Selasa, 26 April 2011

Sauh Kehidupan (Bhg 2)

Artikel ini adalah sambungan kepada Artikel Sauh Kehidupan yang terbit pada 4 Dec 2010 yang lalu.



Diantara penyebab atau punca yang menjadi faktor penggalak terhadap kegagalan, kesedihan dan kesakitan didalam kehidupan kita adalah TANGGAPAN ASAS dalam diri kita sendiri

Tanggapan Asas (TA) yang dimaksudkan ini ialah sistem kepercayaan atau corak pemikiran kita yang paling asas yang kita gunakan dalam menanggapi kehidupan kita sendiri.

Bila bercakap tentang sistem kepercayaan, saya tidak bermaksud mengaitkan dengan Kepercayaan dan Keimanan kepada ugama, politik dan lain-lain. Tetapi TA ini adalah berkaitan dengan ‘minda separa sedar’ kita.

TA ini sebenarnya amat tersembunyi dan terselindung didalam diri setiap dari kita dan kadang-kala kita bagaikan tidak pernah menyedari betapa pentingnya perkara ini. Ia sebenarnya mengawal dan malah kadangkala ia bersikap mengongkong diri kita dan membuatkan diri kita ‘tidak bebas’ kerana terperangkap dalam situasi ‘limiting believe’ yang membuatkan kita sukar untuk maju dan memiliki kehidupan sepertimana yang kita inginkan.

Dengan memiliki TA yang salah, kita hanya akan memiliki kehidupan yang terhad sepertimana yang terdapat dalam TA diri kita.

BAGAIMANAKAH TA YANG TERSEMBUNYI INI BOLEH BERTEMPAT DIDALAM DIRI KITA?

Untuk memudahkan kita memahami konsep ini, mari kita bayangkan bahawa diri kita adalah sebuah kapal, dan kehidupan adalah seumpama lautan dan kita sedang menuju ke destinasi yang ditetapkan untuk kita (akhirat).

Di awal kehidupan yang baru bermula, kita adalah sebuah kapal yang serba baru, dengan enjin, peralatan yang semuanya serba baru dan berkeadaan sangat bagus. Dan kita pun memulakan pelayaran kita kedalam lautan kehidupan. Perjalanan kita diperingkat awal amat lancar dan mudah.

Kemudian, masih didalam peringkat perjalanan paling awal, kapal kita mula menerima ‘sauh’ daripada orang-orang yang berada disekeliling kita, satu persatu. Mereka memasangkan sauh ini ke dalam kapal kita dengan tujuan yang baik dan mulia. Iaitu ingin membantu kita supaya mendapat arah perjalanan yang betul.

Pada mulanya, dengan kehadiran sauh –sauh ini, perjalanan kita kelihatannya bertambah baik dan teratur.

Masa terus berlalu, semakin lama semakin banyak sauh dipasang diatas kapal kita oleh orang ramai yang berada disekeliling kita . Kapal kita semakin berat, kerana semakin banyak sauh, perjalan terasa lambat, sukar dan tidak lancar. Malah ada antara kita yang terhenti perjalanan dan terapung-apung ditengah lautan kehidupan. Kapal kita seolah kehilangan arah, dan terkandas, kerana terlalu banyak sauh yang dipasang dan merantai perjalanan kita.

Kita menjadi seperti tenggelam punca, dan kita juga tidak tahu bahawa ini berpunca dari terlalu banyak sauh yang telah dipasang pada kapal kita. Kita mencari-cari jalan dan penyelesaian, tetapi tidak berjumpa, kita bertemu dengan beberapa orang yang singgah di kapal kita, mereka menawarkan pertolongan dengan memasangkan lagi beberapa sauh. Masalah kita tidak selesai, akan tetapi bertambah berat.

Kadangkala kita sendiri bagai sudah tiada ruang untuk berdiri didalam kapal kita sendiri, kerana ruang didalam kapal kita sudah sangat sempit dipenuhi dengan pelbagai sauh.

Keadaan ini menyebabkan kita semakin bersendirian kerana tiada siapa yang sudi datang bertamu didalam kapal kita yang sempit dan sesak sebegitu.

Sesekali kita bertembung dengan kapal-kapal yang seusia dengan kita, akan tetapi kita mendapati kapal mereka sangat laju, lancar dan efisien. Mereka menjemput kita singgah sebentar dikapal mereka. Kita merasa amat sedih dan malu apabila mendapati kapal mereka amat mewah, bahagia dan tenang. Mereka memiliki sedikit sahaja sauh dan ianya amat ringan dan sangat berguna untuk pelayaran mereka.

Apakah kapal mereka tidak dipenuhi dengan sauh-sauh yang tak berguna seperti kapal kita? Tiadakah sesiapa meletakkan sauh-sauh tersebut pada kapal mereka?
Kita merasa sedih, rendah diri, dan kebingungan.

Akhirnya kita mengakui bahawa kita tak dapat tidak, sangat bergantung kepada kapal kita untuk meneruskan kehidupan. Kita tidak boleh meninggalkan kapal kita. Dan sauh-sauh yang memenuhi ruang kapal kita telah menjadi sebahagian dari hidup kita dan kita juga tidak mampu hidup tanpa sauh-sauh itu. Maka kita meneruskan pelayaran kehidupan kita dengan keadaan yang amat sukar, berat dan sangat menyakitkan.

~Bersambung~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]