Rabu, 1 Jun 2011

'Say YES To Couple' : It's Halal

Perhatian:

Artikel ini adalah ditujukan kepada rakan-rakan loa's dan mereka yang memahami konsepnya. Dilarang memberikan sebarang reaksi, respon atau komen, SEHINGGA selesai membaca keseluruhan artikel ini.


Kebelakangan ini, ramai benar yang memperkatakan dan membahaskan soal 'couple' ini. haramkah?, bolehkah?, haruskah? makruhkah? Begitu banyaknya diperbincangkan diblog-blog, malah dimeja-meja kedai mamak berintenet pun ada kudengar. Dan kalau di thread-thread forum, isu inilah yang amat popular dan mencecah rating-rating tertinggi dari segi yang membaca dan memberi komen. Rating yang tinggi ini menunjukkan bahawa betapa ramainya anggota masyarakat memberikan perhatian kepada perkara yang berhubungan dengan 'perhubungan lain gender' atau secara mudahnya 'CINTA' kerana merasakan keperluannya.

Hingga ramai yang tercari-cari 'formula' yang betul untuk ber'couple' ini supaya tidak mengundang dosa. Dalam diam langit dan bumi mentertawakan kita kerana cuba melakukan 'matlamat menghalalkan cara' dengan tindakan manusia mencari formula dan solusi tentang persoalan 'couple' ini.

Apakah maksud couple dari segi pengertian bahasa? Mengikut Kamus Inggeris, makna couple ialah:

1. Two items of the same kind; a pair. (sepasang / berpasangan)
2. Something that joins or connects two things together; a link.
3. (used with a sing. or pl. verb)
1. Two people united, as by marriage.
2. Two people together. (penyatuan dua manusia)
4. Informal. A few; several: a couple of days.
5. Physics. A pair of forces of equal magnitude acting in parallel but opposite directions, capable of causing rotation but not translation.

Maka dari segi bahasa, ianya lebih mudah difahami sebagai 'pasangan' dan, di dalam konteks hubungan manusia, ianya lebih tepat jika dimengertikan dengan maksud, penyatuan dua orang manusia. Pasangan ini tidak hanya melibatkan penyatuan dua jenis gender berlainan. Ia juga boleh dikategorikan diantara 2 orang gender yang sama, umpamanya 'Pasangan Regu Badminton' dan lain-lain. Akan tetapi , pada ketika ini, saya hanya ingin memberikan perbincangan yang khusus didalam Perhubungan Antara Dua Gender yang Berbeza iaitu Lelaki + Perempuan.

Setiap manusia memerlukan pasangan mereka masing-masing. 'Soulmate' bak kata orang barat. Pasangan yang harmoni atau secocok adalah impian setiap manusia. Manusia tidak akan mampu untuk hidup bersendirian dengan tenang. "There's No 'One Man's Island'. Hawa diciptakan Allah sebagai pasangan untuk Adam yang mana dinyatakan Adam merasa sunyi dan melihat didalam syurga makhluk-makhluk yang berpasang-pasangan seperti burung dan lain-lain.

Mengapakah perasaan dan keinginan untuk memiliki 'pasangan' ini wujud? Perasaan ini adalah perasaan normal yg memang dibekalkan kepada semua insan oleh Allah SWT. sepertimana firmanNya:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki, isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. (Ar-Rum: 21)


Dan Kami (Allah) jadikan kamu berpasang-pasangan. (An-Naba:8)

"Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah." (Adz-Dzariyat: 49)


سُبحٰنَ الَّذى خَلَقَ الأَزوٰجَ كُلَّها مِمّا تُنبِتُ الأَرضُ وَمِن أَنفُسِهِم وَمِمّا لا يَعلَمونَ

"Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui"
(Yasin : 36)

Maka, setiap insan ingin disayangi dan menyayangi, memberi perhatian dan diberi perhatian. Ianya adalah 'biological and spiritual needs'. Bila tiba masanya, (tahap baligh) perasaan ini akan terbit dari hati setiap insan.

Keinginan Berpasangan ini pula terbahagi kepada beberapa kategori seperti menyukai, berahi, menyayangi, menyanjungi, merindui dan lain-lain lagi yang mana semuanya berada dibawah satu banner yang sama yang digelar 'CINTA'.

Semua kategori yang disebutkan tadi, semuanya adalah bersih, suci dan murni, termasuk nafsu berahi. Ianya adalah anugerah Allah sebagai salah satu nikmat syurga yang didekatkanNya untuk para hambaNya didunia ini. Allah adalah Creator and Designer of Love. Kita telah pun membicarakan ini dalam artikel yang pernah saya tulis beberapa waktu lalu.

Kita telah mempelajari bahawa setiap anugerah itu wajib disyukuri dan dihargai dan dira'ikan sepenuhnya. Maka, untuk mera'ikan perasaan yang dianugerahkan didalam bentuk 'Keinginan Berpasangan' ini, Allah telah memberikan cara yang diredhainya iaitu: NIKAH

Ingin mera'ikan keinginan menyayangi lawan gender, berahikan lawan gender, ingin membelai dan dibelai oleh lawan gender, ingin menonton wayang tetapi ingin ditemani oleh lawan gender, ingin berbual dengan penuh pujuk rayu dan gurau senda dengan lawan gender dan pelbagai lagi, semuanya diberikan cara yang diredhai oleh Allah untuk mera'ikannya iaitu dengan: NIKAH




Selain itu, tujuan utama nikah juga adalah dengan tujuan akan memperkembangkan lagi zuriat manusia yang diharapkan akan terus menjadikan Islam sebagai 'addin' (cara hidup) dan generasi yang mengEsakan Allah SWT.

Maka, berpasangan itu sangat perlu dan sangat-sangat dibenarkan oleh Allah. Bahkan Rasulullah S.A.W sendiri menggalakkan umatnya untuk berpasangan ini seperti sabda Baginda:

“ Aku sendiri berpuasa dan berbuka, bangun malam dan aku juga seorang yang mengahwini perempuan juga aku memakan daging. Barangsiapa yang tidak ingin kepada Sunnahku maka dia bukan dari kalangan (pengikut)ku”(Dari Sunan al-Nasaa’ie, no. 3217)


Apa yang salah dan tidak dibenarkan ialah, mengadakan hubungan umpama suami isteri diluar ikatan pernikahan. Dalam ertikata yang mudah, mempunyai teman lelaki, teman wanita, boyfriend, girlfriend, pakwe, makwe, marka dan sebagainya. Istilah yang tepat ialah Berpacaran.

KITA KELUAR SEBENTAR DARI TAJUK INI

Saya ingin menyentuh dari segi pengaplikasian LOA, kita telah memahami tentang TA (Tanggapan Asas) -rujuk semula Sauh Kehidupan- yang amat mempengaruhi minda separa sedar kita didalam usaha dan ikhtiar kita mencapai keinginan-keinginan kita. Hal ini sama seperti TA kita kepada wang. Contohnya:

Ada yang memberi fokus untuk meraih kewangan yang banyak sebagai keinginannya. Dia melakukan semua langkah, meminta, affirmasi, tawakkal, komitmen, alligning, allowing, receiving dan visualisasi. Tetapi TAnya mengatakan

1. Wang adalah punca kerosakan akhlak manusia.
2. Wang adalah penyebab manusia menjadi lupa diri
3. Wang adalah daki dunia.

Kesimpulan yang jelas dari 'TA'nya ialah: Aku benci wang, Wang adalah sesuatu yang jahat dan negatif.

Hakikatnya, adakah TA yang dikatakannya tentang wang tadi itu benar? Sama sekali tidak benar. Wang hanyalah sebagai tools atau alatan untuk meletakkan nilai harga sesebuah material atau perkhidmatan, dan ianya diciptakan untuk kemudahan manusia. Manusia yang bersalah apabila menggunakan hawa nafsu mereka untuk mengejar wang. wang tidak bersalah, tetapi dia telah belajar memahami dengan negatif tentang wang dari proses pembesarannya dan telah memiliki TA yang salah terhadap wang.

Bagaimanakah tenaga-tenaga berbentuk kelimpahan wang dapat hampir kepada dia, andainya frekuensi yang sering dipancarkannya adalah frekuensi negatif tentang wang? Maka dia perlu memperbetulkan semula TAnya supaya selari dengan apa yang diimpikan olehnya.

TAnya perlu diperbetulkan dengan memberikan persepsi yang tepat dan jelas tentang wang supaya frekuensi yang dihantar selari dengan keinginannya, dan dengan itu, tenaga yang tepat akan mudah menghampiri penghantar yang memiliki frekuensi yang sama.

BERBALIK SEMULA KEPADA TOPIK YANG ASAL

Say No to Couple? Couple Itu Haram? Setiap hari mohon kepada Allah supaya diberikan jodoh/ pasangan yang harmoni, soleh/solehah tetapi affirmasi anda 'Katakan TIDAK kepada hidup berpasangan' / Haramkan Hidup Berpasangan?

Ada yang melakukan step/langkah yang pernah dilakukan oleh rakan loa's seperti Ayuni dan Amisya tetapi 'say No to couple / Katakan TIDAK kepada hidup berpasangan'/ Hidup Berpasangan itu adalah Haram?'

Bagaimanakah tenaga berbentuk 'jodoh/pasangan yang ideal' dapat sampai ke gelembung aura kita jika dimasa yang sama kita bertindak menolaknya jauh-jauh?

Kita telah berbicara dengan terperinci tentang 'couple' sebentar tadi. Tidak mengapa jika anda mahir memberikan Tanggapan Yang Tepat dan Adil kepada apa yang anda ucapkan. Saya cuma ingin mengelakkan diri kita dari melontarkan frekuensi berlawanan dari apa yang kita inginkan akibat dari TA yang salah tanpa kita sedari. Kerana itu telah saya nyatakan di awal nota ini bahawa artikel ini hanya untuk rakan-rakan loa's kerana saya optimis mereka memahami apakah mesej yang ingin saya sampaikan.

Oleh itu, perlu difahami bahawa, maksud berpasangan/couple dalam islam ialah? bersuami isteri dan ianya bukanlah sesuatu yang salah dan haram bahkan dituntut. Bukan untuk ditentang, dijauhi, diletakkan persepsi negatif atau diberikan erti noda. Berikan persepsi yang tepat dan positif pada 'couple/hidup berpasangan'

Apa yang salah dan tidak dibenarkan ialah berpacaran, kerana ini adalah amalan masyarakat barat.



NIKAH, BERPASANGAN DAN PERKENALAN

Sila Jawab Soalan Ini Dengan Jujur Dari Hati Yang Ikhlas:

Firman Allah:

Dan Kami (Allah) jadikan kamu berpasang-pasangan. (An-Naba:8)

"Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah." (Adz-Dzariyat: 49)

Adakah setelah anda membaca Perkataan Allah Yang Maha Benar ini, anda merasakan dengan satu keyakinan yang tinggi bahawa anda sememangnya benar-benar dilahirkan dengan memiliki pasangan? Can you feels it? Merasakan bahawa: wah..aku memang ada pasangan yang telah ditetapkan, cuma belum ditemukan, dan kami akan bertemu disaat yang benar-benar sesuai dan tepat.

(Affirmasi: Everything I need comes to me at the Perfect Time)

Atau anda ada merasakan sedikit perasaan berputus asa atau ada rasa kecewa dan mungkin berpendapat, bahawa mungkin benar untuk orang lain, tetapi tidak untuk anda, atau merasakan bahawa anda tidak layak memiliki pasangan?

Menghayati dan meyakini Firman Allah ini dengan sepenuhnya dan menjadikannya sebuah Tanggapan Asas anda adalah satu kriteria yang PERLU sebelum anda memulakan Step 1 iaitu menulis senarai lengkap pasangan ideal anda dan seterusnya membuat permintaan melalui doa dan solat hajat. Ingat! Rukun iman yang ketiga adalah : Percaya / Mengimani Kitab Allah, dalam konteks ini; Al-Qur'an. Sekiranya anda tidak percaya bahawa anda memiliki pasangan, bererti anda telah menolak / tidak percaya kepada ayat diatas tadi. Dan perlu diingat juga bahawa:

"Aku (Allah) akan bersama (mengikutkan) sangkaan hamba-hambaKu. Maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan"
(Firman Allah dalam Hadis Qudsi Riwayat At-Thabrani)

Oleh itu, maka hendaklah kita bersangka (memberi persangkaan / kepercayaan) dengan apa yang kita INGINKAN, bukan dengan apa yang kita KHUATIRKAN atau RISAUKAN. Kita juga adalah DILARANG dari berputus asa dari rahmat Allah.

Ingat! Tanggapan Asas anda memainkan peranan yang penting terhadap minda separa sedar anda.

Tetapi sebelum nikah, mestilah kita ingin memastikan seseorang itu sesuai dan selesa untuk hidup dengannya.

Maka kita tetap akan melalui proses: PERKENALAN. Akan tetapi, perkenalan bukan couple (Perkenalan bukan Berpasangan) Boleh jadi juga perkenalan itu hasil rundingan dari orang tua. Atau dari komitmen-komitmen yang anda lakukan. Walau apapun, segalanya adalah dibawah kekuasaan Allah. Allah yang menetapkan anda bertemu dan berkenalan dengan seseorang itu dengan asbab rundingan orangtua, asbab tersilap hantar SMS, berkenalan dari laman sosial seperti facebook, friendster dll, atau di pejabat yang baru mengambil anda menjadi pekerja, malahan dengan asbab beg tangan anda diragut dan anda diselamatkan oleh hero anda.

Bagi yang telah menghadiri seminar, tentunya anda masih ingat akan apa yang pernah kita bincangkan bahawa 95% atau kebanyakan impian yang dimakbulkan, akan anda manifestasikan dengan kehadiran 3 elimen penting iaitu

1. Manusia (Subjek Utama)
2. Peristiwa (Melibatkan Tarikh dan Waktu)
3. Lokasi/Tempat (Melibatkan Longitude dan Latitude)

Yang mana segalanya ini memiliki kiraan yang sangat tepat / accurate yang telah ditetapkan oleh Allah Maha Pencipta. Tidak mungkin tersasar walau sesaat pun jangka waktu yang telah diberikan didalam basic program manusia. DAN, hal ini (takdir ini) masih diberikan peluang oleh Allah S.W.T kepada kita untuk mencorakkankan sendiri sebagimana yang kita inginkan berlaku dengan membuat permohonan doa kepadaNya.

Walaubagaimana pun, masih tertakluk kepada budibicara Allah S.W.T, tetapi kita telah diberikan kelonggaran untuk memilih. Maka gunakanlah peluang yang diberikan ini dengan sebaiknya.

Firman Allah:

Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki. Dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab (Lauh Mahfuz). (Ar-Raad : 39)

Menurut Tsauban r.a sabda Rasulullah s.a.w:
"Tiada suatu pun yang dapat menolak ketentuan Tuhan melainkan DOA.” - Hadis sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya. Disepakati kesahihannya oleh al-Zahabi.(semak Parallel Kehidupan)

Maka dari itu, kita sedia faham jika kita berdoa dan duduk sahaja dirumah, tanpa melakukan komitmen yang memasukkan diri kita ke dalam ruang aliran (flow) yang membabitkan kita dengan Manusia, Peristiwa dan Lokasi, maka agak sukar memanifestasikan keinginan kita, apatah lagi jika memiliki TA yang salah terhadap apa yang kita inginkan.

Lantaran itu Islam membenarkan bakal suami isteri untuk melihat wajah orang yang bakal dinikahinya dan seseorang wanita diberi pilihan untuk menolak atau menerima lamaran (pinangan) yang diterimanya.

Hadis Nabi S.A.W:

1. Dari Al-Mughirah bin Syu'bah, Nabi S.A.W bersabda: (ketika beliau melamar seorang perempuan) "Lihatlah kepada perempuan tersebut. Sesungguhnya perbuatan itu akan menimbulkan perasaan kasih sayang dan satu hati antara kedua-duanya". Hadis diriwayatkan oleh Imam Tirmizi

2. Jika terlintas di hati seseorang untuk melamar perempuan, maka diharuskan untuk dia melihatnya (perempuan yang ingin dilamar). (Hadis riwayat Abu Daud)

Dari Hadis ini jelas menunjukkan Islam juga menitikberatkan persoalan 'taste/ citarasa' atau 'berkenan' atau tidaknya dihati seseorang itu kepada lawan gender, walaupun dari sudut dan aspek fizikal. Bukan semua dari kita terutamanya umat islam diakhir zaman ini yang benar-benar dapat menghayati dan mempraktikkan jiwa 'redha'.

Maksudnya, katakan kita tidak mahu melihat dahulu walaupun telah diharuskan didalam ugama, 'apakah setelah nikah dan kita mendapati pasangan kita itu tidak berkenan dihati, mungkin dari aspek fizikal dan lain-lain, kemungkinan untuk timbul rasa penyesalan itu akan terbit jua walaupun kecil, melainkan kita benar-benar seorang yang telah dapat menghayati dan mempraktikkan jiwa 'redha' ini. Jangan mnipu diri sendiri. Allah Maha Mengetahui bahawa setiap hamba yang diciptakannya dibekalkan memiliki citarasa yang berbeza-beza.

.............................

Oleh itu, bercinta lah sepuas-puasnya, ber'couple'lah sepuas-puasnya, dengan suami atau isteri anda yang sah..tak siapa pun yang larang.

Bagi yang merasakan diri mereka tidak mampu, maka jadikanlah diri anda mampu dengan memberikan fokus anda kepada perkara yang membuat anda mampu terlebih dahulu. Jangan terlalu berfikiran negatif tentang kemampuan ini kerana Allah S.W.T telah pun berfirman:

"Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di kalangan kamu dan juga orang-orang yang layak menikah dikalangan hamba sahaya kamu laki-laki dan perempuan, jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya.Dan Allah maha Luas (Pemberiannya),lagi Maha Mengetahui" (QS Annur :32)


Ini adalah perintah Allah agar segera menikahkan orang-orang yang masih bujang di kalangan kita. (Menjadikan orang yang bersendirian kepada berpasangan - from single to couple : see! still want to say NO to couple?) Bahkan seandainya kita termasuk golongan yang tidak mampu, jangan bimbang Allah swt sendiri akan memampukan kita dengan jaminan yang telah dinyatakanNya di dalam ayat diatas.

Andai kita tidak yakin dengan Perkataan Allah SWT, (Semak Al-Qur'an dan Tenaga) perkataan apa lagi di dunia ini yang dapat menjadikan kita yakin terhadap sesuatu?

Rasullulah S.A.W juga ada bersabda yang bermaksud:

“Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga) “
(Hadith riwayat Imam Ad Dhalani)dalam Musnad Al Firdaus

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah bersabda, “ 3 golongan yang akan selalu di beri pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah swt ,seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya” (Hadith riwayat Thabrani) dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim, dari Ad Dur Al Mantsur

Bagi yang masih berusia muda, yang mana pernikahan itu adalah sesuatu yang masih belum mampu dilakukan, masih ada tanggungjawab lain yang lebih penting, umpamanya masih didalam pengajian, maka berikan tumpuan sepenuhnya dahulu pada apa yang anda dipertanggungjawabkan, jangan dirisaukan atau difikirkan sangat tentang 'couple', atau 'aku ni ada ke orang nak nanti' dan lain-lain. Bila tiba masanya, jodoh anda akan tiba. InsyaAllah.


P/S: Jangan memandang remeh tentang penggunaan istilah dan kata ini, ianya sebenarnya memainkan peranan yang penting didalam kehidupan kita.


THE POWER OF WORDS: CHANGE YOUR WORDS, CHANGE YOUR WORLD



(Artikel ini akan disambung lagi, isyaAllah)


Wallahuaklamubissawab

Jika nak copy paste atau nak link ke, mintak izin dari blogger dulu atau letakkan link asal artikel yg dikongsikan. Hidup biar ada adab.

4 ulasan:

  1. salam,

    syukran bro :)....

    YES...when everything i need comes to me at the Perfect Time....

    BalasPadam
  2. Salam, dgn membaca artikel ini telah menambahkan kefahaman saya tentang apa itu erti husnuzzon

    syukran jazilan atas perkongsian

    BalasPadam
  3. best! i like :)

    BalasPadam
  4. Salam ,

    Seriously , saya mmg sgt tertarik dengaan artikel ini .

    Selalu sgt saya dengar ttg couple tu haram . Saya akan tggu artikel anda yang seterusnya .

    Syukran Jazilan :)

    BalasPadam

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]