Rabu, 21 November 2012

Kalau Pakcik memang gagah, cabut paku itu. Kalau boleh cabut, Pakcik bawa tv itu.

...........Saya juga menuntut ilmu silat dan ilmu kebal. Saya memakai susuk emas pada kedua lengan saya. Biasanya kalau kena sebiji penumbuk saya, muka orang boleh pecah bersemburan darah. Inilah satu dari sebabnya kuli-kuli di kilang ini segankan saya. Mereka tahu siapa Pak Mat atau Abang Mat Itam, gelaran yang popular untuk saya di kilang milik Jepun itu.

Merasai diri masih gagah dan kebal, saya mencabarnya.

" Nak, Pakcik curi peti tv ni. Anak tak usah kacau Pakcik. Ini tambahan gaji Pakcik, nak! Jagalah kerja anak di sini, lagipun anak baru kerja. Pakcik bukan seorang di sini, nanti susah! Kalau Pakcik tak apa, tapi kawan-kawan Pakcik yang susahnya kata saya."

Saya sedar ketika itu muka saya cukup garang dan cukup menggerunkan. Penumbuk juga sudah saya genggam-genggam. Saya mengintai-ngintai sasaran pada muka Jaga yang masih mentah berhingus pada anggapan saya ketika itu. Saya kira tentulah kecut perutnya. Ada seorang berketurunan Singh, bekas Jaga Kilang ini dulu pernah saya perlakukan begitu. Sekali tenung sahaja, bertaburan kencingnya, mungkin dia merasa misai saya yang nenggerenyut itu lebih hebat dari misainya. Dan saya dilepaskannya membawa tiga buah tv keluar dari stor.

Akibatnya,dia kena buang kerja sebab dituduh mencuri peti-peti tv warna yang hilang itu.Tetapi pemuda ini tidak berganjak. Dia senyum sahaja. Berkedip pun tidak matanya, malah bersinar-sinar matanya merenung saya. Saya merasa seperti sedang merenung cahaya matahari. Silau dan cacau.

"Kalau tv tu tv curi, Pakcik, tinggalkanlah di situ. Saya tak akan adukan perkara ini!"

• katanya lembut dan selamba. Dia masih menentang mata saya. Saya naik angin. Ke tepi tengking saya. Dia tidak berganjak. Masih senyum juga.Tapi sinar matanya tidak lembut lagi. Warna wajahnya sudah bertukar menjadi merah.

"Ke tepi aku kata! "

Bentak saya lagi, dan sebiji penumbuk saya lepaskan sekencang-kencangnya. Dia mengelak penumbuk itu tanpa berganjak.Tangannya juga tidak diangkat. Ini menaikkan baran saya lagi. Saya mengintai-ngintai sasaran untuk mendaratkan sebiji penumbuk lagi di tubuh badan Jaga muda itu.

Tetapi katanya, lembut tetapi tegas,

"Nanti! "Dia merenung meja kayu yang sudah buruk itu. Saya mengikut hala renungannya. Renungannya terhenti pada paku meja kayu itu yang sedikit timbul.

“Itu, Pakcik,”• katanya. Saya melihat paku itu sekali lagi. Kalau Pakcik memang gagah, cabut paku itu. Kalau boleh cabut, Pakcik bawa tv itu. Saya boleh berhenti kerja esok!"

Cabarnya dengan yakin. Kalau tidak,• ancamnya sambil tetap merenung saya, tinggalkan peti tv tu di situ juga!

Saya memang pantang dicabar, lebih-lebih lagi kalau pencabar itu budak ubun-ubun lembik seperti dia. "Baik!" kata saya.

Dengan itu saya mendekati meja. Kepala paku itu saya pegang dengan maksud mencabutnya. Sekali, gagal. Sekali lagi, gagal juga. Dan sekali lagi, tercabut agak sepadi. Peluh menitik membasahi belakang baju saya . Dia merenung dengan tenangnya.Tidak ada rupa bongkak atau takbur pada mukanya. Didekatinya meja buruk itu.

"Sekarang Pakcik, siapa kuasa?"• katanya. Saya tegamam.

Saya tak kuat Pakcik , tapi Allah Taala yang menjadikan semua makhluk, termasuk Pakcik, dan Jepun tauke kilang ini, Maha kuat, Maha perkasa. Allah kata jangan mencuri, Pakcik tak mau dengar! Saya menasihatkan Pakcik, Pakcik ajak saya berlengan! Allahuakbar Huuu...Allah! serunya. Dengan seruan itu ibu jarinya menekan puting paku, masuk semula ke parasnya timbul tadi. Dia menjemput puting paku itu dengan telunjuk dan ibu jarinya.

Ya Allah! Allah! Allah! serunya, dengan suara bergetar dan bergema. Ketika itu saya melihat dia seolah-olah seekor harimau yang sedang mencengkam sesuatu. Saya terpinga-pinga dan terpegun. Dan,

Pakcik! katanya. Saya tersentak, mengerlipkan mata beberapa kerdip. Dia mengangkat tangan,

Ini, bawa paku ini balik, jadi kenang-kenangan! Bila teringat nak mencuri lagi, pandanglah paku ini. Allah tak suruh kita mencuri! Hari Pakcik masih petang! Taubatlah! katanya.

Saya tergamam dan kecut. Barulah saya teringat, kecil tak semestinya anak, besar tak semestinya bapak.

Maafkan Pakcik, nak! kata saya. Dan perkataan itu entah macam mana boleh keluar, saya tidak ingat. Seumur hidup saya, saya belum pernah meminta maaf atas kesalahan yang saya buat. Kalau tidak begitu, saya tidak akan digelar orang Mat Itam Kepala Batu. Saya adalah samseng yang ditakuti di seluruh tanjung Tok Kong ketika usia remaja saya. Sehingga kini tidak kurang dari empat puluh orang yang saya bunuh kerana menentang saya,dan saya belum pernah masuk penjara, sekalipun telah dibawa ke muka hakim beberapa kali.

Saya tidak mengenal erti belas kasihan, sehingga saya mendapat anak perempuan dari isteri saya yang buta dan amat setia itu. Belum ada orang yang mengalahkan saya dimana-mana gelanggang jua.Tapi kali ini saya tewas. Kalau dia mampu menarik
paku lima inci yang tertanam pada papan meja kayu cengal itu, dan paku berkarat pula, bukan mustahil kalau mampu pula dia dengan sokongan Allah yang dipujanya sentiasa itu, mencabutkan tulang-tulang lengan saya! Begitu fikir saya ketika itu, dan dengan fikiran itu,saya pergi meninggalkan peti tv itu.......


PETIKAN DARI NOVEL MUHAMMAD AKHIR


Hari ini sepanjang hari entah mengapa, aku membaca blog ini dari satu artikel ke satu artikel, jarang saya membaca tulisan sendiri seperti hari ini, tiba-tiba saya teringan tarikh hari ini! 21 NOV, genap 3 tahun blog ini dihasilkan. Patutlah tergerak sangat hati ini ingin membaca kembali artikel-artikel lalu. Maka dengan ini, sesiapa yang ingin memiliki Novel Muhammad Akhir secara percuma, sila email kepada saya di husnuzzonloa@yahoo.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]