Isnin, 24 Oktober 2011

Merawat Diri - Al-Qur'an sebagai As-Syifa (Penyembuh)

(Entry ini merupakan dialog/ diskusi antara saya dan saudara Is-Haque, seorang pengamal perubatan alternatif berasaskan Al-Qur'an.)


by is-haque on May 27, 2011 at 5:09pm





Al-Qur'an mempunyai berbagai nama dan gelaran...Antaranya Al-Furqaan ('Penyisih', yang menzahirkan perbezaan antara haq dan batil), Al-Kitaab, dan As-Syifaa' (Penyembuh).

Saya ingin memfokuskan pada nama dan sifat Al-Qur'an yang disebut sebagai As-Syifaa' ini. Saya dan teman-teman banyak memperbincangkan mengenai rawatan menggunakan Al-Qur'an. Tidak kiralah samada rawatan untuk masalah fizikal, psikologi mahupun spiritual.

Kami pada awalnya tidak fokus terhadap satu-satu aliran perubatan, tetapi cuba untuk mendalami dan mencari kaedah penyelesaian yang terbaik untuk satu-satu masalah.

Bagaimanapun, kami dapati kaedah perubatan yang paling berkesan dan paling pantas merawat ialah yang berada pada spiritual plane. Contoh aliran perubatan yang ada sekarang yang memenuhi syarat ini, ialah homeopati (sebenarnya homeopati berada pada kedua-dua platform..physical plane dan spiritual plane).

Kaedah homeopati amat menarik..kerana ia memfokuskan pada frekuensi tenaga. Saya fikir, saudara Arjunasetia sudah maklum bahawa Dr.Heihnemann bukanlah pengasas homeopati yang sebenar...tetapi pernah dikaji dan dimajukan oleh tokoh Perubatan Islam, Ibnu Sina sendiri dengan merujuk kepada kitab-kitab perubatan Yunani purba.

Falsafah perubatan homeopati yang berbunyi "similia similibus curentur" (ungkapan Bahasa Latin bermaksud "yang sama menjadi penawar kepada yang serupa"), adalah bersandarkan kepada konsep frekuensi. Dalam bahasa teknikal yang lebih mudah, sesuatu tenaga negatif itu boleh dibatalkan oleh suatu tenaga positif yang berada pada skala frekuensi yang sama.

Maaf intro saya agak panjang di sini.

Penemuan kami, ialah ayat-ayat Al-Qur'an itu juga mengandungi bermacam-macam frekuensi, dan prinsip rawatan menggunakan tenaga dari getaran ayat-ayat mukjizat itu mempunyai beberapa persamaan yang kami lihat selari dengan kaedah homeopati.

dari situ, kami merumuskan bahawa "untuk mencapai sesuatu tujuan yang tertentu, kita memerlukan kombinasi frekuensi tenaga yang tertentu juga". Begitulah ceritanya..

maaflah saya cuma dapat jelaskan secara ringkas di sini....untuk terangkan secara detail, saya rasa lebih sesuai disampaikan secara lisan. Lagipun saya sendiri belum boleh dianggap mahir mengenai frekuensi.

▶ Reply
Permalink Reply by arjunasetia on June 2, 2011 at 3:33pm


terimakasih.

tuan, ingin saya bertanya, frekuensi ayat apakah yang terbaik sekali untuk mengeluarkan gangguan halus atau 'singgah' yg ada didalam tubuh manusia?



▶ Reply
Permalink Reply by is-haque on June 2, 2011 at 7:58pm


soalan yang tidak mudah untuk dijawab.

mula-mula sekali, gangguan makhluk halus atau jin ini ada berbagai jenis dan kategori. Ada yang dihantar secara khusus, dan ada juga yang 'melekat' atau berlegar-legar pada diri pesakit.

Makhluk yang kita panggil 'jin' ini juga mempunyai berbagai kategori dan jenis. Antara kategori yang agak sukar untuk ditangani ialah kategori ifrit (jin yang terpantas dan licik, mahir menyembunyikan diri), maarid (yang sukar dihapuskan kerana nyawanya dijanjikan panjang oleh Allah), dan jenis-jenis jin saka (jin yang mempunyai perjanjian atau kontrak dengan manusia). Lazimnya di zaman sekarang ini, jin-jin saka itu tidak bertuan..atau boleh dikategorikan sebagai 'saka yang tak dituntut'.

Terdapat beberapa kes, punca terjadinya 'singgah' atau 'hinggap' pada seseorang pesakit, kerana ada jin saka yang bertindak 'membuka pintu pagar', mempersilakan jin-jin yang tiada tempat tinggal, menghuni jasad pesakit. Bukan sesuatu yang aneh sekiranya tubuh seorang manusia itu didapati dihuni oleh puluhan bahkan ratusan ekor jin. Dah jadi macam sebuah kampung atau bandar jin!

Ini belum lagi diperkatakan tentang kategori qarin, yang lebih 'halus' jisimnya berbanding jin biasa (jin biasa tidak mampu melihat qarin). Tapi itu topik yang lain.

'Jin biasa' juga ada dua kategori umum, iaitu yang berakal (dan mukallaf), dan terdapat juga haiwan alam jin, yang tidak berakal, sama seperti haiwan di alam manusia (yang sebahagiannya pernah disebut di dalam hadith sebagai binatang ternakan jin).

Untuk menjawab soalan saudara Arjunasetia, saya sendiri tidak berani untuk memberi jawapan yang tepat. Untuk masalah 'singgah' yang umum, boleh saja digunakan bacaan ayat-ayat ruqyah untuk mengatasinya.

Bagaimanapun, terdapat lebih daripada satu riwayat tentang kombinasi dan variasi ayat-ayat ruqyah. Ayat-ayat manzil juga adalah merupakan salah satu variasi ayat-ayat ruqyah.

Untuk sesetengah kes, gabungan kombinasi ayat-ayat manzil dan ruqyah (dari riwayat yang masyhur), adalah diperlukan.

Untuk kes-kes gangguan yang sederhana, memadai dengan bacaan Surah Al-Muzzammil ayat 15 hingga 20, dan Surah Al-Qiyamah ayat 35 hingga 40. Kesemua ayat ini perlu diulang baca sebanyak 3 hingga 7 kali, bergantung tahap keseriusan gangguan dan jumlah jin yang menggangu.

Lebih berkesan jika ayat-ayat tersebut dibaca dengan memahami maksudnya, oleh pesakit itu sendiri (jika mampu).

Ada beberapa adab atau protokol yang perlu dipatuhi, antaranya ialah si pembaca itu seeloknya berada dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar. Ini kerana kekuatan frekuensi yang dihasilkan oleh manusia tanpa wudhu' hanyalah satu pertujuh, berbanding dalam keadaan berwudhu'.

Sebelum melakukan rawatan, pesakit dan perawat disaran agar melakukan solat sunat taubat (sekurang-kurangnya dua rakaat). Kemudian perawat dan pesakit perlu melafazkan Sayyidul Istighfar sebanyak beberapa kali (antara 3 hingga 21 kali, bergantung kepada kes). Kemudian perawat perlu membaca surah Al-Fatihah beberapa kali (antara 3 hingga 100 kali, juga bergantung kepada kes).

Jika perlu, perawat akan membaca tasbih, tahmid, tahlil, takbir dan hawwalah beberapa kali. Sesudah itu, barulah ayat-ayat rawatan itu mula dibaca..dan sebaiknya dengan suara lantang dan jelas. Ketepatan bacaan tajwid juga membantu untuk mendapatkan 'kuasa penuh' ayat-ayat kalamullah tersebut, sebagaimana Al-Qur'an dilafazkan oleh Rasulullah dan Jibril 'Alaihissalam.

Maafkan saya sekiranya penjelasan saya ini tidak memenuhi kehendak soalan.

Apa pun, keseluruhan Al-Qur'an itu adalah penyembuh, dan sekiranya si perawat itu berada pada tahap ketaqwaan yang tinggi, lafaz "Bismillah" dan kekuatan niat sahaja sudah memadai untuk menghapuskan sebarang gangguan luar.

Wallahu a'lamu bissawab.

▶ Reply
Permalink Reply by arjunasetia on June 6, 2011 at 1:13pm


Alhamdulillah, segala Puji bagi Allah. Terimakasih tuan diatas tunjuk ajar yg diberikan. Maaf sebab saya masih ada soalan.

bolehkah jika ayat2 yg dinyatakan diatas (Surah Al-Muzzammil ayat 15 hingga 20, dan Surah Al-Qiyamah ayat 35 hingga 40. Kesemua ayat ini perlu diulang baca sebanyak 3 hingga 7 kali,) dijadikan amalan umpama bacaan selepas solat oleh pesakit, dengan niat untuk berubat?


terimakasih.

▶ Reply
Permalink Reply by is-haque on June 9, 2011 at 4:23pm


Ya, boleh..dengan meniatkan bahawa amalan itu adalah ikhtiar untuk merawat diri...di sini hukumnya DIBOLEHKAN (mubah) untuk MEMILIH ikhtiar yang bersesuaian (yang tidak menyalahi aqidah mahupun syariat). Samalah hukumnya dengan MEMILIH untuk pergi ke klinik dan mendapatkan suntikan dari doktor apabila terpijak paku berkarat. Ianya hanya ikhtiar..dan tujuannya adalah untuk SEMBUH.

Bukan sahaja DIBOLEHKAN, tetapi diberi ganjaran pahala kerana memelihara jasad dan akal yang diamanahkan oleh Pencipta kita.

Bagaimanapun, apabila sesuatu ikhtiar itu melibatkan sesuatu amalan yang disyariatkan, contohnya berzikir, melakukan solat sunat, atau membaca Al-Qur'an, perlu diingat bahawa kesemua amalan tersebut mempunyai syarat-syarat tersendiri untuk melaksanakannya.

Contohnya, Haram hukumnya sekiranya melakukan solat sunat dalam keadaan berhadas..atau membaca Al-Qur'an tanpa mematuhi hukum tajwid. Ini yang asasnya. Ertinya, perlu memahami adab-adab dan rukun serta syarat-syarat sah bagi melakukan sesuatu amalan.

Kemudian, perlu juga diingat bahawa sekiranya sesuatu amalan itu dilaksanakan HANYA untuk mendapatkan fadhilatnya, dikhuatiri pahala (dari amalan tersebut) yang sepatutnya diperolehi menjadi kurang..atau tiada pahala langsung. Maka keikhlasan niat adalah diperlukan..niatkan bahawa amalan tersebut adalah untuk memperolehi manfaat dunia dan akhirat.

Dalam hal ini, tidak timbul isu bid'ah (jika ini isunya yang saudara maksudkan), kerana amalan tersebut adalah semata-mata IKHTIAR dan bukanlah diniatkan sebagai ibadah khusus. Sudah pasti, menggunakan ikhtiar berlandaskan syariat adalah lebih afdhal daripada memilih ikhtiar-ikhtiar yang lain (seperti mandi bunga atau menabur garam di penjuru rumah atau seumpamanya).

Akhir sekali, masih mengenai niat...iaitu kita mahukan kesembuhan dari penyakit, UNTUK APA? Sekiranya seorang pesakit osteoartritis berikhtiar merawat lututnya yang sakit, agar dia dapat bermain golf dan berseronok di nightclub, saya kira kesihatannya itu hanya sia-sia dan sakit lebih baik untuk orang ini.

Atau seorang yang sakit kerongkong, berikhtiar merawat penyakitnya supaya dia dapat menyanyi semula di pusat karaoke..sama sajalah..lebih baik dia terus sakit..kerana penyakitnya itu menghalangnya dari melakukan perkara yang melalaikan (lagha).

Maka sewajarnya kita niatkan bahawa "ikhtiarku mendapatkan semula kesihatanku ini adalah supaya aku dapat lebih banyak lagi melakukan ketaatan kepada Allah Ta'ala.." InsyaAllah beroleh keberkatan di dunia dan di akhirat.

Maafkan saya sekiranya jawapan saya ini meleret melebihi apa yang disoal.


TERIMAKASIH KEPADA SAUDARA IS-HAQUE ATAS PENERANGAN DAN PERKONGSIAN INI

1 ulasan:

  1. perlu slalu bace al-quran kan
    bukan dpt pahel jerk tp mengelak kita dr skit...cpt nyanyuk

    BalasPadam

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]