Ahad, 14 Ogos 2011

FITRAH



Setiap dari kita inginkan pahala dan kesempurnaan dari setiap ibadah yg dikerjakan seperti ibadah puasa di bulan Ramadhan. Tetapi, kesempurnaan yg diharapkan itu kadangkala diselubungi kecacatan, kekurangan dalam bentuk perkataan, perbuatan atau lintasan hati. Namun, Allah SWT yang bersifat Maha Pemurah, yang mengetahui akan kelemahan dan kekurangan diri hambaNya, mengurniakan penebus dan pembersih kecacatan dan dosa-dosanya itu melalui ibadah Zakat Fitrah

Di dalam kitab Nihayatul Muhtaj diriwayatkan bahawa Imam Waki' bin Al-Jarrah berkata:

"Sesungguhnya Zakat Fitrah di bulan Ramadhan, seumpama Sujud Sahwi bagi ibadah solat. Ia menampung kekurangan puasa sebagaimana Sujud Sahwi menampung kekurangan solat".

Ini bertepatan dengan Firman Allah yang mana maksudnya:

Dan dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” [Al Ahzab:33]

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan shalat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

[Al Baqarah:277]


“Dan dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan ruku`lah beserta orang- orang yang ruku” (Al Baqarah : 43)


Kenapakah ia disebut zakat fitrah ?

Imam An-Nawawi r.a. menyebutkan, fitrah bermaksud jiwa atau asal usul penciptaan manusia. Oleh itu, Zakat Fitrah diwajibkan oleh Allah SWT kepada orang Islam sebagai penebus jiwa daripada dosa dan kesalahan yang mereka lakukan.

Imam Ibnu Hajar Al-'Asqalani pula menyatakan, Zakat Fitrah bermaksud, zakat yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas orang-orang Islam kerana berbuka pada bulan syawal, setelah selesai berjuang menghadapi ujian lapar dan dahaga berpuasa sepanjang bulan Ramadhan. Ia adalah sebagai satu tanda kemenangan melawan hawa nafsu.

Bayangkan pula, betapa gembiranya orang-orang fakir dan miskin, kerana ia dapat membeli pakaian, makanan dan keperluan untuk menyambut 'Idul-Fitri dengan sumbangan Zakat Fitrah yang ditunaikan oleh saudara Islamnya yang lain.

Inilah sifat mulia yang diajar oleh Islam kepada umatnya. Mereka adalah umat yang saling bersatu-padu dan bekerjasama dalam apa jua keadaan, sama ada susah mahupun senang. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Perumpamaan orang-orang beriman dalam kecintaan, kelembutan dan kasih sayang di antara mereka ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota sakit, maka seluruh anggota turut merasakannya dengan tetap berjaga dan demam." (Riwayat Muslim)

Janganlah kita menjadi umat Islam yang hanya membiarkan saudara Islam yang lain terbiar dalam penderitaan dan kesusahan tanpa kita mempedulikan keadaan mereka. Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud :

"Tidak beriman dengan aku seseorang Muslim yang tidur dalam keadaan kenyang sedangkan dia tahu jirannya dalam kelaparan".
(Riwayat : Al-Bazzar)


Pembayaran Zakat

Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘Anhuma, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Rasulullah s.a.w. menfardhukan Zakat Fitrah satu gantang kurma, atau satu gantang gandum ke atas hamba atau orang merdeka, lelaki atau wanita, kanak-kanak atau dewasa dari kalangan orang Islam. Dan Nabi memerintahkan agar ia ditunaikan sebelum orang ramai keluar untuk melakukan solat (Hari Raya)".
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Sempena Bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, pihak Lembaga Zakat Selangor membuka Kaunter Bayaran Zakat Fitrah di seluruh Kaunter Zakat di Negeri Selangor. Kaunter-kaunter Zakat juga dibuka di kompleks membeli-belah, pasaraya, dan sebagainya. 'Amil Fitrah bertauliah berada di setiap masjid dan surau di Negeri Selangor bagi memudahkan umat seluruh umat Islam untuk menunaikan Zakat Fitrah.

Zakat Fitrah boleh dibayar bermula pada 1 Ramadhan sehinggalah pagi 'Idul-Fitri. Kadar bayaran Zakat Fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM7.00 atau bersamaan berat satu gantang beras iaitu 2.7 kg.


Sumber: JAKIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]