Ahad, 29 Januari 2012

Aku Dah Putus Asa

Sebenarnya, segala-galanya dalam hidup ini adalah indah, nyaman dan bermakna jika kita memberi peluangsejenak kepada diri kita untuk memikirkannya dari ruanglingkup dan persepsi yang berbeza dari apa yang kita lihat secara mata kasar. Tiada suatu pun yang tidak bererti. Segalanya tentang kehidupan ini. Tak kira apa jua yang berlaku dan dilalui, segalanya mempunyai pengertian dan makna yang menjurus kepada ‘didikan’ Allah kepada hamba-hambaNya, yang bermaksud Dia sentiasa dan berterusan memberi peluang kepada hambaNya untuk menuju pengakhiran hidup yang sejahtera agar dapat kembali padaNya dalam keadaan selamat dan diredhaiNya.

Cuma, cuma kita tidak dapat melihat hakikat ini dan terus tersasar dari masa ke semasa. Pun begitu Dia tetap membawa kita keluar dari sasaran yang tersalah itu supaya sedar dan berupaya menuju kembali ke landasan yang betul.

Sayangnya, manusia didalam kealpaan dan kelalaian ini tidak mahu membuka mata rohani dan berhenti seketika untuk menggunakan fikiran, berfikir merenung semula jarak dan jauh perjalanan dan apakah tujuan dan matlamat hidup masing-masing.

Ungkapan yang masyhur dari Sahabat Nabi S.A.W iaitu Abi Darda':

تفكر ساعة خير من قيام ليلة

"berfikir sejenak lebik baik dari solat qiyammulail (solat sepanjang malam)"

Tahqeeq: Ia disangkakan hadith, tapi sebenarnya adalah kata2 yg dinisbahkan kepada Abi Darda' (wafat 32 H, sahabat Ansar Madinah) [Zahabi, alSiyar, 2/348)

Terdapat hadis sahih yang mendokong kata2 Abu Darda' ini.

"Janganlah engkau berfikir akan Dzat Allah tapi renungilah ciptaan-Nya."
(alAlbani, silsilah alSahihah (4/396)


Benar, keduniaan dan daki dunia membuat manusia lupa, lalai dan semakin sesat. Pun begitu disetiap kesesatan dan kelekaan, Dia tak pernah sejenak pun melupakan kita dan terus menerus memberi sokongan, bantuan dan didikan supaya manusia itu masih berpeluang untuk menyelamatkan diri mereka, meskipun Dia didurhakai berkali-kali.



Dialah Tuhan yang Menciptakan dan sekaligus amat (Maha) bertanggungjawab terhadap SETIAP penciptaanNya. Dialah yang bertanggung jawab memberi rezeki dan segala keperluan terhadap apa yang diciptakanNya. Bertanggungjawab memberi jaminan keselamatan dan perlindungan kepada ciptaanNya. Dan Dia amat (Maha) sayang dan belas kasihan sekali dengan setiap ciptaanNya.

Di atas dasar rasa (Maha) Sayang, Belas Kasihan dan Bertanggungjawab inilah Dia tidak pernah berhenti dari terus memberikan didikan, harapan dan pertolongan serta sokongan kepada setiap makhluk ciptaanNya.

Menyedari hakikat “Dia tidak pernah berhenti dari terus memberikan didikan, harapan dan pertolongan serta sokongan” inilah, maka manusia adalah DILARANG sama sekali dari BERPUTUS ASA dari RahmatNya (Rahmat- antaranya: perlindungan, kasih sayang, keampunan, redha dan segala yang diperlukan oleh manusia).

Maksud Firman Allah:

“Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Az-Zumar: 53)

Bagaimana mungkin seorang manusia itu sanggup mengambil sikap berputus asa dari RahmatNya sedangkan DIA sendiri tidak pernah berhenti dari terus memberikan didikan, harapan dan pertolongan serta sokongan kepada setiap makhluk ciptaanNya?

Siapakah yang berlaku zalim dan kejam disini? Kitakah (para hamba ciptaanNya) atau Dia? Kita lah yang melakukan kekejaman terhadap Dia apabila kita mengambil jalan untuk mengikutkan rasa berputus asa dari RahmatNya bila berhadapan dengan sesuatu situasi atau permasalahan hidup yang terasa membebankan walaupun sebenarnya jalan penyelesaiannya sentiasa ada dihadirkan oleh Dia bersama setiap musibah. (rujuk LINK)

Tidakkah kita merasa kasihan (sebak didada) apabila memperlakukan sedemikian kepada Dia yang tidak pernah berhenti dari terus memberikan didikan, harapan dan pertolongan serta sokongan” kepada kita, tanpa mengharapkan apa-apa balasan jua pun dari kita?

Malah kitalah yang berhajat dan berkehendak kepada Dia. Kerana segala sesuatu apa pun jua yang diinginkan, diingini, dihajati, segalanya adalah HANYA semata-mata BOLEH DIDAPATI dari DIA sahaja. Dialah Sorce, Sumber, Pencipta, Pembuat, Penghasil yang mana Dia menghasilkan segalanya itu tanpa ada sedikit susah payah pun. Dan Dia yang merupakan Sorce dan Sumber itu adalah Sangat (maha) suka memberi dan sangat (maha) pemurah .

Tiada lain selain Dia iaitu Allah S.W.T, Tuhan yang menciptakan seluruh alam semesta ini, memilikinya dan berkuasa ke atas segalanya diseluruh alam semesta ini. Dan hanya kepada Dia sahajalah segala sesuatu yang selain dariNya, iaitu hasil ciptaanNya wajib menyembah Dia, sujud kepada Dia, sebagai Tuhan yang Hanya SATU, yang Maha Tinggi Kemuliaan dan KeagunganNya, dan dalam pada itu, Dia tidak pernah berhenti dari terus memberikan didikan, harapan dan pertolongan serta sokongan kepada setiap makhluk ciptaanNya dengan penuh rasa tanggungjawab dan belas kasihan.

Awas!: Kita hanya melakukan kezaliman yang nyata apabila kita melayan rasa putus asa dan memilih jalan untuk berputus asa didalam kehidupan, give-up, lose hopes yang mana segalanya itu memberi erti bahawa kita telah berputus asa dari RahmatNya sedangkan :

Dia tidak pernah berhenti dari terus memberikan didikan, harapan dan pertolongan serta sokongan kepada setiap makhluk ciptaanNya


*didikan = ujian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]