Sabtu, 9 Julai 2011

Aku Lapar!!!!

Aku baru pulang dari sebuah majlis makan-makan. Ada buffet, ada barbeque dan macam-macam...wahh kenyang betul perutku. Hari ini aku cuti, pagi tadi selepas subuh aku tertidur hingga pukul 10 pagi. Petang tadi sebelum ke majlis barbeque, aku sempat ke gym untuk aktiviti riadah. Wah..terasa indahnya hidup ni, segala keperluan diriku seakan terpenuhi..tidur cukup, makan cukup, exercise pun cukup.

Selepas mandi, aku menunaikan solat Isya dan mengucap syukur pada Pencipta yang memberikan hari yang indah ini padaku. Aku juga mohon keampunan atas kelalaianku bermalas-malasan tidur selepas subuh. Hatiku terasa ingin mengaji lalu kucapai naskah Al-Qur'an dari rak buku.

Membuka lembaran Al-Quran dan membaca ayat demi ayat dari Perkataan Allah, baru selembar, aku terasa mengantuk dan lemah, tanganku seakan tak berdaya untuk membuka lembaran seterusnya. Tiada kudrat dan kekuatan. Lemah. Lalu kusudahi pembacaanku. Sadaqallahuladzim...


Aku menyimpan naskah Al-Qur'an dan berbaring pula diatas katil. Telefon Bimbit berbunyi.

Assalamualaikum bro

Wa'alaikumussalam; Jawabku

Bro, free tak sekarang ni?

Free jugak, kenapa?

Esok cutikan, kalau free nak ajak bro pergi main bowling

Sekarang ni ke?

Yelah, siaplah, jap lagi saya sampai, naik kereta sayalah, Fared dengan Mus pun ada ni.

Ok, boleh jugak, datanglah; jawabku kegirangan.

Seketika itu naskah Al-Qur'an yang baru kusimpan terjatuh dari rak. Terkejut aku.

Mungkin dalam rasa mengantuk yang amat sangat tadi aku tidak meletakkan naskah Al-Qur'an tersebut dengan betul di rak.

..eh..kejap, kejap..apa aku kata tadi?..mengantuk?..

Aku terdiam dan terduduk. Terfikir seketika. Betapa diriku yang memiliki tibuh badan yang sihat, cukup rehat, cukup makan, cukup latihan fizikal tidak memiliki kekuatan dan kudrat untuk mengangkat hanya sehelai kertas ringan dari naskah Al-Qur'an, akan tetapi yakin pula akan boleh pula mengangkat dan menghayunkan bola bowling yang ternyata berkali ganda beratnya dari sehelai kertas.

Astaghfirullah...

Baru kufahami dan sedar, aku lebih banyak menumpukan perhatian pada bahagian jasad (fizikal) dalam proses menghargai diri sebagai salah satu penciptaan Allah SWT. Tetapi aku kurang memberi perhatian pada bahagian kerohanian (spiritual).

Jasadku kenyang dan kuat, tetapi roh ku amat lapar dan lemah.

Firman Allah:

“Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaanya) dari ibadah lain.”
(Al-Ankabut : 45)

Mengingati Allah yang dimaksudkan diatas, antaranya adalah ZIKIR. Zikir adalah MAKANAN ROH. Dalam konteks ini, aku memang kurang berzikir; zikir hati yang dilakukan berterusan sebagai amalan diri. Bukankah hanya dengan mengingati Allah itu maka hati menjadi tenang, dan dengan ketenangan itu membawa kita ke dalam frequensi positif dan seterusnya menarik masuk tenaga-tenaga berbentuk positif ke dalam realiti kehidupan kita?

Melakukan kewajipan dan juga amalan-amalan berbentuk ibadah seperti solat sunat, membaca Al-Qur'an adalah antara amalan kerohanian. Mana mungkin roh yang lapar dan lemah mampu melakukan kerja-kerka ini. Maka kerana itulah, tangan fizikal yang gagah menghayun bola bowling tidak mampu mengangkat selembar kertas dari naskah Al-Qur'an untuk meneruskan pembacaan. Roh itu lemah, tak berdaya, kelaparan.

Fizikal manusia ini terhad, jika kita kaya raya dan mampu membeli pelbagai jenis pakaian berjenama mahal,

Berapa banyak pakaian mahalkah yang dapat kita pakai dalam waktu yang sama?..5 pasang sekali pakai?..tentunya kita akan pengsan kepanasan dan silap haribulan mendapat gelaran 'gila' dari orang lain.

Berapa banyakkah makanan yang lazat-lazat dapat kita makan dan isi ke dalam tubuh badan kita dalam waktu yang sama?...5 pinggan?..aku rasa jika 2 pinggan itu pun dan cukup membuat kita rasa mual dan ingin memuntahkan kembali makanan tersebut.

Akan tetapi roh manusia tiada had, kita boleh memberi 'makanan' dan 'pakaian' kepada roh dengan pelbagai jenis aneka zikir yang berlainan, tak kira sebanyak manapun, tak perlu keluar modal pun, dan makanan roh ini semestinya tersangat penting melebihi makanan jasad. Akan tetapi inilah sesuatu yang sering aku (mungkin kita) abaikan. Lantaran itu, tanpa kesedaran ini, ummah akan terus leka dan lalai dengan duniawi dan makin jauh dari Allah.



Dari Aisyah RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,

“Zikir (dengan tak bersuara) lebih unggul daripada zikir (dengan bersuara) selisih tujuh puluh kali lipat. Jika tiba saatnya hari kiamat, maka Allah akan mengembalikan semua perhitungan amal makhluk-makhluk-Nya sesuai amalnya. Para malaikat pencatat amal datang dengan membawa tulisan-tulisan mereka. Allah berkata pada mereka, ‘Lihatlah apakah ada amalan yang masih tersisa pada hamba-Ku ini?’ Para malaikat itu menjawab, ‘Kami tidak meninggalkan sedikit pun amalan yang kami ketahui kecuali kami mencatat dan menulisnya.’ Allah lalu berkata lagi (pada hamba-Nya itu), ‘Kamu mempenyuai amal kebaikan yang hanya Aku yang mengetahuinya. Aku akan membalas amal kebaikanmu itu. Kebaikanmu itu berupa zikir dengan sembunyi (tak bersuara).”

(HR Al-Baihaqi).

...........

Aku menelefon semula Jasmi dan memberitahu aku kurang sihat dan tidak dapat mengikut mereka bermain bowling malam itu. Memang betul aku kurang sihat, rohku kurang sihat.

Malam itu aku memaksa tanganku yang tak larat itu membuka juga seberapa banyak lembaran Al-Qur'an dan meneruskan pembacaan dengan airmataku yang bagai tak mahu berhenti mengalir.......

Jika nak copy paste atau nak link ke, mintak izin dari blogger dulu atau letakkan link asal artikel yg dikongsikan. Hidup biar ada adab.


Terbit untuk Portal Islam Murabbi pada 5 Aug 2011 LINK

2 ulasan:

  1. "Al-`aqlus-salim, fil-jismis-salim.."

    aqal (dan segala aspek non-material manusia) yang SIHAT, berada pada jasad yang SIHAT juga.

    Saya baru sahaja menyedari akan hakikat ini beberapa waktu dahulu..kira-kira setahun yang lalu.

    Ketika saya menghadiri satu sesi kursus rawatan diri (nak buang sihir, saka dan sebagainya), kami disuruh dan diajar bersenam dengan cara tertentu, diajar juga teknik pernafasan...dan rupa-rupanya gangguan sihir atau makhluk halus tersebut berjaya disingkirkan hampir 50 peratus dengan hanya melakukan riadah fizikal yang betul.

    Apabila aliran darah berlari dengan baik dan lancar, jasad kita sudah tidak lagi menjadi habitat yang selesa buat makhluk jin ini.

    Saya nak fokuskan bahawa dalam membina kesihatan rohani, kesihatan dan kekuatan fizikal juga tidak boleh diabaikan. Perlu wujud keseimbangan.

    Jika rohani kita kuat tetapi jasad lemah, ketidakseimbangan tersebut bakal mengakibatkan kemudaratan juga...dan ada sebahagiannya sehingga mengancam nyawa, apabila tubuh tidak mampu menampung tenaga dalaman yang melebihi kapasiti jasad.

    wallahu a'lam.

    BalasPadam
  2. saudara is-haque, apakah senaman riadah itu? jika tidak keberatan utk dikongsi. terima kasih.

    BalasPadam

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]