Selasa, 22 November 2011

Antara Dua Sujud

By: Puteri Safeera

Assalamualaikum,

Ramai yang tidak menyedari akan kehebatan doa yang setiap hari kita lafazkan didalam solat ketika duduk diantara dua sujud. Ada juga yang tidak memahami apakah maksud doa yang dibacakan, sekadar menghafal tanpa mengetahui maksud yang terkandung didalamnya.

Duduk antara dua sujud merupakan salah satu rukun fi‘li (perbuatan) yang pendek. Menurut jumhur ulama duduk antara dua sujud adalah wajib dan tidak sah solat jika ditinggalkan dengan sengaja.

Nabi S.A.W bersabda:

"Apabila engkau berdiri untuk menunaikan solat hendaklah bertakbir, kemudian bacalah yang mudah olehmu daripada ayat Al-Quran. Kemudian ruku‘ dengan thuma’ninah, kemudian bangkit sehingga berdiri tegak (i‘tidal), kemudian sujud dengan tuma’ninah, kemudian bangkitlah daripadanya dengan thuma’ninah (duduk antara dua sujud), dan lakukanlah yang sedemikian itu dalam setiap solatmu".(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Doa yang kita lafazkan setiap kali duduk diantara 2 sujud ini jika dibaca dengan penuh penghayatan dan pengharapan, ianya cukup melengkapi segala apa yang diperlukan oleh kita sebagai manusia didalam kehidupan dimuka bumi ini. Keampunan dari Allah, kasih sayang dariNya, kemuliaan dan pemeliharaan keperibadian, kecukupan rezeki dan harta, petunjuk dan hidayah, kesihatan zahir dan batin serta keredhaanNya keatas diri kita.

Hayatilah dengan sepenuh penghayatan akan maksud-maksud ayat yang setiap hari kita lafazkan ini dan lafazkanlah didalam solat kita dengan penuh pengharapan dan sifat kehambaan.

Kelebihan doa ini ialah ianya terletak diantara 2 sujud, dimana waktu sujud itu adalah waktu yang dikatakan saat paling dekat seorang hamba itu dengan Allah. Ia melahirkan keazaman serta penyerahan yang tulin pada jiwa seorang hamba untuk mencapai apa yang diharapkannya daripada doa itu. Oleh kerana itu hayatilah setiap gerak doa ini supaya memberi kesan yang baik kepada kemantapan iman.



Rabbighfirli
Tuhanku, ampunilah daku

Warhamni
rahmatilah daku (sayangilah daku)

Wajburnii

tutupkanlah keaiban diriku

Warfa'nii
Tinggikanlah darjat hambamu ini

Warzuqnii
berikanlah daku rezeki

Wahdinii
berikanlah daku petunjuk

Wa'Aafinii
sihatkanlah diriku

Wa'fuannii
maafkanlah hambaMu ini

Perasaan sayang satu kurniaan bukan sumpahan.


By Permata Aurorius

“Dan antara tanda-tanda kekuasaanNya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” (Ar-Rum:21)

Andai sebuah rasa sayang mula mengintai hati langit terasa semakin cerah, hati berdebar menahan rasa, rindu semakin mencengkam didada. Segalanya cukup indah pada pandangan mata seperti musim luruh yang cukup mengujakan. Satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Senyuman manis sentiasa terukir dibibir, wajah manis dan ceria sebagai tanda bahagia. Begitulah berserinya dunia orang yang mula mengenal perasaan sayang. Apa sahaja yang dilakukan pasti wajah yang tersayang sentiasa menerpa diingatan.

Perasaan indah ini dianggap sebagai satu anugerah Allah yang tidak ternilai. Ucapan syukur tak habis-habis diucapkan pada Allah s.w.t. Namun kita seolah-olah lupa dengan takdir Allah pabila semuanya ditarik semula. Bila orang yang disayangi pergi dari sisi kita segalanya dianggap sebagai mimpi ngeri. Rasa menyesal, kecewa, marah dan sedih semuanya bersatu. Hidup yang cerah dan ceria bertukar menjadi kelam dan suram. Wajah yang manis berubah menjadi sembab kerana tangisan yang tak pernah berhenti. Semuanya bertukar sekelip mata bak padang jarak padang terkukur.

Bibir yang selama ini mengucapkan syukur pada Allah mula mengeluarkan kata-kata yang negatif. Segala kesalahan diletakkan ke bahu orang yang pergi, kata-kata pujian menjadi kata makian dan cacian. Perasaan amarah dilontarkan tanpa segan silu. Putus asa mula mengundang dalam jiwa, berharap hidup akan berakhir disitu juga pergi bersama kekecewaan yang datang. Tanpa kita sedari disitulah kesilapan terbesar kita selama ini. Kalau sewaktu perasaan sayang itu hadir kita fahami anugerah Allah mengapa tidak kita mengerti pemergiannya juga adalah anugerah Allah.

Kita terlupa tiada sesuatu yang berlaku didunia ini tanpa pengetahuan Allah s.w.t. TakdirNya cukup tepat buat hambaNya. Adakalanya perpisahan itu adalah untuk menyelamatkan kedua belah pihak daripada kekecewaan atau musibah yang lebih besar, kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui apakah yang paling terbaik untuk hamba-hambaNya.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah :216)

Setiap sesuatu yang berlaku pastilah ada hikmahnya. Allah mengajar kita melalui kekecewaan. Menegur kesilapan kita melalui musibah yang datang. Disinilah kita perlu merenung diri sendiri dan mencari kesilapan kita. Memohon keampunan dari Allah s.w.t atas segala kekhilafan kita dan berusaha untuk perbaiki diri sendiri.

Teringat saya suatu ketika dahulu bila salah seorang sahabat baik saya kehilangan kekasih hatinya. Dia kelihatan begitu murung pada mulanya namun kembali pulih selepas dua minggu. Dia berusaha memperbaiki hidupnya, malah kerapkali menyebut dia sedang bersedia menunggu seseorang yang akan dihantar Allah s.w.t. Dia menyatakan yang dia yakin kekasihnya akan kembali semula ke sisinya. Daripada gerak gayanya dia memang seolah-olah dia yakin dan pasti yang kekasihnya akan kembali. Pada mulanya saya memang menyokong dia menanti, namun setelah setahun berlalu saya menjadi sedih dengan cara sahabat saya itu.

Saya menangis melihat perlakuannya kerana saya sangkakan dia terlalu kecewa sehingga terus hidup dalam angan-angan. Dia mengumpul wang untuk hantaran, mencari tanah untuk membuat rumah, membeli kereta untuk persediaan ke arah perkahwinan. Bila saya bertanyakan siapakah calonnya pasti nama wanita yang sama akan disebutnya. Keyakinannya cukup tinggi.

Setelah dua tahun berlalu ternyata apa yang dihajatinya menjadi kenyataan. Kekasih yang di nanti kembali kesisi dan mereka bernikah setahun kemudian. Sekarang setelah hampir dua tahun mendirikan rumahtangga sahabat saya tadi telah dikurniakan Allah seorang anak lelaki yang cukup comel. Begitulah ganjaran Allah pada sahabat saya ini yang tak pernah putus-putus berdoa dan tidak pernah goyah keyakinannya pada Allah s.w.t. Dia tidak tenggelam dalam kecewa, malah menjadikan dugaan itu sebagai sumber kekuatannya. Yang paling membuatkan saya gembira sahabat saya ini telah berubah menjadi seorang yang taat pada perintah Allah, positif, penyayang dan boleh bertolak ansur. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah.

Rasa sayang itu kurniaan Allah yang tidak ternilai, dengan hadirnya perasaan itu kita merasa bahagia. Sayang itu bukan suatu sumpahan yang merosakkan jiwa manusia. Andai kita fahami erti kasih sayang sebenar pastinya kita tak akan rasa kecewa. Kerana rasa sayang itulah ibu dan bapa menjaga kita dengan baik, adik beradik menjadi rapat, sahabat sentiasa menyokong antara satu sama lain dan jiran sentiasa bertolak ansur.

Seringkali kita tafsirkan sayang itu bermakna adanya teman sehati sejiwa atau dinamakan kekasih sentiasa menyayangi dan ada disisi kita. Terlalu cetek pandangan kita. Padahal Allah telah memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi pada setiap hambaNya. Rasa sayang yang tak pernah dikhianati. Kita menangis apabila dikhianati kekasih namun terlupa kita telah mengkhianati kasih sayang Allah selama ini. Kita kecewa bila kita diabaikan, namun tanpa disedari kita telah mengabaikan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Duduklah sebentar dan kenang kembali bilakah kali terakhir kita mengalirkan air mata atas kesilapan dan dosa kita selama ini? Bilakah kali terakhir kita mengucapkan syukur atas segala nikmat Allah yang melimpah ruah dicurahkan pada kita selama ini?

Kita boleh menghabiskan berpuluh ringgit untuk menghantar pesanan dan berbual dengan kekasih tetapi pernahkan kita buat perkara yang sama dengan ibu dan ayah kita? Kita menghabiskan masa berjam-jam lamanya berjumpa kekasih hati, bolehkah kita menghabiskan masa yang sama untuk tunduk dan patuh serta beribadat kepada Allah Yang Maha Esa?

Rasa sayang kita itu tidak termaktub pada kekasih hati sahaja, ianya cukup luas. Kasih pada Allah dan rasulNya, kasih pada ibu bapa, keluarga, sahabat dan jiran tetangga. Andai sudah memiliki cinta kerana Allah peliharalah ia, jagalah ia dan bawalah kasih sayang itu mengikut syariat Islam namun jika masih belum memiliki cinta, tumpahlah kasih sayang pada yang sepatutnya. Salurkan kasih saying itu kepada Allah, sudah pastilah cinta kita akan berbalas dan tidak akan sesekali dikhianati. Curahkan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada ibu bapa,itulah makna kebahagiaan yang sebenar. Apabila kehilangan seseorang ingatlah yang masih kekal disisi kita masih terlalu ramai. Rawatlah jiwa yang terluka, jadikan kekecewaan itu satu permulaan untuk kita mengenali siapa diri kita yang sebenarnya, jadilah hamba Allah yang lebih baik. Andai Allah izinkan kita menyayangi dia tak mustahil kita akan dianugerah seseorang yang lebih baik darinya. Yakinlah dengan takdir Allah s.w.t, pasti seseorang akan hadir dalam hidup kita. Mohonlah keampunan dariNya atas segala kekhilafan kita selama ini. Allah s.w.t sentiasa memberikan kita kebahagiaan namun terus berada dalam kesedihan itu adalah pilihan kita sendiri. Marilah kita sama-sama berdoa memohon kebahagiaan dunia akhirat kepada Allah. Semoga bunga-bunga bahagia sentiasa mekar di dalam hati kita semua. InsyaAllah.

Ya Allah Ya Tuhanku

Ya Maha Pengasih dan Maha Pemurah

Aku mohon hadirkanlah teman hidup buatku

Aku mohon mempunyai pasangan didunia dan di akhirat

Ya Allah Ya Tuhanku

Andai aku jatuh cinta jangan biarkan cintaku padanya melebihi cintaku padaMu dan RasulMu

Andai aku rindu jangan biarkan rinduku padanya melebihi rinduku padaMu dan RasulMu

Andai benar dia untukku

Jodoh yang terbaik buatku

Aku mohon kau pertemukan jodoh kami

Kau permudahkanlah urusan kami

Rantaikan ikatan kasih sayang antara kami

Jadikanlah kami pasangan yang sentiasa mendekatkan diri padaMu

Berilah kebahagiaan dunia akhirat buat kami berdua

Semoga cinta dan rindu antara kami hanyalah semata-mata keranaMu Ya Allah.

Jumaat, 18 November 2011

Tak sabar-sabar nak jadi "Ayang"

Setahun yang lalu

Dah beberapa kali sis mengadu padaku perihal masalah percintaan dia yang sering menghadapi masalah. Iyelah, aku faham sis, anak dah dua, usia makin meningkat, kerisauan mencari pengganti yang sudi pada status dan situasi semakin bertambah tinggi.

Tapi ini tidak bermakna sis harus main terima sesiapa sahaja yang cuba ingin masuk ke dalam ruang hidup sis. Tidak kesemua mereka itu benar-benar jujur dan ikhlas. Ramai yang hanya mengambil kesempatan di atas kebaikan sis. Sesetengahnya ada yang berpandangan sempit tentang status 'janda' itu sis. Bagi mereka, seseorang janda itu sudah tentu hauskan seks dan mereka tidak memandang sis dengan nilai seorang wanita, melainkan hanya barangan seks untuk mereka.

Selain itu, sis juga terus dijadikan sebagai sumber kewangan tak rasmi mereka. Aku sedar, sis amat pemurah, dengan kedudukan yang sis ada, sis tak kedekut berbelanja apatah lagi kepada 'mereka-mereka' yang berkenaan. Tetapi lihatlah apakah akibat yang ditanggung oleh sis kini? Kerap kali diperdaya, dan akhirnya menangis sendirian mengenangkan nasib diri, dan semakin memandang negatif pada kehidupan dan takdir.

Aku pernah mendengar perbualan sis dengan seseorang yang baru sis kenali 2 hari, sis telah menggunakan gantinama diri sis sebagai "ayang" kepada lelaki tersebut. baru 2 hari sis. Aku faham, sis pernah merasai kebahagiaan rumahtangga sedikit masa dahulu, dan apa yang sis lakukan sekarang ini ialah perlakuan bawahsedar bahawa sis ingin kembali hidup seperti dahulu, menggunakan gantinama diri "ayang" terhadap seorang lelaki yang disayangi. Tetapi itu dulu, dengan suami yang sah. Bukan dengan lelaki ajnabi yang baru dikenali 2 hari! Lantaran terlalu mudah menyerahkan kasih yang sis sendiri tidak pasti apakah ianya ikhlas dari hati sis, membuatkan lelaki ini memandang sis sebagai seorang wanita berkedudukan yang terlalu mudah ditawan.

......................

Hari ini

"betul Talha, kita serahkan kasih dan cinta kita pada Allah, maka Allah akan menganugerahkan kepada kita cinta yang bahagia dan barakah. Tak perlu gopoh gapah cari pengganti, tak perlu risau tak ada orang nak, dia datang sendiri dalam keredhaan"

" Apa yang penting dalam hidup ni rupanya husnuzzon kepada Allah dulu, selepas tu, masyaAllah, macam air mencurah-curah bahagia datang"

Ceria wajah sis bercerita padaku. Syukur, hidup sis kini nampak lebih bercahaya dan bermakna.

"Abang! marilah turun minum sekali dengan Talha ni, takkan la ummi minum berdua je. Budak berdua ni pun entah kemana diorang pergi main agaknya"

Eh? ummi? tak guna ayang ke kak?..hehe

"hmmph..tak mainla ayang-ayang..itu dolu-dolu punya cerita,..eh, Talha pulak bila lagi?

hmm..ni yang den lomah ni..

Elemen-elemen penting 1

Assalamualaikum

(Perhatian: Baca sampai habis! Jangan malas, penting ni)

Pada perbincangan kali ini, saya ingin mengajak anda membahaskan tentang beberapa perkara yang perlu kita beri penekanan dan fokus, yang mana perkara-perkara ini mungkin perkara remeh yang sering kita pandang kecil, tetapi sebenarnya amat PENTING untuk diberi perhatian.

Teori Hukum Daya Tarik/Hukum Tarikan telah dikaji oleh para Quantum Phyicist dan meletakkannya sebagai hukum alam sepertimana Hukum Graviti. Tetapi jika ianya benar-benar sebuah hukum alam, mengapakah hukum ini kelihatannya seolah-olah hanya efektif pada sesetengah individu, ataupun sesetengah perkara, tetapi tidak berlaku dan berjalan lancar pada sesetengah individu atau perkara-perkara lain?

Ambil contoh Hukum Graviti, jika kita melemparkan sebatang pen sebanyak 100 kali ke lantai, maka pen itu akan tetap jatuh ke lantai sebanyak 100 kali, dan ianya pasti berlaku dan ianya tidak mungkin akan terapung diudara, kerana wujudnya Hukum Graviti. Ianya amat tepat dan tetap dan tidak pernah gagal.

Mengapakah hal ini tidak berlaku pada Hukum Daya Tarik? kerana jika ianya benar-benar sebuah hukum alam,pasti tidak akan berlaku kegagalan pada sistemnya. Apakah ianya benar-benar sebuah hukum atau pun sebaliknya?

Kita lihat kembali hukum graviti, dimana perlaksanaan Hukum Graviti membabitkan beberapa elemen disebalik hukum ini seperti:

1. LIFT
2. DRAG
3. THRUST

Mungkin tidak ramai dari kita yang memahami atau mengetahui kewujudan elemen-elemen yang disebutkan ini, tetapi hanya mengetahui tentang Hukum Graviti sahaja.

Maka apa yang ingin saya tunjukkan disini ialah, Hukum Graviti juga memiliki keputusan yang berbeza didalam beberapa perkara jika kita memerhatikan dari beberapa sudut.

Contoh seperti: Sebatang pen yang ringan, jika dilontarkan ke lantai,keputusannya tetap sama iaitu akan jatuh ke bawah. TETAPI, bagaimanakah sebuah kapalterbang yang jauh lebih berat mampu terbang dan terapung di udara walaupun terdapat graviti?

Ini berlaku kerana terdapatnya campurtangan elemen yang disebutkan diatas tadi iaitu LIFT, THRUST dan DRAG, (TOLAKKAN, TEKANAN DAN SERETAN) sepertimana gambarajah dibawah:




Sebarang kesilapan atau kecuaian terhadap salah satu elemen ini berkemungkinan akan menyebabkan kapalterbang ini boleh tersasar dari hala yang sebenar atau mengkin boleh menyebabkan ianya terhempas!


Begitu juga hal yang berlaku pada Hukum Daya Tarik ini, dimana terdapat beberapa elemen disebalik hukum ini, dimana, setiap elemen itu jika kita abaikan, akan menyebabkan hasil dan keputusan yang berbeza-beza. Mengaplikasikan Hukum Daya Tarik tanpa mempelajari elemen-elemen ini samalah seperti kita mengetahui tentang Hukum Graviti, tetapi kita tidak mengetahui tentang daya tolakan, seretan dan tekanan. Maka pengabaian bagi setiap elemen akan membuahkan hasil yang berbeza-beza.

Terdapat beberapa elemen yang perlu kita pelajari disebalik pengaplikasian Hukum Tarikan ini. Saya akan membincangkan satu persatu bermula dengan entri ini.


1. Tidak Peka dan Mengabaikan (Ignorance)

Kita sering membaca Surah Al-Insyirah (lapang),akan tetapi,apakah kita benar-benar dengan serius dan jujur memahami dan benar-benar beriman dengan apa yang Allah SWT firmankan?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,
وَوَضَعْنَا عَنْكَ وِزْرَكَ Dan Kami telah menghilangkan dari padamu bebanmu,
الَّذِي أَنْقَضَ ظَهْرَكَ yang memberatkan punggungmu?
وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan,
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,
وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

(QS Al-Insyirah : 1-8)



Sebenarnya, didalam ayat ini, telah terang, jelas dan nyata difirmankan oleh Allah bahawa setiap masalah itu mempunyai penyelesaiannya. Ayat yang saya gelapkan (bold) itu malah telah diulangi sebanyak dua (2) kali oleh Maha Pencipta seolah-olah di hi-lite supaya kita peka dan sedar akan hakikat ini, iaitu bersama setiap permasalahan pasti disertakan dengan jalan penyelesaian. So simple but we can't see it all of the time!

Anas bin Malik ra. berkata:

Ketika Rasulullah saw. duduk dan dihadapannya ada batu tiba-tiba ia bersabda:
"Andainya kesukaran datang dan masuk ke dalam batu ini niscaya akan akan datang pula kelapangan dan masuk ke dalam batu ini untuk mengeluarkan kesukaran itu. Maka turunlah ayat 5 - 6.
(HR: Ibnu Abi Hatim).

Maka, jika kita benar-benar beriman dengan Allah, kita mesti mempercayai dan meyakini bahawa apajua masalah yang sedang kita hadapi ini pasti memiliki sekurang-kurangnya satu (1) jalan penyelesaian atau lebih kerana anugerah Allah itu maha luas dan berkelimpahan. Sesuai dengan hadis Nabi SAW:

dari Ubadah bin ash-Shamit R.A, bahwa Rasulullah S.A.W bersabda,
“Tidaklah seorang Muslim di muka bumi ini yang berdoa kepada Allah dengan sebuah doa melainkan Allah pasti memakbulkan permintaannya, atau Allah menyingkirkan keburukan darinya (sebagai gantinya) dengan sebesar permintaannya (dari segi kualiti dan kuantiti), selama dia tidak berdoa untuk suatu perbuatan dosa atau minta untuk memutuskan silaturrahim’. Maka seorang laki-laki dari suatu kaum berkata, ‘Kalau begitu kami akan memperbanyak (doa)’. Nabi menjawab, ‘Allah (memiliki pemberian) lebih banyak (daripada permintaanmu)

(Hadits Hasan Shahih, diriwayatkan oleh Ahmad)

Maka kesimpulannya: Apa yang perlu kita lakukan ketika menghadapi permasalahan samada kecil atau pun besar, cuba bertenang, jangan menggelabah atau gabra, dan ambil langkah pertama iaitu BERIMAN (beriman maksudnya PERCAYA, YAKIN) bahawa permasalahan ini datang bersama penyelesaian.

Kemudian cuba PEKA dengan apa jua peluang yang berada disekeliling kita kerana kemungkinan penyelesaiannya pasti sentiasa berada di sekeliling kita. Malangnya,kebanyakan dari kita, apabila menghadapi masalah, akan terlalu melayan gabra dan merasa tertekan, tenggelam punca dan sesak nafas hingga terlepas pandang akan peluang-peluang yang dihadirkan bersama masalah itu yang berada di sekitar kita hingga kita lalai dan tidak dapat mengenalpasti bahawa apakah sebenarnya peluang dan jalan penyelesaian bagi masalah kita itu.

Kita cuma mengaku dimulut yang kita beriman, tetapi praktikalnya TIDAK!!!


~insyaAllah bersambung ke elemen kedua~ LINK


p/s: sorrylah, hujung-hujung ter'emo' plak

Khamis, 17 November 2011

Kenapa dia selalu berbahagia..

Minggu depan mak akan berangkat pulang dari Mekah. 40 hari tanpa kehadiran mak disi cukup meresahkan. Terasa bagai bertahun lamanya mak berada di sana. Saya ni memang rapat dengan mak, semuanya kalau boleh nak cerita dengan mak. Duduk berjauhan dengan mak tapi saya akan telefon mak selang sehari. Tiap kali balik bercuti saya lagi suka duduk di rumah berbual bersama mak. Begitulah akrabnya saya dan mak.

Mak saya kira seorang yang cukup istimewa. Sepanjang hari dia akan ceria. Sukar untuk melihat wajahnya mendung. Dia melayan anaknya seperti kawan, mendengar cerita kami adik beradik dan sentiasa memberikan nasihat tanpa jemu. Mak kulihat susah untuk marah. Dia lebih sporting berbanding abah yang agak garang.

Kadang-kadang saya sendiri pelik dengan sikap mak, walaupun berbagai dugaan yang menimpa kami, mak kelihatan sangat tenang. Sukar untuk kita duga perasannya kecewa atau tidak. Wajahnya sentiasa manis dengan senyuman dan gelak tawa. Saya sendiri pernah dikatakan beruntung mendapat seorang ibu yang sangat-sangat memahami jiwa muda saya.

Walaupun hidup kami tak berada seperti orang lain tapi saya sendiri tak pernah mak risaukan masalah kewangan. Seolah-olah segalanya telah tersedia walaupun kadang saya rasa perkara tu di luar kemampuan kami. Abah sahaja yang bekerja manakala mak surirumahtangga sepenuh masa. Namun rezeki kami Alhamdulillah sentiasa mewah, ada sahaja pemberian orang lain baik dari segi belanja sekolah mahupun makanan.

Setelah sekian lama saya bingung mencari jawapan sehinggalah saya dikurniakan Allah kesempatan untuk belajar mengenai LOA. Setelah setahun mempelajari dan mengamalkan LOA baru saya tersedar kenapa wajah mak sentiasa berseri. Mak kulihat seorang yang sangat positif. Setiap kali ditimpa musibah mak akan sentiasa mengingatkan kami Allah akan bantu kami asalkan kami tidak lupa untuk berdoa dan memohon bantuan dariNya. Mak tak pernah merungut mahupun menyalahkan abah walaupun kadang-kadang belanja dapur tak cukup. Mak akan berbelanja dengan penuh berhemah sehinggalah hujung bulan. Mak tak pernah mengungkit walaupun kutahu sikap panas baran abah selalu melukakan hatinya. Mak seolah-olah tidak lansung terkesan dengan kata-kata abah yang menyakitkan hati. Setiap kali saya luahkan rasa tak puas hati, mak selalu jawab ‘abah tu baik, bertanggungjawab, mak demam dia yang masak, solat tak pernah tinggal, setakat benda kecik tu tak payah bisinglah’. Itu je yang selalu keluar dari mulut mak.

Malah mak juga merupakan penyokong kuat abah. Bukan sebab abah main bola ye. Hehehe.. Apa sahaja keputusan abah, mak akan terima. Walaupun kadang-kadang kami tidak bersetuju dan terasa seperti tak masuk akal tapi mak tetap tenang. Katanya abah cukup bijak dalam membuat rancangan, ternyata kata-kata mak tu betul. Jangkaan abah selalunya tepat, sebab dia dikurniakan Allah seorang isteri yang sangat-sangat memahami dan selalu berdoa untuknya. Sebagai contoh semasa perkahwinan kakak. Abah menjangkakan tetamu akan hadir lebih 2ribu orang, masakan cukup banyak sehingga membuatkan adik beradik abah gelabah. Kami menjangkakan sudah pastilah lepas kenduri banyak lauk yang tinggal. Terbayang gulai yang akan dibuang, bila kusuarakan pada mak dengan tenang mak menjawab ‘abah kamu tau apa dia buat’. Bila je abis kenduri lauk pun licin. Huhuhu. Terkedu kami dibuatnya, mak cuma tersenyum memandang kami.

Satu lagi sikap mak yang saya cukup suka, mak tak pernah menjaja cerita anak orang lain. Kalaupun dia tak berkenan dengan tingkah laku anak jiran, dengan segera dia akan menegur kami dan melarang kami dari melakukan perbuatan tidak baik. Mungkin sebab itu anak-anak mak terdidik dengan baik (cewah tetiba terpuji diri sendiri). Tekaan saya pengalaman lalu menjadikan mak sangat-sangat berhati-hati dengan tutur katanya. Mak membesar dalam suasana kampung yang agak pendalaman. Adik-beradik mak sering dicaci kerana kehidupan opah yang susah ketika itu. Kesannya keluarga yang sering mencaci keluarga opah kebanyakannya ditimpa banyak masalah.

Bila saya meningkat dewasa, saya semakin memahami cara mak. Hati kecil saya selalu inginkan diri saya menjadi seperti mak. Angah nak jadi macam mak. Sentiasa positif, bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah, jiwa sentiasa tenang, wajah sentiasa manis, seorang isteri yang taat, seorang wanita yang kuat semangat, seorang adik dan kakak yang sentiasa menyokong adik beradiknya, hamba Allah yang solehah. Angah sayang mak sangat-sangat. Terima kasih mak sebab didik kami semua dengan baik. Semoga Allah lindungi kita sekeluarga dunia dan akhirat. Amin..


Assalamualaikum semua, salam perkenalan. ni tulisan pertama saya di blog ni. Thanks abg talha sbb bg saya peluang menulis. -permata aurorius-

Selasa, 15 November 2011

Mengenal Diri Melalui Rasa Hati

Hatilah yang merasa bahagia
Hatilah yang merasa derita
Kenalilah hatimu sebelum mengenal dirimu

Apakah bahagia? Apakah derita?

Bahagia bukan sekedar pada nama,
pangkat, harta dan jabatan

Derita bukan terletak pada kemiskinan,
kesunyian dan kesakitan

Diantara dua, sejarak langit dan bumi
tapi ia dapat bersatu di bawah satu rasa

Rasa bahagia datang dari Allah
Rasa derita datang dari Allah
Carilah bahagia karena Allah
Tanggunglah derita karena Allah

Itulah diri yang dibatinnya dihiasi
segala sifat-sifat MAHMUDAH yang mulia

ikhlas, jujur, tawadhuk,
amanah, taubat, husnuzzon

takutkan Allah, pemaaf, pemurah, syukur,
zuhud,lapang dada, redha, sabar, rajin,

berani, lemah lembut,ingat mati, tawakkal,
dan zikrullah

Sifat MAHMUDAH bagaikan bintang-bintang
yang bercahaya di malam gelap gelita

Hati yang di pancari sifat-sifat MAHMUDAH
akan mengalir keluar dari dirinya cahaya

Itulah hati yang
telah berbudi pada diri

Itulah diri yang sudah mengenal RASA HATI


Disadur Oleh : Indra Wita ‘03

Sabtu, 12 November 2011

REPOST: Album Visualisasi Rakanku

Aku ada seorang rakan telah mempelajari Hukum Tarikan dan beliau benar-benar tertarik dengan idea-idea dan penerangan yang dipelajarinya. Dia melakukan sendiri latihan-latihan asas untuk membentuk dirinya supaya menjadi seorang yang berfikiran positif, bertindak dengan positif dan lain-lain.

Pada peringkat awal pembabitannya dalam mengenali Hukum Tarikan, dia telah mencuba untuk menguji kekuatan daya tarikan mindanya melalui kaedah 'manifesting desire through visualization'.

Apa yang dilakukannya oleh beliau ialah dengan membuat satu album yang memuatkan senarai barangan yang diperlukannya, dan meletakkan gambar dan detail harga, tarikh diperlukan dan lain-lain.







Selanjutnya beliau berdoa supaya diberikan cara bagaimana untuk memiliki apa yang dihajatinya itu, dan juga berdoa semoga apa yang diinginkannya itu menjadi kenyataan.


Setiap malam beliau akan melakukan proses visualisasi iaitu dengan melihat album tersebut dengan satu perasaan yang gembira dan percaya, dan berkata kepada dirinya bahawa kehendaknya itu memang sudah dimakbulkan dan beliau sedang berada didalam proses menerima kehendaknya.

Sebulan telah berlalu dan album visualisasi beliau telah bertambah dengan gambar ini:







Iaitu ditambah dengan foto yang bukan lagi menjadi sekadar visualisasi, tetapi telah pun dimiliki oleh beliau!

Bagaimana dia dapat memilikinya?

DO NOT THINK ABOUT THE HOW
Jangan fikir tentang BAGAIMANA (ketika melakukan visualisasi)

BAGAIMANA / HOW itu akan ditunjukkan kepada anda (dengan izin Allah) satu persatu asalkan anda Husnuzzon pada doa anda dan membuang segala perasaan ragu-ragu, DAN JUGA memberikan fokus secara konsisten, maka cara untuk mendapatkannya, komitmen untuk berikhtiar memilikinya, akan ditunjukkan satu persatu.


Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendakkiNya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (At-Thalaaq: 2-3):

PERINGATAN" Apabila anda bertanya dan berfikir tentang BAGAIMANA ketika melakukan visualisasi, maka seolah-olah anda telah tahu bagaimana untuk memilikinya, maka tak perlulah melakukan kaedah visualisasi. Ia jua menunjukkan tanda-tanda bahawa anda masih lagi ragu-ragu dan belum betul-betul memahami konsep Husnuzzon dan Hukum Tarikan apabila anda mula bertanya HOW disaat anda baru sahaja membuat permintaan dan hanya menunjukkan sikap tidak bersabar dan terburu nafsu.

dari Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W, baginda bersabda,

“Doa akan dimakbulkan untuk setiap dari kamu selagi kamu tidak tergesa-gesa (minta dimakbulkan) yang mana yang berdoa itu bertanya-tanya, ‘Saya telah berdoa, tapi mengapa masih belum dimakbulkan untukku’.
(HR Bukhari)

Good Luck to My Friend

Isnin, 7 November 2011

Law Of Abundance - Hukum Kelimpahan ~ Bhg 2

Assalamualaikum, sepertimana yang dijanjikan dalam entry Dariku Untukmu maka pada hari ini genaplah usia 2 tahun untuk blog ini.

Tidak semua jawapan yang diberikan betul, malah ada juga penyertaan yang mempunyai hanya 1 sahaja jawapan yang betul, tetapi sepertimana yang dijanjikan, keberanian mencuba (komitmen) itu yang lebih penting, dan kesemua yang mencuba tetap akan menerima CD 'The Secret' dengan percuma dari saya. Tahniah kepada anda yang telah mencuba.

Dibawah ini disenaraikan 6 orang peserta bertuah yang menghantar jawapan pada soalan-soalan yang diberikan.


1. Mohd Fared Arshad, Sg. Siput, Perak

2. Juwita Zainal Abidin, Pulau Pangkor, Perak

3. Norhayati Ahmad, Kuala Lumpur

4. Mohd Nizar Abd Rashid, Kalumpang, Selangor

5. Nurul Ezzah Abd Rahman, Kuala Lumpur

6. Zuraidah Ishak, Seremban, N. Sembilan


Jawapan yang sebenar:

Soalan 1

Apakah kata-kata yang menjadi tema pertama (header) blog ini sebelum ianya ditukar kepada Ayat 34 surah al-fussilat?

Husnuzzon ertinya berbaik sangka,lawan katanya adalah su'uzzon yang ertinya berburuk sangka. Su'uzzon termasuk akhlak tercela, karena mendatangkan kerugian. Sungguh tepat jika Allah SWT dan rasulnya melarang berperilaku berburuk sangka

Soalan 2

Ringkasan Hukum Tarikan - Bagaimana kita ingin memastikan gelombang jenis apa yg kita keluarkan setiap kali kita mencetuskan pemikiran?

a. Apa jua yang kita fikirkan, yang membuatkan kita rasa gembira, bersemangat, selesa, tenang dan aman, (feeling good) bermakna kita sedang mengeluarkan gelombang positif.

b. Apa jua yang kita fikirkan, yang membuatkan kita rasa risau, takut, sedih, marah, resah dll, (feeling bad) bermakna kita mengeluarkan gelombang negatif.


Soalan 3

Siapakah rakan yang menelefon saya didalam artikel bertajuk 'Aku Lapar'?

Jasmi


Soalan 4

Sistem penapis didalam minda dikenali dengan nama penuhnya ialah?

RAS (Reticular Activating System)


Terimakasih kerana sudi memberikan respon anda.

Sabtu, 5 November 2011

Tindakan Dalam Mencapai Matlamat

By: Dr Mohamed Farook B Raj Mohamed

Terdapat dua dunia yang mempengaruhi kehidupan kita iaitu

a) Dunia luaran kita
b) Dunia dalaman kita

Dunia luaran kita adalah dunia yang kita lihat diluar kita dan berada disekeliling kita. Dunia dalaman kita pula adalah dunia yang berada didalam kita iaitu minda kita.

Apa yang kita perlu faham adalah dunia luaran kita adalah sebenarnya GAMBARAN kepada dunia dalaman kita.

Jika didunia luaran kita mempunyai banyak masalah seperti masalah kewangan ,masalah hubungan atau masalah kesihatan, bermakna dunia dalaman kita juga banyak masalah .
Jika seseorang mempunyai banyak masalah kewangan, maka bermakna di dunia dalaman juga dia mempunyai banyak masalah berkaitan kewangan seperti fikiran negative dan kepercayaan mengongkong mengenai kewangan.

Jika seseorang mempunyai banyak masalah kesihatan, maka bermakna di dunia dalaman juga dia mempunyai banyak masalah berkaitan kesihatan seperti fikiran negative dan kepercayaan mengongkong mengenai kesihatan.

Jika seseorang mempunyai banyak masalah hubungan contohnya dengan keluarga, dengan jiran tetangga ,majikan dan sebagainya maka bermakna di dunia dalaman juga dia mempunyai banyak masalah berkaitan hubungan seperti fikiran negative dan kepercayaan mengongkong mengenai hubungan.

Selama ini , majority dari kita tidak faham bahawa DUNIA LUARAN MERUPAKAN GAMBARAN bagi dunia dalaman. Maka untuk menyelesaikan masalah kita seperti masalah kewangan, kesihatan dan hubungan , kita cuba menukar dunia luar kita tanpa menukar dunia dalaman kita. Kita cuba meyelesaikan masalah luaran kita ( menukar dunia luaran kita) tanpa menukar cara berfikir kita ( menukar dunia dalaman kita) . Ini tidak akan mencapai sebarang kejayaan. Buktinya kita boleh melihat kehidupan ramai orang yang sentiasa berusaha menyelesaikan masalah . mereka tanpa menukar cara berfikir , maka mereka akan menemui kegagalan. Jika Berjaya menyelesaikan sesuatu masalah, mereka akan menghadapi masalah yang baru. Tanpa menyedari bahawa mereka perlu menukar cara berfikir, mereka akan terus berusaha dan terus menemui kegagalan

Melalui blog ini saya sudahpun menerangkan bagaimana untuk menukar dunia dalaman anda dan seterusnya menuka dunia luaran anda.

Maka tindakan pertama anda adalah menukar dunia dalaman anda .

1) Menurut Hukum Tarikan , anda akan menarik kedalam kehidupan anda perkara yang anda fikirkan.

Maka untuk menukar dunia dalaman anda

a) Sentiasalah bersyukur dengan apa yang ada sekarang, pada masa yang sama sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat .
b) Sentiasa berfikiran positif dan yakin diatas diri sendiri.
c) Sentiasa menumpukan perhatian kepada yang positif dalam hidup anda.
d) Sentiasa gembira melihat kejayaan orang lain

2) Menurut Hukum Tindakan dan tindakbalas, setiap tindakan ada tindakbalasnya. Tindakan yang positif tindakbalasnya positif dan tindakan yang negative tindakbalasnya pun negatif. Maka sentiasalah keluarkan zakat dan sentiasa bantu orang lain yang memerlukan . ( bantuan kewangan atau bantuan lain) , maka anda akan sentiasa mendapat balasannya yang berlipat ganda.

3) Emosi merupakan kayu pengukur kepada jenis pemikiran anda.

a) Emosi yang positif menunjukkan seorang sedang berfikiran positif
( seperti bersyukur, menumpukan perhatian kepada yang perkara positif dalam kehidupan, keyakinan pada diri sendiri, gembira melihat kejayaan orang lain ) Seterusnya dia akan menarik kebaikan dan kejayaan kedalam kehidupannya.

b) Emosi negatif
( seperti takut, sedih, marah, risau, geram, irihati dan sebagainya) menunjukkan seseorang itu sedang berfikiran negative..Seterusnya dia akan menarik kedalam hidupnya lebih banyak masalah.

c) Tindakan yang penting yang mesti dilakukan adalah MENJAGA SUPAYA EMOSI SENTIASA POSITIF

Apakah yang menentukan EMOSI seseorang? Mungkin berbagai jawapan yang anda boleh berikan tetapi sebenarnya yang menentukan emosi seseorang adalah apakah yang menjadi PEMIKIRANNYA pada masa itu. Katakan seseorang itu sedang bersyukur, berfikiran positif , menumpukan perhatian kepada perkara yang positif dan gembira melihat kejayaan orang lain , maka dia akan mempunyai emosi yang positif.
Seseorang yang tidak bersyukur, selalu menumpukan perhatian kepada perkara yang negative dan masalah – masalah dalam hidupnya, berfikiran negative dan cemburu melihat kejayaan orang lain, maka emosinya akan menjadi negative.

Jadi untuk menukar Emosi yang negative kepada positif, maka perlulah menukar pemikirannya dari negative kepada positif, maka Emosinya akan bertukar dengan sendirinya .


4) Apakah tindakan anda apabila menghadapi masalah?

a) Tanyalah kepada Minda Bawah Sedar anda apa yang perlu anda perlu pelajari dari masalah ini

b) Ambil langkah untuk MENGATASI masalah tersebut
c) Ambil Langkah untu MENGELAKKAN masalah tersebut
d) Kemudian LUPAKAN masalah tersebut. Jika memikirkan masalah tersebut mestilah didalam konteks mengatasi dan masalah tersebut.
e) Anda perlu REDHA menerima masalah tersebut. Jika seseorang itu asyik memikirkan TENTANG masalah tersebut , maka emosinya akan menjadi NEGATIVE dan menarik lebih banyak masalah kedalam hidupnya


5) Tindakan seterusnya adalah membuat matlamat menggunakan teknik yang saya kongsi dalam blog membuat maklumat iaitu

i) Matlamat adalah sesuatu yang kita HENDAK
ii) Matlamatlah mestilah SPESIFIK
iii) Matlamat yang boleh di ukur mestilah dinyatakan UKURANNYA
iv) Matlamat mestilah mempunyai tarikh ia perlu dicapai
v) Kita mesti PERCAYA matlamat kita boleh dicapai

6) Selepas membuat beberapa matlamat ( jangkamasa pendek dan panjang) , maka berusahalah untuk mencapainya dengan cepat , Caranya sudah saya kongsi dalam blog yang terdahulu iaitu

i) Jawap KENAPA anda hendak mencapai matlamat tersebut

ii) BERITAHU orang lain yang boleh membantu anda tentang matlamat anda
iii) TULISKAN matlamat anda
iv) Teknik AFIRMASI sangat berguna untuk mencapai matlamat anda
v) Letakkan GAMBAR di banyak tempat supaya matlamat dicapai dengan cepat
vi) Teknik Visualisasi perlulah dilakukan setiap hari. Dalam banyak – banyak teknik, teknik inilah yang PALING berkesan.

8) Selain dari teknik visualisasi, meditasi ( lihat blog mengenai meditasi) juga sangat penting dan prlu dilakukan setiap hari. Adalah lebih baik melakukan meditasi ( dan juga teknik lain seperti visualisasi ) pada setiap hari walaupun untuk waktu yang singkat daripada melakukannya sekali – sekala

7) APAKAH CARA YANG TERBAIK UNTUK ANDA BEKERJA UNTUK MENCAPAI MATLAMAT ANDA TADI? Saya sudah berkongsi tekniknya dengan panjang lebar dalam blog Sains Menjadi Kaya . Secara ringkasnya

i) Sentiasalah bekerja dengan niat memberi perkhidmatan . Jangan bekerja dengan niat mencari duit. Maka duit akan datang dengan sendirinya.

ii) Sentiasalah berikan perkhidmatan anda yang terbaik yang anda mampu berikan.
iii) Apabila memberikan perkhidmatan , niatkan orang yang mendapat perkhidmatan anda akan semakin maju dalam hidup mereka.

Perkhidmatan disini merangkumi segala jenis pekerjaan samada guru, doktor, tukang masak , peniaga , polis , pekerja bank atau apa sahaja pekerjaan anda . Bagi peniaga yang menjual barangan, maka menyediakan dan menjual barang tersebut menjadi perkhidmatan mereka.


9) Apabila anda mengamalkan apa yang saya kongsi dibahagian ini, anda SUDAH TENTU MEMPEROLEHI KEJAYAAN. Cuma ingat, BAGAIMANA dan BILA matlamat itu akan tercapai adalah bergantung kepada Allah . Jadi teruskan usaha anda dengan gigih sehingga anda berjaya



Credit To: Dr Mohamed Farook B Raj Mohamed
M.D. (UKM) OHD (NIOSH)


Sumber: LINK

Khamis, 3 November 2011

Angan-angan

"Dek, jangan dikesalkan perpisahan, dan jangan disalahkan pertemuan, ...tidak salah jika kita ingin berangan-angan, jika tiada apa lagi yang tertinggal pada diri kita melainkan angan-angan, "


Seseorang pernah membisikkan kata-kata ini kepadaku beberapa waktu yang lampau, tetapi aku lupa siapa, akan tetapi kata-kata ini memang mempunyai makna yang sangat luas bila aku mengaitkannya dengan Hukum Daya Tarikan.

Tanpa angan-angan dan mimpi, maka tidak akan wujud keinginan,
tanpa keinginan, tidak akan ada pula doa meminta dan daya usaha serta fokus untuk mendapatkannya. Segalanya bermula dari secebis angan-angan...

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]