas

Apa yang telah kita fahami dari penjelasan pada Surah Al-An'am ayat 59 tadi ialah, setiap manusia, apabila diciptakan Allah, telah ada ketentuan takdir yang dikhaskan untuk manusia itu, dan segalanya telah direkodkan didalam 'Ummul Kitab' yang tersimpan di Lauh Mahfuz. Ketentuan takdir ini adalah merangkumi segalanya iaitu Rezekinya, Jodohnya, Ajalnya, Kelahirannya dan segala-galanya tentang seseorang itu.

Mari kita buka minda kita seluas-luasnya, dan melihat serta memahami keterangan ayat-ayat Allah dengan pandangan dari sudut berbentuk Sains. Saya melihat bahawa Ummul Kitab adalah merupakan tempat penyimpanan data untuk program setiap makhluk terutamanya manusia. (Boleh kita andaikan atau umpamakan seperti sebuah server dalam Kerangka Utama atau Mainframe sesebuah computer sebagai tujuan pemahaman)

Apabila seseorang manusia dicipta, dia memerlukan program yang khas untuk membolehkan dia hidup nyata di bumi yang fana ini atau lebih tepat lagi didalam dimensi kehidupan prasa kedua (Ruang Matrix selepas dilahirkan) . Tanpa program, kita tidak akan berupaya untuk hidup (Program needed to run into the system). Apa yang saya maksudkan ialah, setiap program (takdir) ini, sangat terperinci untuk membolehkan kita menjalani kehidupan. Program yang disediakan untuk kita ini mempunyai jumlah yang tidak dapat terjangkau oleh akal fikiran kita manusia akan jumlahnya. Tetapi bagi memahami secara ringkas, dapat dinyatakan bahawa ianya merangkumi segala aspek kehidupan dari sekeji-keji dan sejahat-jahat perkara sehingga kepada semulia dan sesuci perkara. Dan manusia diberikan kebebasan dan kewarasan untuk memilih sendiri setiap program ini tanpa halangan mengikut keinginan manusia itu sendiri.

Sebagai contoh, jika kita sedang dalam kesempitan wang, kita mempunyai akal yang waras untuk berfikir bagaimana untuk mengatasi dan berikhtiar untuk menyelesaikan masalah itu, samada mencuri, meminjam wang, mengambil rasuah, meminta dari seseorang atau apa jua. Sekiranya kita memilih untuk mencuri, maka program "kita mencuri" itu memang sudah ada tersedia dan mempunyai program pilihan tersendiri seperti mencuri di bank, atau meragut beg dan sebagainya.

Maka setiap pilihan yang kita pilih itu akan membawa pula kepada program lain, bergantung kepada kebijaksanaan kita dalam memilih dan mengusahakannya samada berjaya mencuri, atau terbunuh atau ditangkap, atau dipukul. Akan tetapi kita juga dilengkapkan dengan pengetahuan tentang dosa dan pahala, hukum sebab dan akibat, sebelum membuat sesuatu pilihan dalam kehidupan.

Sekiranya kita memilih pula untuk berniaga, maka telah tersedia pula pelbagai program (takdir) untuk pilihan itu, seperti berniaga apa, dimana, siapa pelanggan kita dan sebagainya. Semuanya telah ditulis sebagai takdir atau program, tetapi apa yang ditulis ini bukannya hanya SATU ketetapan, tetapi terlalu maha banyak dan pelbagai, sehingga kita memilih salah satu daripadanya, dan akan membawa pula kita kepada program seterusnya yang juga telah pun disediakan.

Lihat contoh seorang programmer membuat kode pengaturcaraan yang di dalamnya sudah termaktub penetapannya. Pengguna perisian itu akan mendapat output yang ditetapkan oleh programmer itu. Jika perisian itu adalah sebuah game / permainan komputer, setelah pengguna melalui semua PILIHAN yang diberikan dalam game itu, dan berdasarkan pilihan pilihan yang dibuat itu, maka keputusannya sama ada pengguna itu akan menang ataupun kalah.

Hal ini dapat kita fahami juga dari teori matematik iaitu Teori Kebarangkalian. Kebarangkalian adalah kemungkinan atau kesempatan pada sesuatu keadaan yang akan atau telah berlaku. Teori kebarangkalian digunakan secara meluas dalam bidang seperti statistik, matematik, kewangan, sains dan falsafah untuk mendapat kesimpulan berkaitan kebarangkalian peristiwa terjadi dan mekanik dasar sistem kompleks.

Adapun berkenaan data program yang direkodkan ini, Allah s.w.t menyatakan pelaksanaan terhadap sesuatu ketentuan (program) yang telah ditetapkan semenjak azali sebagai al-Qada’ dalam ayat ini

Firman Allah:
“dan Allah jua yang menciptakan kamu dan (juga) apa yang kamu lakukan”
[Al-Saffat: 96].

Dan juga berdasarkan sabda Nabi s.a.w:
“Allah s.w.t telah menulis takdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”.
[Riwayat Muslim]. (~ Allah is the Program Writer –pen)

Contoh: Ali dilahirkan pada 21hb April 2010, perincian program yang Allah berikan untuk dia sangat terperinci iaitu dilahirkan ditangan doktor mana, selepas dilahirkan, akan dibawa kemana, dimandikan, diazankan oleh siapa, kemudian diberikan susu, dan seterusnya, hanya Allah yang Maha mampu mencipta program yang maha lengkap dan sempurna untuk setiap makhluk ciptaanNya.

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:

“Dia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.”
[Maryam: 21].

Firman Allah:

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.."
(Surah Al-Hadid: 22-23)

Tanpa program (Takdir) ini, mustahil manusia dapat hidup. Contohnya, jika Ali dilahirkan tanpa program, Ali cuma akan lahir dan kemudian 'Freeze'. (Kaku dan pegun) kerana tiada apa-apa program ditulis untuk dirinya.

Akan tetapi, semua program yang diberikan ini (telah dicatat/direkod) hanyalah program asas untuk seseorang itu, tujuannya adalah untuk membolehkan manusia berupaya hidup dimukabumi yang fana ini. Selanjutnya, tentang bahagia atau tidak, berjaya atau tidak kehidupan seseorang itu, manusia diberikan Free Will (Kebebasan memilih program) dalam pilihan-pilihan yang dipilih sendiri oleh manusia apabila telah baligh dan sempurna akal. Maka kerana itu, Nabi S.A,W telah bersabda dengan Hadis yang tersebut diatas tadi iaitu:

TIDAK ADA YANG DAPAT MENOLAK KETENTUAN TUHAN KECUALI DOA

Sebagai contoh:

Mungkin usia Ali didalam program asasnya ialah hingga 50 tahun, akan tetapi Ali selalu berdoa supaya panjang umur, dan dia juga banyak melakukan kebajikan (seiring dengan doanya) maka sekiranya Allah memakbulkan doanya (application approve) maka data rekod didalam program asas Ali didalam Ummul Kitab (Mainframe) tentang ajalnya dipadamkan (delete) dan ditukar kepada tarikh yang lain sebagai contoh : ditukar kepada 70 tahun.

Begitu jugalah tentang jodoh, rezeki, kejayaan, kegagalan dan sebagainya, semuanya adalah bergantung kepada usaha manusia itu sendiri. bukan kerana ditakdirkan oleh Allah. Apa yang kita ketahui sebagai takdir selama ini adalah merupakan Program Asas yang diwujudkan untuk membolehkan kita hidup, bernafas dan berdiri dimukabumi ini. Akan tetapi, kita sendiri diberikan peluang untuk menentukan sendiri masa depan dan nasib kita sendiri. Maka disinilah pula terletaknya kepentingan berhusnuzzon sekiranya kita ingin kehidupan kita mendapat kejayaan dan dipermudahkan di dunia dan mendapat perlindungan di akhirat, sesuai dengan firmanNya dalam hadis qudsi::

Ertinya:
Aku bersama sangkaan hambaku padaku, maka hendaklah ia berprasangka dengan apa yang ia inginkan
( bukan yang ia risaukan atau khuatirkan –(Hadis Qudsi :Thobarani dan Hakam).

Selain dari itu, untuk memudahkan lagi kehidupan manusia, dibekalkan juga panduan-panduan dan garis atur seperti A-Qur'an, Para Nabi dan Rasul yang membantu manusia supaya dapat membuat pilihan yang terbaik dan tepat didalam menentukan program kehidupan manusia itu. Dan ingat lah, Allah hanya akan memberikan yang terbaik sahaja untuk semua hambaNya.

Di zaman Umar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Umar.

Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?”

Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.”

Khalifah Umar ra amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.”

Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?”

Berkata Umar Al-Khattab ra: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.”

Maksudnya, manusia diizinkan Allah untuk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar. Orang itu boleh memilih untuk TIDAK MENCURI tetapi dia sendiri yang memilih untuk mencuri, bukan kerana ditakdirkan oleh Allah. Maka apabila dia memilih untuk mencuri, maka program mencuri itu telah membawa dia sehingga ditangkap oleh Saidina Umar RA.

Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir (program yang maha canggih, sempurna dan effisien). Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia. Justeru itu, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur.

Mengikut sebuah riwayat yang sahih, khalifah Umar Al-Khattab ra enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun.

Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah ra bertanya kepada Saidina Umar ra: “Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?’

Umar ra menjawab: “Aku lari dari takdir Allah yang ini kepada takdir Allah yang lain.”
(Choose to run into another program)
(Riwayat Tarikh At-Tabari)

Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.

Ingatlah, sekiranya kita telah menunjukkan komitmen yang gigih dalam usaha mecapai sesuatu kejayaan atau tujuan tetapi usaha kita itu tidak berjaya, ianya adalah kerana Allah mengatasi segala perancangan kita dengan tujuan untuk memberikan HANYA YANG TERBAIK UNTUK PARA HAMBANYA sesuai dengan firman Allah:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah :216)

*NOTA : Ummul Kitab diketahui umum sebagai al-fatihah, kerana ia adalah penghulu Al-Qur'an. Tetapi Ummul Kitab yang dibincangkan disini ialah Ibu Kitab atau Kitab Induk (yang merekodkan segala urusan tentang takdir, nasib, rezeki, qada' dan qadar, jodoh, ajal, maut dan kelahiran seperti yang difirmankan :

“dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata”.
[Yasin: 12]

Berkata Ibn Kasir ra: “Semua perkara yang berlaku telah pun ditulis (sebelum berlakunya) dalam kitab yang dibentang dan ditetapkan dalam Lauh Mahfuz dan maksud Imam Mubin dalam ayat ini adalah Ibu Kitab” [Ibn Kasir, 6/568]


Firman Allah:

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.."
(Surah Al-Hadid: 22-23)

Wallahuaklam,
Aku mohon keampunan dan petunjukMu ya Allah andainya aku melakukan kesilapan dalam penulisan ku ini. Aku hanya melakukan satu perbincangan bebas bertujuan supaya mendapat kefahaman yang lebih benar tentang KeadilanMu dan juga kebebasan berikhtiar yang Kau kurniakan pada hamba-hambaMu.

BERSAMBUNG KE LINK : http://husnuzzonloa.blogspot.com/2013/02/pengajian-matrix-intro_3.html?m=1
Artikel susunan: taalidi

Terbit untuk ILuvIslam pada 09/07/2010
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2724

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]