Khamis, 22 November 2012

Tombol Pintu Rosak

Bersama LT. KOL. (DR.) LOTFI ANUAR
Pakar Perunding Klinikal Psikiatri, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.


"SAYA bertemu seorang lelaki awal 30-an yang mengadu mengalami masalah was-was sehingga segala urusan kehidupan seharian termasuk ibadah terganggu.

Perasaan was-wasnya bermula secara kebetulan semasa awal remaja apabila terlupa mengunci pintu rumah dan dimarahi ibu. Semenjak itu, lelaki ini kerap tertanya-tanya sama ada dia sudah mengunci pintu rumah setelah keluar.

Sehinggalah dewasa, keadaan lelaki ini semakin teruk sehingga terpaksa pulang ke rumah beberapa kali selepas sampai di pejabat semata-mata untuk memeriksa kunci pintu. Tombol pintu rumahnya juga terpaksa ditukar kerana rosak akibat selalu disentak dengan kuat semasa diperiksa.

Begitu juga apabila membasuh tangan atau mandi, dia akan mengambil masa sehingga dua ke tiga jam. Walaupun telah dibasuh dengan bersih, rasa was-was itu masih wujud sehinggakan dia terpaksa mandi semula beberapa kali dalam satu-satu masa. Akibatnya dia selalu terlewat ke tempat kerja.

Walaupun tangan telah dibasuh degan bersih, bagi pesakit OCD perasaan was-was itu masih wujud. Ibadah solat juga terganggu. Dia mengambil masa yang lama untuk berwuduk dan selalu was-was bilangan rakaat dalam solat. Dia juga mengulangi solat yang sama berkali-kali.

Di tempat kerja, majikan selalu merungut kerja yang diberi terlalu lambat disiapkan. Ini berlaku kerana dia membuat tugasan tersebut berulang-ulang kali juga. Setiap kali tugasan siap, akan ada perasaan was-was yang menyebabkannya terpaksa memadam keseluruhan hasil kerja dan memulakannya semula.

Hari ke hari dia menjadi semakin tertekan. Sekarang dia memutuskan untuk tidak lagi bersolat atau mandi kerana tidak tahan memikirkan perasaan was-was tersebut. Dia mudah meradang dan akhirnya dibuang kerja kerana terlalu kerap ponteng.

Penyakit was-was dalam istilah perubatan psikologi dikenali sebagai obsessive compulsive disorder (OCD). OCD adalah sejenis penyakit gangguan jiwa. Penderita penyakit ini biasanya mengalami gangguan pemikiran berulang-ulang dalam bentuk was-was.

Pemikiran ini akhirnya membawa kepada perbuatan berulang-ulang seperti membasuh tangan, mandi, memeriksa kunci pintu dan lain-lain.

Pesakit OCD juga terlalu cerewet dengan isu kebersihan. Ada pesakit yang enggan mengambil wang kertas yang jatuh ke lantai atau membasuh telefon bimbit berulang kali sehingga rosak semata-mata untuk membuang kekotoran.

Selain was-was, pesakit juga boleh dihantui perasaan bersalah atau gangguan imaginasi.

Sebagai contoh, ada pesakit yang dihantui perasaan bersalah akibat membayangkan diri melakukan perbuatan jijik yang tidak masuk akal seperti membuang air atau membuat hubungan seks di dalam surau atau masjid walhal perkara itu tidak pun dilakukannya.

Dianggarkan satu daripada 50 orang di Amerika Syarikat menghidap penyakit OCD. Jumlah ini dijangka lebih ramai kerana angka ini tidak termasuk mereka yang tidak mendapatkan rawatan secara formal.

Orang sekeliling juga boleh menjadi mangsa. Jika di pejabat, kakitangan bawahan akan menjadi objek obsesi.

Kerja yang diarah perlu dibuat berulang-ulang kali walaupun telah sempurna dilakukan. Susun atur pejabat tidak boleh berubah walaupun seinci dan sebarang kesilapan kecil pasti mengundang amarah yang sangat besar.

Kakitangan juga akan dikenakan undang-undang pelik yang di luar skop kerja. Lebih malang sekiranya mereka juga disuruh membasuh tangan berulang-ulang kali selepas mengambil pen yang terjatuh di lantai.

Nah, sekarang bayangkan pula bagaimana sengsara pasangan di rumah yang terpaksa hidup dengan orang sebegini selama berpuluh-puluh tahun?

Rawatan

Pesakit OCD tahu perbuatan yang mereka lakukan itu bodoh dan tidak masuk akal . Mereka marah jika ada orang berkata mereka tidak mampu mengawal perbuatan sendiri.

Walhal mereka sebenarnya yang tidak mampu melawan pemikiran was-was tersebut.

Kaedah rawatan paling baik adalah pendekatan secara menyeluruh.

OCD sama seperti penyakit murung, ia disebabkan oleh kekurangan neurotransmitter yang di panggil serotonin.

Oleh itu, pesakit OCD juga mudah mendapat kemurungan. Penggunaan ubat antidepressant seperti SSRI (contohnya fluoxetine) dalam dos tinggi sangat membantu dan kesannya boleh di lihat selepas enam minggu.

Pesakit juga boleh diberi psikoterapi untuk mengurangkan sensitiviti terhadap pemikiran obsesi yang keterlaluan.

Untuk memperbetulkan ibadah, pesakit di nasihat mendapatkan nasihat keagamaan sama ada fikah atau tauhid daripada sumber yang betul.


Di petik dari Mingguan Malaysia sisipan Pancasihat 04.11.2012



p/s: Tombol pintu bilik air dibilikku juga selalu rosak dan kuganti banyak kali akibat masalah yang sama. Malah mencuci tombol pintu setiap hari adalah rutin bagiku kerana risau ada najis atau kotoran yg dibawa oleh orang lain yang tidak membasuh tangan dengan bersih yang memegang tombol tersebut dan memungkinkan aku terpegang najis itu lantas mengotorkan pakaianku maka tentulah aku mungkin akan solat dalam keadaan ada najis pada pakaian. Tapi sekarang ni, "ala pegila mampok dgn najis ilusi semua tu!"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]