Sabtu, 13 Ogos 2011

OCD - Cadangan Perincian Pengaplikasian 6


THIS ARTICLES IS NOT ABOUT BLAME! IT'S ABOUT CURE

Kemaafan Dendam Yang Terindah



"Maafkan semua perkara yang menyakitimu. Bebaskan hatimu dari dendam. Apabila kamu masih menyimpan kemarahan, tak kira atas alasan apa pun, sebenarnya, kamu hanya menyakiti dirimu, bukan menyakiti orang yang kamu marahi. Dendam dan marah hanyalah membuatkan kita sentiasa hidup pada hari semalam, dimana hari kita telah disakiti, ini hanya akan menyulitkan kita untuk maju ke hadapan dan memiliki masa depan yang baik"

Kata-kata diatas ini telah saya nukilkan didalam artikel Law Of Abundance (Hukum Kelimpahan Hidup). Sebenarnya kata-kata ini amat bermakna dengan mendalam terhadap diri saya. Ianya berkait rapat dengan OCD yang saya alami.

Setelah saya dirujuk kepada Pakar Jiwa, dan melalui beberapa sessi terapi, satu kesimpulan telah dapat dibuat oleh pakar iaitu tentang bagaimana saya boleh menghidapi OCD.

Saya terlalu banyak memendam perasaan semenjak kecil, menahan kemarahan dan terlalu banyak dipaksa supaya beralah demi kepentingan orang lain sehingga kepentingan diri saya tidak diperdulikan lagi. Terlalu banyak perkara-perkara yang 'tidak selesai' atau tidak diberi peluang untuk selesai sepertimana yang saya kehendaki sewaktu saya membesar dan berada diusia pembentukkan minda separa sedar.

Saya memang dilahirkan dengan beberapa 'kelainan' dari segi sistem nerve (saraf) dimana sejak lahir saya memiliki hyperhidrosis ~ tapak tangan dan tapak kaki yang kerap berpeluh tidak mengira masa walaupun didalam bilik berhawa dingin yang sejuk' ~ yang mana hal ini membuatkan saya menjadi lebih cenderung atau mudah untuk menghidapi gangguan berbentuk penyakit psikiatrik. Akan tetapi jika pengetahuan dan persediaan yang tepat berjaya dilakukan, ianya boleh dielakkan.

Saya dilahirkan didalam keluarga yang susah, mempunyai adik beradik yang ramai iaitu seramai 9 orang, saya yang ke 8. Ibu saya tidak bekerja, manakala ayah saya hanyalah seorang mata-mata polis dengan pendapatan kurang dari RM600 sebulan. Dengan jumlah anak yang seramai itu, dan pendapatannya yang rendah, ayah saya selalu runsing dengan masalah kewangan, kadangkala selalu berlaku pergaduhan dengan ibu saya sewaktu saya kecil dan ianya bukanlah pergaduhan kecil, tetapi amat brutal bagi saya ketika itu kerana setiap kali ayah mengamuk, segala maki hamun akan saya dengar darinya dan saya akan kecut perut. Ini membuatkan saya hilang rasa hormat padanya.

Ayah seorang yang sangat garang, cara dia mendidik anak adalah berorientasikan "rotan". Dia tidak pernah menunjukkan apa-apa rentak psikologi dalam membesarkan kami. Seluruh kampung tempat kami tinggal mengenali dia sebagai seorang yang sangat garang dan ramai anak-anak muda yang takutkan dia. Rumah saya umpama mahkamah, tempat menjatuhkan kesalahan dan hukuman.Begitu juga emak, juga seorang yang sangat garang dan cepat tangan.

Beberapa perkara yang sangat menimbulkan kesan buruk pada diri saya adalah antaranya, saya amat dikawal ketat dari segi pergaulan, jarang saya dapat bermain dengan bebas seperti kawan-kawan lain. Jika saya keluar dalam jangka waktu yang lama, pasti saya akan diturut pulang dengan rotan. Dan saya selalu diejek kawan akan hal ini. Saya dan adik beradik yang lain digesa supaya "baca buku!", belajar, buat kerja sekolah! Sehingga aktiviti kokurikulum seperti ingin menyertai pengakap, atau bermain badminton juga tidak dibenarkan.

Kebanyakkan adik beradik saya berjaya mendapat keputusan yg baik dalam penilaian darjah 5 (UPSR sekarang ini) dan berpeluang ke sekolah asrama penuh. Saya juga tidak terkecuali, saya mengikut arahan ibubapa supaya belajar dan saya mendapat 4A 1B dan saya amat gembira kerana saya memikirkan saya akan dapat memasuki asrama penuh seperti abang dan kakak saya dan meninggalkan rumah yang seumpama mahkamah itu.

Apa yang membuat saya sangat-sangat kecewa ialah ketika saya mengakhiri darjah 6, ayah saya tidak berniat menghantar saya kemana-mana sekolah asrama penuh dengan alasan, ayah dah pencen, adik beradik lain semua tengah belajar, jadi saya mesti kesekolah dihujung kampung bagi menjimatkan belanja. Saya amat sedih dengan keputusan ini dan saya yang berusia 12 tahun ketika itu tidak tahu kemana saya hendak mengadu. Sekurang-kurangnya walau pun tidak dapat ke asrama, biarlah saya bersekolah dibandar, dimana rakan-rakan sekolah rendah saya bersekolah disana. Ini adalah kerana sekolah dihujung kampung itu adalah sekolah yang mana pelajar-pelajarnya terdiri dari pelajar-pelajar yang mendapat keputusan corot dalam penilaian dan bukan dari sekolah rendah saya belajar. Saya tahu, kebanyakan mereka ini budak-budak nakal.

Ketika itu, saya merasa amat sedih, kecewa dan marah, saya bertanya pada diri saya, mengapakah aku dipaksa belajar setiap hari, dilarang dari bermain diwaktu petang, jika aku hanya akan dihantar kesekolah begini? Mengapakah untuk adik beradik yang lain ayah sanggup turun naik tangga pejabat pendidikan untuk memastikan mereka dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah yang bagus? Mengapa bukan pada saya? Kalau nak masuk sekolah ini, dapat 5 E pun tak apa. Apakah gunanya aku belajar selama ini kalau kemudiannya aku tak dihargai? Zaman itu adalah zaman kegilaan basikal BMX. Ayah saya memujuk saya dengan mengatakan jika saya setuju bersekolah dihujung kampung, dia akan membelikan saya basikal tersebut. Maka dengan pujukan itu, saya merasa sedikit lega. Tetapi ternyata ayah saya tidak mengkotakan janjinya. Tiada basikal seperti yang dijanjikannya. Saya amat kecewa, merasa tertipu dan semakin menyimpan dendam kemarahan.

Apakah tindakan yang saya lakukan ketika usia 13 tahun dengan menghadapi konflik begitu? Tanpa saya sedari, suatu keinginan memberontak mula timbul iaitu, saya akan menjadi orang yang jahat seperti yang ayah mahu (kerana dimasukkan ke sekolah yang bercampur dengan budak nakal). Memang benar, disekolah itu, jika saya tidak mengikut arus pergaulan dengan rakan-rakan baru yang memang tiada sahsiah yang baik itu, saya akan dibuli dan diperlekehkan. Akibatnya, saya terpaksa menyertai mereka dalam banyak hal. (if you can't fight them, join them). Saya mula berjinak dengan rokok dan ketika itu adalah zaman arus rock dan juga tarian breakdance melanda tanahair. Saya tidak terkecuali. Selain itu, kehadiran novel-novel porno dikalangan remaja mula tersebar. Mulanya saya tidak tahu hal ini, tetapi setelah seorang pelajar senior menyuruh saya membacanya, baru saya tahu wujudnya majalah dan novel seperti itu. Ada yang saya pinjam dan sorokkan didalam rak buku saya. Semua yang saya lakukan ini bukan dengan hati yang gembira, tetapi seolah satu dendam kepada ayah saya yang pada fikiran saya sengaja ingin merosakkan masa depan saya.

Ada beberapa perkara baik tentang saya yang dikenalpasti oleh guru disekolah, mereka tahu saya seorang pelajar pintar, berkaliber dan punya potensi untuk berjaya. Ketika tingkatan 2, saya dipilih menjadi pengawas, tetapi ayah tidak setuju. Guru didiplin datang kerumah memujuk ayah saya, tetapi saya dengar dari dalam bilik, ayah saya mengatakan "TIDAK! dia bukanya tahu buat kerja tu semua, lagipun kalau jadi pengawas, nanti jadi kuli cikgu aja buat apa!" Sekali lagi saya tertampar kerana saya sangat ingin menjadi pengawas. Saya hanya mampu melihat dihari penyampaian Tali leher kepada pengawas baru, ada sebuah tali leher berlebih diatas meja didepan perhimpunan, Saya tahu itu sepatutnya menjadi kepunyaan saya. Hati saya sangat hancur dan sebak ketika itu.


Suatu hari, ayah terjumpa majalah porno didalam rak buku simpanan saya, apa lagi meletuplah Perang Nuklear dirumah saya. Saya tidak tahu akan hal itu, cuma ketika waktu makan tengahari baru saya tahu bila emak mula menyindir-nyindir. Saya cukup takut, dan apa yang saya takutkan memang berlaku. Malam itu, dengan penuh ego seorang hakim, ayah saya memanggil semua adik beradik dan emak saya berhimpun ditengah rumah dengan saya duduk disebelahnya. Bermulalah sessi memberi aib, iaitu memberitahu semua adik beradik apa yang saya lakukan, betapa teruk dan jahatnya saya, sambil maki hamun dan tumbukkan serta pukulan demi pukulan saya hadapi tanpa ada sesiapa yang membela atau memberi kasihan. Selalunya, bila ayah memarahi saya, emak tidak akan membela akan tetapi akan turut menambahkan pukulan kepada saya.

Sebagaimana biasa, kakak-kakak saya akan menambah-nambahkan lagi kemarahan ayah saya dengan macam-macam tuduhan. Dan saya amat malu, merasa diri tak berguna, rasa ingin bunuh diri, ingin lari sahaja. Dan perkara-perkara ini menimbulkan kesan mendalam di jiwa saya. Mengapa ayah tidak mahu berjumpa saya secara personal dan memberi saya nasihat dengan ikhlas sebagai seorang ayah supaya saya tahu apa yang buruk dan baik, mengapa mesti dimalukan didepan ahli keluarga? Tidakkah dia terfikir mengapakah saya boleh menjadi sedemikian?

Ketika usia 14 tahun ini juga, saya mengalami mimpi penanda akil baligh dan saya pernah belajar perkara ini didalam kelas ugama sewaktu di Tingkatan 1. Maka pada keesokkan paginya, saya berada agak lama didalam bilik air kerana melakukan ibadah 'mandi wajib' yang sebelum ini tak pernah saya alami. Oleh kerana saya mengambil masa yang agak lama dan ada ramai yang menunggu, emak saya yang terkenal dengan leterannya itu meleteri saya sepanjang saya didalam bilik air. Saya amat terganggu dan tak dapat menumpukan perhatian pada kehendak 'meratakan air ke seluruh badan'. Akhirnya saya menjerit dgn nada marah dan berkata, "sekejapla! apa semua orang sebok nih!..

Sebaik sahaja selesai dalam keadaan yang amat terganggu, saya terus membuka pintu bilik air dan saya mengambil wudhu pula, tanpa saya menduga, ayah saya menerpa masuk kebilik air dan menolak saya kelantai.

" anak kurang ajar!" bentaknya sambil mencabut getah paip dan memukul saya dengan getah paip itu tanpa belas kasihan. Akibatnya, tangan kanan saya tak dapat bergerak buat beberapa hari dan badan saya penuh dengan birat2. Saya tidak dapat kesekolah hari itu kerana saya memang tidak berdaya.

Perkara inilah yang mencetuskan trauma dan was-was pertama saya terhadap ibadah fekah, iaitu lantaran kewajipan mandi wajib, saya dipukul hingga begini.

Kisah 'tidak puas hati' ini terus bersambung apabila saya lulus SRP (PMR kini), dan saya berusaha untuk keluar dari rumah. Saya memohon masuk ke vokasional dan berjaya mendapat tempat di vokasional Butterworth Pulau Pinang. Sekali lagi saya dihalang, tetapi kali ini dengan pandangan-pandangan cetek dari orang lain. Abang ipar saya dari Pulau Pinang mengatakan Vokasional tersebut bersebelahan dengan Pusat Latihan Tentera Udara Australia, dan kebanyakkan mereka adalah Gay. Abang saya yang belajar di Sekolah Men Sains pula membuat kenyataan yang merisaukan ayah iaitu SPVM kena ambil 12 subjek, kalau SPM hanya 9 subjek, boleh ke dia ni buat?..Akhirnya, setelah bermacam-macam tentangan yang diajukan dihadapan saya, dengan airmata yang mengalir, saya koyakkan surat tawaran itu dihadapan mereka, puashati mereka. Dan saya tetap bersekolah disitu, mengambil jurusan sastera.

Usia 16, tahun inilah saya mula merasakan suka mengasingkan diri, sukakan perkara-perkara low-profil, jika diajak kemana-mana oleh keluarga saya sudah hilang minat untuk mengikut. bagi saya, aku ni bukan penting, buat apa nak ajak aku. Jika anda pernah membaca artikel "Awas: Bila Kebahagiaannya adalah Kekecewaan" sayalah Arman didalam artikel itu.

Diusia ini, saya beruntung memiliki seorang kenalan wanita (Salsiah) tetapi beliau tidak bersekolah lagi setelah gagal SRP. Beliau bukan dari kampung saya tetapi datang ke kampung saya untuk menjaga anak saudaranya. Seiring dengan usia remaja, saya mula meminati lawan jenis saya. Saya mengenali dia pun dari suatu insiden terlanggar dia ketika saya menunggang basikal. Cara saya berhubung dengan dia ialah dengan menghantar surat. Kepada dialah saya banyak mengadukan hal saya, dan dia yang setahun lebih tua dari saya amat matang dan mampu memberikan saya nasihat-nasihat yang selama ini tidak dapat saya perolehi dari keluarga saya.

Walaubagaimanapun, suatu hari, kakak saya terjumpa surat yang dihantar oleh Sal dan memberikan kepada ayah. Sekali lagi perang meletus, dan kali ini kakak saya menghafal isi surat tersebut dan sering menyindir-nyindir saya dengan isi surat tersebut.

Salahkah perkara ini? Bukankah ini naluri kelelakian yang normal yang dianugerahkan Tuhan? Sepaptutnya saya ditunjukkan jalan supaya menggunakannya dengan cara yang betul. Apakah tujuan mereka membuat semua ini? Saya bukan berzina ataupun bercinta, hanya berkawan. Adakah mereka bertujuan untuk mendidik saya atau pun apakah ini bukan tentang salah atau tidak, tetapi kerana mereka sendiri tiada peluang berbuat begitu?..Dan saya amat terseksa, malu dan merasa segalanya tentang saya hanya diperlekeh-lekehkan.


Antara kesan-kesan yang lain ialah membentuk perasaan inferiority complex (rendah diri melampau). Contohnya, ketika saya berjaya lulus SPM dengan cemerlang, saya menolak tawaran ke IPTA, tetapi memilih Tingkatan 6, kerana saya merasakan saya tidak layak bergaul dengan pelajar-pelajar cemerlang di IPTA. Begitu juga setelah lulus STPM dengan agak cemerlang, saya menolak tawaran ke UM dengan alasan, tak apalah, tak nak susahkan orang tua, biar saya kerja dulu, nanti saya sambung belajar. Saya juga menolak tawaran ke Maktab Perguruan MPIK tanpa apa-apa sebab, tiada siapa yang tahu akan tawaran ini, saya menerima jawapan dari surat panggilan, dan saya membacanya dan sejurus itu saya mengoyakkannya. Bagi saya, sudah tentu mereka akan menentang dan memberi pelbagai alasan bahawa saya tidak layak kesana seperti yang telah saya alami sebelum-sebelum ini. Dan hakikat yang sebenarnya, saya memang sangat merasakan saya tidak layak untuk melangkah masuk kesana atau tempat-tempat lain yang hebat kerana mindset saya selalu ditekankan bahawa

'saya tak layak untuk ketempat yang hebat-hebat, kau tu bingal, bodoh, lembab, anak haram zadah dan lain-lain yang selalu ayah saya gelarkan diri saya"

Saya sentiasa berfikir saya ini anak sial, anak tak berguna, dan berbagai-bagai lagi gelaran buruk saya berikan pada diri saya, yang mana mengikut Hukum Daya Tarik, saya menarik masuk tenaga berbentuk apa yang saya fikirkan lebih banyak lagi kedalam ruang realiti hidup saya. Saya bertambah merasa rendah diri apabila adik bongsu saya diberi pula sokongan untuk memasuki MCKK sewaktu dia menjejak Tingkatan 1.

Atas pertolongan seorang jiran kampung, saya mendapat kerja sebagai pembantu pelanggan di sebuah kompleks beli belah dengan gaji RM310 sebulan, setelah tamat STPM, dan ibu saya menganggap saya seperti kisah-kisah dalam TV, iaitu:
Ha! Kau dah abis sekolah, sekarang dah kerja, kau kena bagi duit tiap-tiap bulan bantu mak bapak!

Saya faham tanggung jawab saya, tetapi dengan gaji sebanyak itu, apalah yang dapat sangat saya bantu, saya juga perlukan tambang, duit belanja makan dan lain-lain. Maka setelah betul-betul buat budget, saya hanya mampu memberikan emak antara RM50 ke RM100 sebulan (pada masa itu jumlah itu agak besar).

Tetapi pada bulan kedua, saya menggunakan wang gaji untuk membeli kasut untuk saya gunakan bekerja kerana kasut yang saya gunakan adalah saya pinjam dari kawan. Maka pada bulan itu, saya hanya mampu berikan RM30 sahaja pada emak. Emak sangat marah dengan perbuatan saya itu dan mencampakkan duit itu semula kepada saya. Saya sangat sedih dan ketika mengutip semula wang itulah saya merasakan diri saya memang seorang anak yang sangat tidak berguna. Berbanding dengan abang dan kakak saya yang mampu memberikan beratus ringgit pada ibubapa setiap bulan. (Tetapi bukankah mereka semua diberi peluang ke sekolah yang baik untuk membina masa depan malah ke luarnegara)

Dan akhirnya saya membesar dengan perkara-perkara yang saya rasa tidak pernah selesai ini, dan menjadi seseorang yang saya rasa bukanlah diri saya sendiri, seolah-olah kebebasan saya untuk memilih profesi dan minat saya telah dirampas, dan semua ini membawa kepada meletusnya simptom OCD iaitu ketidakpuashatian yang melampau hingga menjadikan saya was-was dalam banyak hal. Sebabnya ialah saya terlalu berhati-hati dalam membuat apa jua pun bagi mengelakkan dari diketahui keluarga, kerana takut ditertawakan atau diperlekehkan seperti mana yang selalu ayah saya lakukan. Dan akhirnya simptom ini meledak ketika saya berusia 23 tahun sedang bekerja disebuah bank swasta, hingga saya terpaksa diadmitkan ke wad Sakit Jiwa.

Disinilah Pakar Jiwa mengenalpasti apakah yang telah saya alami dan akibatnya minda separa sedar saya telah membentuk sesuatu sistem pertahanan diri yang aneh bagi memastikan diri saya sentiasa selamat dari diaibkan, ditertawakan atau diperlekehkan. Didalam mindset saya, ayah adalah orang yang bertanggung jawab atas kegagalan diri saya.

Saya mengambil masa yang sangat lama untuk pulih dari semua ini, dan sebenarnya, Ubat yang paling mujarab sekali ialah, apabila saya memberikan sebuah Kemaafan Dendam Yang Terindah kepada Allahyarham Ayah saya, dan membebaskan diri saya dari semua dendam dan kemarahan ini. Kemudian, saya belajar memahami bahawa ayah saya tidak berniat untuk berlaku zalim kepada saya, tetapi dia juga sudah terdidik dengan cara pengasuhan yang garang oleh orang-orang tua dahulu, dan ayah saya tidak pernah belajar tentang psikologi, beliau juga tertekan dengan masalah kewangan hingga membuatkan dia selalu hilang pertimbangan. Saya cuba memasuki kedalam ruang dirinya untuk memahami dirinya.

Hari ini, saya tidaklah berjaya sepertimana anak-anaknya yang lain, tetapi saya berbangga memiliki ayah seperti dia, yang tidak pernah membiarkan kami lapar, dan tidak mengabaikan tanggungjawabnya memberikan kami pendidikan ugama dan lain-lain, cuma caranya yang kurang mesra dan terburu-buru tanpa diplomasi.

Saya memaafkan dia seikhlas hati saya, dan saya juga berharap agar segala dosa saya diampunkan oleh Allahyarham.



Saya tidak sembuh sepenuhnya dari OCD, akan tetapi kebanyakan gangguan yang datang, dapat saya nyahkan dengan lebih cepat dari sebelumnya. Dan saya sendiri tidak menyangka bahawa saya yang pernah terperuk disudut wad sakit jiwa bersama dengan pesakit-pesakit jiwa yang kronik suatu masa dulu, berjaya menghasilkan artikel-artikel yang anda baca didalam blog ini walaupun bukanlah hasil yang hebat, tetapi bagi saya inilah antara pencapaian dan memori indah untuk diri saya yang pernah jatuh dengan teruknya untuk saya garapkan didalam minda separa sedar saya bahawa saya juga berhak dan layak untuk bahagia seperti orang lain.

Saya juga tidak pernah menyangka bahawa hari ini saya mampu mengendalikan siri-siri seminar Husnuzzon dan Hukum Tarikan dan bercakap dihadapan orang ramai termasuk pensyarah universiti dan golongan-golongan intelektual serta memberikan motivasi dan inspirasi kepada audien. Mungkin jua apa yang saya kongsikan ini mampu memberikan sedikit pencerahan kepada orang lain.


Saya sangat-sangat bersyukur diatas penciptaan Tuhan terhadap diri saya, saya seorang yang sangat bernasib baik untuk melalui segalanya ini.

Berikan Kemaafan Dendam Yang Terindah pada masa lalu anda, dan Syukuri hari ini, Optimislah untuk masa depan anda. Semalam adalah sejarah, esok adalah misteri dan hari ini adalah pasti.

I'm grateful to be: ME!

sekian, penutup siri OCD ~ cadangan perincian pengaplikasian. Semoga dapat memberikan sedikit idea sebagai ikhtiar dalam usaha mengubati diri dari penyakit OCD bagi penghidapnya


Terimakasih yang tak terhingga kepada YB Dr. Fuziah Salleh, Dr. Daud, Unit Kaunseling Islah, Unit Kaunseling DBKL, Puan Azie & Dr. Rahim Ghouse, Kekanda Norhafizah, Allahyarham Ustaz Abdullah, Jum'azulhisham, A.A dan semua rakan-rakan dan mereka-mereka yang banyak memberikan bantuan dan sokongan samada dari segi kewangan dan moral dari peringkat awal aku didiagnos dengan OCD hinggalah kini. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa anda semua.


Kerana cinta, Aku kembara
Bagai camar melintas laut
Mencari pohon untuk berteduh

Kerana cinta, Aku kembara
Ikut lagu, Bisikan hati
Mendamba kasih paling setia

Sepasang sayap tak terlihat
Umpama mimpi yang tersimpan
Jadi rintik
Rintik hujan
Menciptakan awan yang terpilu

Puisi ini tercipta,
lantas tak kesampaian
Hajat meronakan
Gelora rindu ku kepadamu

Ingin sekali
Aku ungkapi
Isyarat jiwa dengan sempurna
Biar kau mengerti
Biar kau sedari
Perasaanku yang memujamu

Sepasang sayap tak terlihat
Umpama mimpi yang tersimpan
Jadi rintik
Rintik hujan
Menciptakan awan yang terpilu

15 ulasan:

  1. really?sy xsangka ape yg awk lalui sgt hebat dan awk bley jd setabah nie..sy btul2 kagum..dugaan yg sy hadapi xsehebat awk..tp awk bley bgn sehingga jd diri awk yg skrg..thnx 4 sharing..~

    BalasPadam
  2. Terimakasih, saya doakan awak akan dapat menghadapi dugaan kehidupan ini dengan penuh ketabahan.

    BalasPadam
  3. awkkkkk..btulla awk..sy xsangka sgt..sy sdey..awk btul2 bg kesedaran kt sy..kdg2 sy ingt diri sy da ssh sgt..tp sbnrnye..ade lg org yg ssh dr sy..

    BalasPadam
  4. salam...
    ayat common yg kita dah biasa dengar tapi jarang dapat difahami maknanya-segala yang berlaku pasti ada hikmah..
    awak seorang yg sangat2 kuat..seriously,ini sanagt miracle.
    the past makes u become stronger..alhmdllh..so..in future...nnt dgn anak2 sendiri..awk sudah tahu nak bentuk sebaiknya macam mane kan?
    kita bukan nak blame the elder.sometimes elder people memang cara mereka kurang kena..tapi..tak boleh nak buat apa..kita juz boleh terima atas dasar hormat n kasih.
    insyaAllah..Allah akan beri balasan terbaik buat awak kelak..insyaAllah..
    n tentang OCD..insyaAllah..kuatkn smgt..awak mampu!

    BalasPadam
  5. wsalam incik,

    terimakasih atas penerangan, sokongan dan doa, amin..:)

    BalasPadam
  6. seriously sangat xsangka. n pengalaman ni dayah xpernah dengar pun. anyway, thanks for sharing.
    keep up the good work! :)

    BalasPadam
  7. cerita anda amat menyentuh hati sy krn ada sedikit persamaan dgn sy. sy mengetahui yg sy adalah anak angkat ketika berusia 14 thn setelah terjumpa surat beranak sy yg selama ini family angkat sy sembunyikan. ibu bapa angkat sy penyayang & x mbeza2kan sy dgn anak kandung mereka ttp sy mrh kpd ibubapa kandung krn sy rasa mereka sengaja xnak bela sy n buang sy. stp kali sy tanya hal ni dgn ibubapa angkat, mereka xnak mengaku. sy fhm, mereka xnak sy sedih tp sy rasalg baik klu mereka bterus terang. yg paling menyakitkan, kakak angkat n ibu saudara selalu menyindir status sy sbg anak angkat.

    sy selalu menangis menyesali nasib diri. sy lebih suka bkhayal n mcipta dunia sendiri supaya x berada dlm dunia realiti yg menyakitkan.sy x dpt terima yg sy cuma anak angkat. wlupun begitu, result pmr sy cemerlang n dpt masuk mrsm taiping ttp sy cuma bljr di sana sebulan shj sbb rasa x layak bergaul dgn student di sana n rasa sgt rendah diri. lps tu ayah angkat berusaha masukkan sy ke sek. berasrama penuh, pun tahan sebulan shj.

    akhirnya sy masuk sek. biasa x jauh dr rumah. tp sy dah hilang smgt, mls nk ke sekolah, mls nk belajar. result spm skdr boleh thn. dpt juga tawaran matrikulasi upm tp bila masuk 1st year di upm sy terus x p kuliah selama 1 sem sbb x suka dgn course yg ditawarkan iaitu Kimia, n dah xtau nak pilih course apa, n kembali semula mcm dulu, xnak belajar.

    at last, sy kena buang u krn gagal final exam. lps tu sy ambil diploma utm di sebuah kolej swasta, alhamdulillah sy habis juga pengajian. sy tahu ibubapa angkat kecewa krn pencapaian sy x cemerlang mcm anak2 mereka yg lain.

    lagi satu, walaupun sy dpt lesen memandu pd usia 19 thn tp smpi skrg sy sgt takut memandu n sy dah lama berhenti memandu. puncanya dulu pernah sewaktu memandu sy wat sedikit kesilapan. arwah ayah angkat sy cerita salah sy itu pd org2 lain n sy ditertawakan. sy takut, sy x mau ditertawakan lg, sy malu so lebih baik jgn drive langsung. skrg sy dah ada keluarga sendiri. ayah angkat telah meninggal dunia, cuma tggal ibu angkat. walaupun dah nmpk tanda2 anak2 mereka mulai menyisihkan sy, sy x risau lg krn sy dah ada suami n anak sendiri n x perlu menumpang kasih org lain

    BalasPadam
  8. Subhanallah, masyaAllah, pelbagai pengaturcaraan program asas yg Allah sediakan untuk kita manusia memilih dan melaluinya, dan senjata utama yg paling ampuh untuk melaluinya dengan baik ialah 'kesabaran' dan 'redha' atas apa yg telah berlaku, selagi kita meyalahkan masa lalu, selagi itulah kita tidak akan dapt bergerak ke hadapan. Terimakasih cik ninazahar atas perkongian yg amat bermakna ini. Semoga anda sentiasa dipermudahkan oleh Allah dalam apajua urusan dunia dan akhirat. :)

    BalasPadam
  9. Betul...Memberi Kemaafan itu suatu yang menenangkan hati..

    BalasPadam
  10. Tak tau apa nak komen... sebak.. bangga... Ada positifnya untuk perkongsian bersama rakan-rakan OCD. Cuma sedikit yang rasanya perlu diberi penambahbaikan. Sebaiknya, tidak digunakan diri sendiri dalam penulisan.. Cadangan supaya diguna gantinama yang lain seperti "Si A", "rakan si A", "keluarga si M", "Kampung K" bagi menjaga keaiban, maruah mereka, mengelakkan fitnah dimasa depan dan sebagainya. Sungguhpun mereka pernah menyakiti kita, ada hikmah disebalik perbuatan.. Allah suka pada kita yang sentiasa mengampuni dosa sesama insan. Allah minta kita banyakkan mengampunkan orang lain supaya mereka bahagia sama-sama dengan kita di sana nanti dan diringankan azab. Anyway, tahniah, good luck & teruskan perjuangan untuk kebaikan seluruh umat.

    BalasPadam
  11. U r truly 'one of a kind'.
    a very extremely 'limited edition' type of human being. Mungkin cuma ada seorang dua saja di negara ini dalam satu masa.

    Sebutir berlian adalah arang karbon yang telah berjaya menempuhi tekanan yg amat tinggi dalam tempoh masa yg panjang. Asalnya arang yg hina tercampak ke perut bumi..tapi apabila berjaya dikeluarkan, ia dimuliakan hatta berada di atas kepala seorang maharaja.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalamualaikum saudara Is-haque, saya tidaklah lebih baik dari anda semua, Sy hanya manusia biasa.. dan sy berkongsi apa yg sy lalui dgn org ramai dan senasib dgn sy

      Padam

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]