Khamis, 9 Februari 2012

"Aku adalah Aku, Kamu adalah Kamu"

Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama dikurun ke 13 Hijrah, menulis didalam sebuah kitab yang menerangkan tentang asal nafsu.

Ketika Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud :

“Wahai nafsu, mengadaplah kamu!”.

Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri.

Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud :

“Siapakah engkau dan siapakah Aku?”.

Lalu nafsu berkata,

“Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau.”

Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :

“Siapakah engkau dan siapakah Aku?”.

Lalu nafsu berkata,

“Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.”

Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu’ selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :

“Siapakah engkau dan siapakah Aku?”.

Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata,

” Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah Tuhanku.”

Setelah itu nafsu yang sedemikian degil itu dijadikan sebagai sebahagian dari bekal untuk manusia sepertimana manusia juga dibekalkan dengan akal.

..................


Maka lantaran itu, didalam kehidupan kita seharian, adakalanya kita akan bertindak melampaui batas, dan apabila kita tersedar, kita menyesal dan merasakan bagai tidak percaya bagaimanakah tergamaknya diri kita melakukan sedemikian. Ini adalah kerana kita telah dibekalkan sendiri oleh Allah dengan sesuatu yang degil, jahat dan zalim didalam diri kita iaitu nafsu.

Apa yang dapat kita lakukan disini sebagai manusia ialah belajar bagaimana untuk mengawal nafsu, kalaupun tidak berjaya menundukkannya. Inilah cabaran dan ujiannya buat manusia. Sesungguhnya, ini adalah sesuatu yang amat sukar. Tetapi Allah telah berkehendakkan begitu untuk setiap manusia maka mahu atau tidak kita mesti berdepan juga dengan hakikat ini.

Lantaran itulah juga, Allah memberitahu pula bahawa Dia memiliki Sifat Maha Pengampun, iaitu sedia memberikan keampunan kepada hamba-hambaNya yang telah melakukan kesalahan walaupun yang melampaui batas, kerana Dia sendiri sedia maklum bahawa Dia sendiri yang telah membekalkan sesuatu yang amat degil dan jahat kepada semua hamba-hambaNya (manusia).

Seperti mana maksud firmanNya:

“Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Az-Zumar: 53)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]