Sabtu, 24 November 2012

Kau hujan, ku mentari, terciptalah sang pelangi.. (Tahniah)



Syukur ke hadrat Allah, tahniah diucapkan kepada Dalily, rakan blogger yang juga antara rakan LOA's yang terawal mengikuti Husnuzzonloa yang telah melangsungkan pernikahan pada hari ini 24 Nov 2012 dengan pasangannya Kamarul Fairuz.

Terkenal dengan penggunakan ayat Sod Ba Ro (sabar) dalam penulisan dan perkongsian di blognya Kembara Hidup Aku, Dalily juga komited melakukan pengaplikasian, affirmasi dalam ikhtiar-ikhtiar kehidupannya dan sentiasa memelihara pemikirannya agar sentiasa husnuzzon dan positif.
Antara affirmasi pilihan yang digemari beliau ialah :

Everything I need comes to me at the Perfect Time


Semoga dikurniakan ikatan bahagia yang kekal hingga ke akhirat.




Khamis, 22 November 2012

Tombol Pintu Rosak

Bersama LT. KOL. (DR.) LOTFI ANUAR
Pakar Perunding Klinikal Psikiatri, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.


"SAYA bertemu seorang lelaki awal 30-an yang mengadu mengalami masalah was-was sehingga segala urusan kehidupan seharian termasuk ibadah terganggu.

Perasaan was-wasnya bermula secara kebetulan semasa awal remaja apabila terlupa mengunci pintu rumah dan dimarahi ibu. Semenjak itu, lelaki ini kerap tertanya-tanya sama ada dia sudah mengunci pintu rumah setelah keluar.

Sehinggalah dewasa, keadaan lelaki ini semakin teruk sehingga terpaksa pulang ke rumah beberapa kali selepas sampai di pejabat semata-mata untuk memeriksa kunci pintu. Tombol pintu rumahnya juga terpaksa ditukar kerana rosak akibat selalu disentak dengan kuat semasa diperiksa.

Begitu juga apabila membasuh tangan atau mandi, dia akan mengambil masa sehingga dua ke tiga jam. Walaupun telah dibasuh dengan bersih, rasa was-was itu masih wujud sehinggakan dia terpaksa mandi semula beberapa kali dalam satu-satu masa. Akibatnya dia selalu terlewat ke tempat kerja.

Walaupun tangan telah dibasuh degan bersih, bagi pesakit OCD perasaan was-was itu masih wujud. Ibadah solat juga terganggu. Dia mengambil masa yang lama untuk berwuduk dan selalu was-was bilangan rakaat dalam solat. Dia juga mengulangi solat yang sama berkali-kali.

Di tempat kerja, majikan selalu merungut kerja yang diberi terlalu lambat disiapkan. Ini berlaku kerana dia membuat tugasan tersebut berulang-ulang kali juga. Setiap kali tugasan siap, akan ada perasaan was-was yang menyebabkannya terpaksa memadam keseluruhan hasil kerja dan memulakannya semula.

Hari ke hari dia menjadi semakin tertekan. Sekarang dia memutuskan untuk tidak lagi bersolat atau mandi kerana tidak tahan memikirkan perasaan was-was tersebut. Dia mudah meradang dan akhirnya dibuang kerja kerana terlalu kerap ponteng.

Penyakit was-was dalam istilah perubatan psikologi dikenali sebagai obsessive compulsive disorder (OCD). OCD adalah sejenis penyakit gangguan jiwa. Penderita penyakit ini biasanya mengalami gangguan pemikiran berulang-ulang dalam bentuk was-was.

Pemikiran ini akhirnya membawa kepada perbuatan berulang-ulang seperti membasuh tangan, mandi, memeriksa kunci pintu dan lain-lain.

Pesakit OCD juga terlalu cerewet dengan isu kebersihan. Ada pesakit yang enggan mengambil wang kertas yang jatuh ke lantai atau membasuh telefon bimbit berulang kali sehingga rosak semata-mata untuk membuang kekotoran.

Selain was-was, pesakit juga boleh dihantui perasaan bersalah atau gangguan imaginasi.

Sebagai contoh, ada pesakit yang dihantui perasaan bersalah akibat membayangkan diri melakukan perbuatan jijik yang tidak masuk akal seperti membuang air atau membuat hubungan seks di dalam surau atau masjid walhal perkara itu tidak pun dilakukannya.

Dianggarkan satu daripada 50 orang di Amerika Syarikat menghidap penyakit OCD. Jumlah ini dijangka lebih ramai kerana angka ini tidak termasuk mereka yang tidak mendapatkan rawatan secara formal.

Orang sekeliling juga boleh menjadi mangsa. Jika di pejabat, kakitangan bawahan akan menjadi objek obsesi.

Kerja yang diarah perlu dibuat berulang-ulang kali walaupun telah sempurna dilakukan. Susun atur pejabat tidak boleh berubah walaupun seinci dan sebarang kesilapan kecil pasti mengundang amarah yang sangat besar.

Kakitangan juga akan dikenakan undang-undang pelik yang di luar skop kerja. Lebih malang sekiranya mereka juga disuruh membasuh tangan berulang-ulang kali selepas mengambil pen yang terjatuh di lantai.

Nah, sekarang bayangkan pula bagaimana sengsara pasangan di rumah yang terpaksa hidup dengan orang sebegini selama berpuluh-puluh tahun?

Rawatan

Pesakit OCD tahu perbuatan yang mereka lakukan itu bodoh dan tidak masuk akal . Mereka marah jika ada orang berkata mereka tidak mampu mengawal perbuatan sendiri.

Walhal mereka sebenarnya yang tidak mampu melawan pemikiran was-was tersebut.

Kaedah rawatan paling baik adalah pendekatan secara menyeluruh.

OCD sama seperti penyakit murung, ia disebabkan oleh kekurangan neurotransmitter yang di panggil serotonin.

Oleh itu, pesakit OCD juga mudah mendapat kemurungan. Penggunaan ubat antidepressant seperti SSRI (contohnya fluoxetine) dalam dos tinggi sangat membantu dan kesannya boleh di lihat selepas enam minggu.

Pesakit juga boleh diberi psikoterapi untuk mengurangkan sensitiviti terhadap pemikiran obsesi yang keterlaluan.

Untuk memperbetulkan ibadah, pesakit di nasihat mendapatkan nasihat keagamaan sama ada fikah atau tauhid daripada sumber yang betul.


Di petik dari Mingguan Malaysia sisipan Pancasihat 04.11.2012



p/s: Tombol pintu bilik air dibilikku juga selalu rosak dan kuganti banyak kali akibat masalah yang sama. Malah mencuci tombol pintu setiap hari adalah rutin bagiku kerana risau ada najis atau kotoran yg dibawa oleh orang lain yang tidak membasuh tangan dengan bersih yang memegang tombol tersebut dan memungkinkan aku terpegang najis itu lantas mengotorkan pakaianku maka tentulah aku mungkin akan solat dalam keadaan ada najis pada pakaian. Tapi sekarang ni, "ala pegila mampok dgn najis ilusi semua tu!"

Rabu, 21 November 2012

Kalau Pakcik memang gagah, cabut paku itu. Kalau boleh cabut, Pakcik bawa tv itu.

...........Saya juga menuntut ilmu silat dan ilmu kebal. Saya memakai susuk emas pada kedua lengan saya. Biasanya kalau kena sebiji penumbuk saya, muka orang boleh pecah bersemburan darah. Inilah satu dari sebabnya kuli-kuli di kilang ini segankan saya. Mereka tahu siapa Pak Mat atau Abang Mat Itam, gelaran yang popular untuk saya di kilang milik Jepun itu.

Merasai diri masih gagah dan kebal, saya mencabarnya.

" Nak, Pakcik curi peti tv ni. Anak tak usah kacau Pakcik. Ini tambahan gaji Pakcik, nak! Jagalah kerja anak di sini, lagipun anak baru kerja. Pakcik bukan seorang di sini, nanti susah! Kalau Pakcik tak apa, tapi kawan-kawan Pakcik yang susahnya kata saya."

Saya sedar ketika itu muka saya cukup garang dan cukup menggerunkan. Penumbuk juga sudah saya genggam-genggam. Saya mengintai-ngintai sasaran pada muka Jaga yang masih mentah berhingus pada anggapan saya ketika itu. Saya kira tentulah kecut perutnya. Ada seorang berketurunan Singh, bekas Jaga Kilang ini dulu pernah saya perlakukan begitu. Sekali tenung sahaja, bertaburan kencingnya, mungkin dia merasa misai saya yang nenggerenyut itu lebih hebat dari misainya. Dan saya dilepaskannya membawa tiga buah tv keluar dari stor.

Akibatnya,dia kena buang kerja sebab dituduh mencuri peti-peti tv warna yang hilang itu.Tetapi pemuda ini tidak berganjak. Dia senyum sahaja. Berkedip pun tidak matanya, malah bersinar-sinar matanya merenung saya. Saya merasa seperti sedang merenung cahaya matahari. Silau dan cacau.

"Kalau tv tu tv curi, Pakcik, tinggalkanlah di situ. Saya tak akan adukan perkara ini!"

• katanya lembut dan selamba. Dia masih menentang mata saya. Saya naik angin. Ke tepi tengking saya. Dia tidak berganjak. Masih senyum juga.Tapi sinar matanya tidak lembut lagi. Warna wajahnya sudah bertukar menjadi merah.

"Ke tepi aku kata! "

Bentak saya lagi, dan sebiji penumbuk saya lepaskan sekencang-kencangnya. Dia mengelak penumbuk itu tanpa berganjak.Tangannya juga tidak diangkat. Ini menaikkan baran saya lagi. Saya mengintai-ngintai sasaran untuk mendaratkan sebiji penumbuk lagi di tubuh badan Jaga muda itu.

Tetapi katanya, lembut tetapi tegas,

"Nanti! "Dia merenung meja kayu yang sudah buruk itu. Saya mengikut hala renungannya. Renungannya terhenti pada paku meja kayu itu yang sedikit timbul.

“Itu, Pakcik,”• katanya. Saya melihat paku itu sekali lagi. Kalau Pakcik memang gagah, cabut paku itu. Kalau boleh cabut, Pakcik bawa tv itu. Saya boleh berhenti kerja esok!"

Cabarnya dengan yakin. Kalau tidak,• ancamnya sambil tetap merenung saya, tinggalkan peti tv tu di situ juga!

Saya memang pantang dicabar, lebih-lebih lagi kalau pencabar itu budak ubun-ubun lembik seperti dia. "Baik!" kata saya.

Dengan itu saya mendekati meja. Kepala paku itu saya pegang dengan maksud mencabutnya. Sekali, gagal. Sekali lagi, gagal juga. Dan sekali lagi, tercabut agak sepadi. Peluh menitik membasahi belakang baju saya . Dia merenung dengan tenangnya.Tidak ada rupa bongkak atau takbur pada mukanya. Didekatinya meja buruk itu.

"Sekarang Pakcik, siapa kuasa?"• katanya. Saya tegamam.

Saya tak kuat Pakcik , tapi Allah Taala yang menjadikan semua makhluk, termasuk Pakcik, dan Jepun tauke kilang ini, Maha kuat, Maha perkasa. Allah kata jangan mencuri, Pakcik tak mau dengar! Saya menasihatkan Pakcik, Pakcik ajak saya berlengan! Allahuakbar Huuu...Allah! serunya. Dengan seruan itu ibu jarinya menekan puting paku, masuk semula ke parasnya timbul tadi. Dia menjemput puting paku itu dengan telunjuk dan ibu jarinya.

Ya Allah! Allah! Allah! serunya, dengan suara bergetar dan bergema. Ketika itu saya melihat dia seolah-olah seekor harimau yang sedang mencengkam sesuatu. Saya terpinga-pinga dan terpegun. Dan,

Pakcik! katanya. Saya tersentak, mengerlipkan mata beberapa kerdip. Dia mengangkat tangan,

Ini, bawa paku ini balik, jadi kenang-kenangan! Bila teringat nak mencuri lagi, pandanglah paku ini. Allah tak suruh kita mencuri! Hari Pakcik masih petang! Taubatlah! katanya.

Saya tergamam dan kecut. Barulah saya teringat, kecil tak semestinya anak, besar tak semestinya bapak.

Maafkan Pakcik, nak! kata saya. Dan perkataan itu entah macam mana boleh keluar, saya tidak ingat. Seumur hidup saya, saya belum pernah meminta maaf atas kesalahan yang saya buat. Kalau tidak begitu, saya tidak akan digelar orang Mat Itam Kepala Batu. Saya adalah samseng yang ditakuti di seluruh tanjung Tok Kong ketika usia remaja saya. Sehingga kini tidak kurang dari empat puluh orang yang saya bunuh kerana menentang saya,dan saya belum pernah masuk penjara, sekalipun telah dibawa ke muka hakim beberapa kali.

Saya tidak mengenal erti belas kasihan, sehingga saya mendapat anak perempuan dari isteri saya yang buta dan amat setia itu. Belum ada orang yang mengalahkan saya dimana-mana gelanggang jua.Tapi kali ini saya tewas. Kalau dia mampu menarik
paku lima inci yang tertanam pada papan meja kayu cengal itu, dan paku berkarat pula, bukan mustahil kalau mampu pula dia dengan sokongan Allah yang dipujanya sentiasa itu, mencabutkan tulang-tulang lengan saya! Begitu fikir saya ketika itu, dan dengan fikiran itu,saya pergi meninggalkan peti tv itu.......


PETIKAN DARI NOVEL MUHAMMAD AKHIR


Hari ini sepanjang hari entah mengapa, aku membaca blog ini dari satu artikel ke satu artikel, jarang saya membaca tulisan sendiri seperti hari ini, tiba-tiba saya teringan tarikh hari ini! 21 NOV, genap 3 tahun blog ini dihasilkan. Patutlah tergerak sangat hati ini ingin membaca kembali artikel-artikel lalu. Maka dengan ini, sesiapa yang ingin memiliki Novel Muhammad Akhir secara percuma, sila email kepada saya di husnuzzonloa@yahoo.com

Rabu, 7 November 2012

Rindu Tapi Tak Upaya Menjawab Sapaan



Dia rakan sekolahku ketika menengah rendah. Dia kehilangan ayahnya ketika berusia baru 1 tahun. Memang dia tidak dapat mengingati apa-apa pun memori bersama Arwah ayahnya. Terkadang dia meluahkan rasa irinya bila melihat kawan-kawan yang lain yang mempunyai ayah sebagai pelindung dan tempat bermanja.

" Aku tak pernah berkesempatan menyebut perkataan 'AYAH' kepada seseorang. Dan aku tak pernah mendengar seseorang yang menggelarkan dirinya 'AYAH' memanggil aku. "

Begitu antara luahan hati yang pernah dikongsikannya padaku. Aku bersimpati dengan nasibnya. Apakan daya, Ayahnya dijemput kembali dalam satu kemalangan jalanraya ketika pulang dari bekerja. Hinggalah ke hari ini, walau sudah menjejak usia yang semakin matang ini, sesekali dia tetap meluahkan kerinduannya terhadap AYAH.

Baru-baru ini kami terserempak disebuah pasaraya lantas beliau mengajak saya bersembang minum. Ada sesuatu yang sangat penting ingin diperkatakan nampaknya.

" Hajat aku selama ini dimakbulkan...!"

Hajat apa tu?

Ayahku menyapaku!

Biar benar?

Betul, malah dia hantar SMS padaku, cuba baca ni:


" TOLONG TOPUPKAN AYAH RM30 KE NOMBOR INI. INI NOMBOR KAWAN AYAH, HP AYAH HILANG, AYAH ADA DI BALAI POLIS KERANA ADA URUSAN MUSTAHAK. JANGAN RISAU, SELESAI NANTI AYAH TELEFON KAMU"


Haha...berderai ketawa kami berdua, kerana SMS itu adalah dari PENIPU yang cuba menipu semata-mata untuk mendapatkan kredit panggilan. Mungkin ada juga orang yang telah tertipu dan terkena.


"Aku memang tahu ini semua penipu, tapi kau tahu apa kesannya padaku? Untuk seketika, sejurus mendapat SMS itu, aku agak teruja seketika, terasa seolah-olah benar-benar seseorang yang bernama AYAH telah menghubungi aku. Seolah-olah kerinduanku agak terubat. Beberapa kali aku mengulang membacanya hingga airmataku menitis, Malah aku tetap akan menyimpan SMS ini sebagai kenangan.

Yang lucunya, aku terpikir juga , jika benar 'AYAH' menghantar SMS padaku, telefon jenis apa agaknya yang digunakannya di alam barzah? I-Phonekah? Blackberrykah? Hahaha, dan terfikir juga aku, sekian lama aku merinduinya, tiba-tiba dia muncul hanya untuk meminta wang.

Dan yang agak menyedihkan ialah, aku tidak menjawab SMS dari 'AYAH'!




PERHATIAN: BAGI ANDA YANG MASIH MEMPUNYAI IBUBAPA HINGGA KINI, BERSYUKURLAH KERANA MASIH MENDAPAT KESEMPATAN UNTUK BERBAKTI, BERMANJA, MERAJUK DAN BERBUDI KEPADA IBUBAPA. BERSYUKURLAH WALAUPUN KADANGKALA ANDA MERASA JAUH HATI ATAU PENING KEPALA DENGAN SIKAP IBU BAPA ANDA. BAYANGKAN PERASAAN MEREKA YANG TIDAK MEMILIKI KESEMPATAN SEPERTI ANDA.


Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]