Selasa, 22 November 2011

Perasaan sayang satu kurniaan bukan sumpahan.


By Permata Aurorius

“Dan antara tanda-tanda kekuasaanNya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” (Ar-Rum:21)

Andai sebuah rasa sayang mula mengintai hati langit terasa semakin cerah, hati berdebar menahan rasa, rindu semakin mencengkam didada. Segalanya cukup indah pada pandangan mata seperti musim luruh yang cukup mengujakan. Satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Senyuman manis sentiasa terukir dibibir, wajah manis dan ceria sebagai tanda bahagia. Begitulah berserinya dunia orang yang mula mengenal perasaan sayang. Apa sahaja yang dilakukan pasti wajah yang tersayang sentiasa menerpa diingatan.

Perasaan indah ini dianggap sebagai satu anugerah Allah yang tidak ternilai. Ucapan syukur tak habis-habis diucapkan pada Allah s.w.t. Namun kita seolah-olah lupa dengan takdir Allah pabila semuanya ditarik semula. Bila orang yang disayangi pergi dari sisi kita segalanya dianggap sebagai mimpi ngeri. Rasa menyesal, kecewa, marah dan sedih semuanya bersatu. Hidup yang cerah dan ceria bertukar menjadi kelam dan suram. Wajah yang manis berubah menjadi sembab kerana tangisan yang tak pernah berhenti. Semuanya bertukar sekelip mata bak padang jarak padang terkukur.

Bibir yang selama ini mengucapkan syukur pada Allah mula mengeluarkan kata-kata yang negatif. Segala kesalahan diletakkan ke bahu orang yang pergi, kata-kata pujian menjadi kata makian dan cacian. Perasaan amarah dilontarkan tanpa segan silu. Putus asa mula mengundang dalam jiwa, berharap hidup akan berakhir disitu juga pergi bersama kekecewaan yang datang. Tanpa kita sedari disitulah kesilapan terbesar kita selama ini. Kalau sewaktu perasaan sayang itu hadir kita fahami anugerah Allah mengapa tidak kita mengerti pemergiannya juga adalah anugerah Allah.

Kita terlupa tiada sesuatu yang berlaku didunia ini tanpa pengetahuan Allah s.w.t. TakdirNya cukup tepat buat hambaNya. Adakalanya perpisahan itu adalah untuk menyelamatkan kedua belah pihak daripada kekecewaan atau musibah yang lebih besar, kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui apakah yang paling terbaik untuk hamba-hambaNya.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah :216)

Setiap sesuatu yang berlaku pastilah ada hikmahnya. Allah mengajar kita melalui kekecewaan. Menegur kesilapan kita melalui musibah yang datang. Disinilah kita perlu merenung diri sendiri dan mencari kesilapan kita. Memohon keampunan dari Allah s.w.t atas segala kekhilafan kita dan berusaha untuk perbaiki diri sendiri.

Teringat saya suatu ketika dahulu bila salah seorang sahabat baik saya kehilangan kekasih hatinya. Dia kelihatan begitu murung pada mulanya namun kembali pulih selepas dua minggu. Dia berusaha memperbaiki hidupnya, malah kerapkali menyebut dia sedang bersedia menunggu seseorang yang akan dihantar Allah s.w.t. Dia menyatakan yang dia yakin kekasihnya akan kembali semula ke sisinya. Daripada gerak gayanya dia memang seolah-olah dia yakin dan pasti yang kekasihnya akan kembali. Pada mulanya saya memang menyokong dia menanti, namun setelah setahun berlalu saya menjadi sedih dengan cara sahabat saya itu.

Saya menangis melihat perlakuannya kerana saya sangkakan dia terlalu kecewa sehingga terus hidup dalam angan-angan. Dia mengumpul wang untuk hantaran, mencari tanah untuk membuat rumah, membeli kereta untuk persediaan ke arah perkahwinan. Bila saya bertanyakan siapakah calonnya pasti nama wanita yang sama akan disebutnya. Keyakinannya cukup tinggi.

Setelah dua tahun berlalu ternyata apa yang dihajatinya menjadi kenyataan. Kekasih yang di nanti kembali kesisi dan mereka bernikah setahun kemudian. Sekarang setelah hampir dua tahun mendirikan rumahtangga sahabat saya tadi telah dikurniakan Allah seorang anak lelaki yang cukup comel. Begitulah ganjaran Allah pada sahabat saya ini yang tak pernah putus-putus berdoa dan tidak pernah goyah keyakinannya pada Allah s.w.t. Dia tidak tenggelam dalam kecewa, malah menjadikan dugaan itu sebagai sumber kekuatannya. Yang paling membuatkan saya gembira sahabat saya ini telah berubah menjadi seorang yang taat pada perintah Allah, positif, penyayang dan boleh bertolak ansur. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah.

Rasa sayang itu kurniaan Allah yang tidak ternilai, dengan hadirnya perasaan itu kita merasa bahagia. Sayang itu bukan suatu sumpahan yang merosakkan jiwa manusia. Andai kita fahami erti kasih sayang sebenar pastinya kita tak akan rasa kecewa. Kerana rasa sayang itulah ibu dan bapa menjaga kita dengan baik, adik beradik menjadi rapat, sahabat sentiasa menyokong antara satu sama lain dan jiran sentiasa bertolak ansur.

Seringkali kita tafsirkan sayang itu bermakna adanya teman sehati sejiwa atau dinamakan kekasih sentiasa menyayangi dan ada disisi kita. Terlalu cetek pandangan kita. Padahal Allah telah memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi pada setiap hambaNya. Rasa sayang yang tak pernah dikhianati. Kita menangis apabila dikhianati kekasih namun terlupa kita telah mengkhianati kasih sayang Allah selama ini. Kita kecewa bila kita diabaikan, namun tanpa disedari kita telah mengabaikan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Duduklah sebentar dan kenang kembali bilakah kali terakhir kita mengalirkan air mata atas kesilapan dan dosa kita selama ini? Bilakah kali terakhir kita mengucapkan syukur atas segala nikmat Allah yang melimpah ruah dicurahkan pada kita selama ini?

Kita boleh menghabiskan berpuluh ringgit untuk menghantar pesanan dan berbual dengan kekasih tetapi pernahkan kita buat perkara yang sama dengan ibu dan ayah kita? Kita menghabiskan masa berjam-jam lamanya berjumpa kekasih hati, bolehkah kita menghabiskan masa yang sama untuk tunduk dan patuh serta beribadat kepada Allah Yang Maha Esa?

Rasa sayang kita itu tidak termaktub pada kekasih hati sahaja, ianya cukup luas. Kasih pada Allah dan rasulNya, kasih pada ibu bapa, keluarga, sahabat dan jiran tetangga. Andai sudah memiliki cinta kerana Allah peliharalah ia, jagalah ia dan bawalah kasih sayang itu mengikut syariat Islam namun jika masih belum memiliki cinta, tumpahlah kasih sayang pada yang sepatutnya. Salurkan kasih saying itu kepada Allah, sudah pastilah cinta kita akan berbalas dan tidak akan sesekali dikhianati. Curahkan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada ibu bapa,itulah makna kebahagiaan yang sebenar. Apabila kehilangan seseorang ingatlah yang masih kekal disisi kita masih terlalu ramai. Rawatlah jiwa yang terluka, jadikan kekecewaan itu satu permulaan untuk kita mengenali siapa diri kita yang sebenarnya, jadilah hamba Allah yang lebih baik. Andai Allah izinkan kita menyayangi dia tak mustahil kita akan dianugerah seseorang yang lebih baik darinya. Yakinlah dengan takdir Allah s.w.t, pasti seseorang akan hadir dalam hidup kita. Mohonlah keampunan dariNya atas segala kekhilafan kita selama ini. Allah s.w.t sentiasa memberikan kita kebahagiaan namun terus berada dalam kesedihan itu adalah pilihan kita sendiri. Marilah kita sama-sama berdoa memohon kebahagiaan dunia akhirat kepada Allah. Semoga bunga-bunga bahagia sentiasa mekar di dalam hati kita semua. InsyaAllah.

Ya Allah Ya Tuhanku

Ya Maha Pengasih dan Maha Pemurah

Aku mohon hadirkanlah teman hidup buatku

Aku mohon mempunyai pasangan didunia dan di akhirat

Ya Allah Ya Tuhanku

Andai aku jatuh cinta jangan biarkan cintaku padanya melebihi cintaku padaMu dan RasulMu

Andai aku rindu jangan biarkan rinduku padanya melebihi rinduku padaMu dan RasulMu

Andai benar dia untukku

Jodoh yang terbaik buatku

Aku mohon kau pertemukan jodoh kami

Kau permudahkanlah urusan kami

Rantaikan ikatan kasih sayang antara kami

Jadikanlah kami pasangan yang sentiasa mendekatkan diri padaMu

Berilah kebahagiaan dunia akhirat buat kami berdua

Semoga cinta dan rindu antara kami hanyalah semata-mata keranaMu Ya Allah.

3 ulasan:

  1. tersentuh bc artikel nie..hurmm..tetba trase mcm pale kne tampar lju2 je..~

    BalasPadam
  2. Igtlah kasih syg Allah sgt2 besar buat kita hambaNya..

    BalasPadam
  3. Terimakasih, artikel yg sangat menarik. Apa yg saya nampak, sahabat anda itu benar-benar husnuzzon dgn doanya dan tidak pernah lari dari fokusnya, walau pada mulanya anda menyangka dia hidup dalam angan-angan, tetapi angan-angan itu yg membawa dia melakukan komitment dan akhirnya dengan izinNya, dimanifestasikan.

    BalasPadam

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]