Selasa, 14 Disember 2010

Sangka-sangka itu bukan buah semangka.

Jangan main sangka-sangka. Nanti di dunia terbakar, akhirat pun terbakar juga.

Pernah dengar Buah Semangka? Dalam hidup saya, semangka itu adalah nama lain bagi buah tembikai. Kalau di tanah arab ini, musim panas adalah musim buah semangka. Besar-besar saiznya. Sedap-sedap pula rasanya. Bila dimakan pada waktu tengahari musim panas selepas disejukkan, memang tak ternilai nikmatnya.

Tetapi sangka-sangka adalah satu hal lain yang sangat berbeza.

Kalau buah semangka adalah buah lazat dan manis rasanya, sangka-sangka adalah buah beracun yang busuk dan sangat pahit rasanya.

Sangka-sangka menghasilkan kerosakan. Ia menternak kebencian. Meruntuhkan jambatan hubungan sesama insan. Akhirnya melahirkan hati busuk yang bermusuh tidak kesudahan. Sangka atas sangka, sangka atas sangka, akhirnya rosak semuanya.

Dan Syaitan adalah yang menyalur tenaga dari akar pokoknya.



Kepercayaan itu sesuatu yang mahal

Di dalam hubungan sesama manusia, kepercayaan adalah sesuatu yang mahal. Sebab itu, apabila seorang manusia meletakkan kepercayaan kepada seseorang yang lain, maka itu adalah kimiawi utama dalam satu hubungan yang baik.

Kita dapat melihat dalam kehidupan kita, banyak perkara digerakkan atas kepercayaan. Walaupun sudah wujud terma dan syarat dalam banyak perkara pada hari ini, tetap kepercayaan itu adalah perkara yang utama dalam pergerakan hubungan.

Kita boleh membayangkan sekiranya kepercayaan hilang dalam satu hubungan, bagaimana hubungan itu akan berjalan. Ia akan berjalan dalam keadaan suram, tidak ceria, dan keterikatan hati itu terasa longgar. Sebab yang utama dalam satu-satu hubungan adalah kepercayaan.


Bukan kepercayaan membuta tuli

Jangan salah sangka kepercayaan ini adalah kepercayaan membuta tuli. Kepercayaan kita punya asas. Kita yakin dengan bukti. Sebab itu di dalam hubungan, Islam mengajar kita untuk berta’aruf. Berta’aruf ini bukan sekadar mengenal nama, tahu tarikh lahir, ingat tempat tinggalnya, tetapi ta’aruf ini sehingga sampai hakikat kita kenal dirinya dengan sebenar-benar pengenalan. Kita tahu dia suka apa, dia tak suka apa, kita tahu perangainya bagaimana dan pegangannya dalam hal-hal tertentu macam mana.

Kepercayaan kita, asasnya adalah dengan ta’aruf.

Ta’aruf adalah bukti yang membina kepercayaan kita.


Didik diri dengan bukti berasas, bukan firasat-firasat

Manusia mempunyai penglihatan yang terbatas. Dalam menghukum seseorang, sememangnya kita terbatas dengan zahirnya sahaja. Sebab itu, ta’aruf adalah perkara utama yang perlu kita usahakan untuk mempunyai hubungan yang baik.

Justeru, dalam menghukum seseorang, kita perlu meletakkan hukum itu atas bukti yang kita ada.

Jangan biasakan diri kita dengan sangka-sangka, firasat-firasat yang hanya bergejolak sekitar perasaan jiwa. Hal ini kerana, syaitan berlari-lari di seluruh pembuluh darah kita, memang menanti-nanti peluang untuk menimbulkan was-was dan syak wasangka.

Sememangnya diakui bahawa manusia mempunyai gerak hati, instinct dan sebagainya. Hatta Saidina Umar RA pun pernah berkata: “Takutlah kamu kepada firasat orang mukmin.” Tetapi tetap firasat dan gerak hati bukanlah dalil dalam menghukum seseorang.

Bila kita sekadar menggunakan firasat, gerak hati, instinct, sangka-sangka dalam menghukum seseorang, kita akan lihat hubungan kita hancur dalam masa seketika sahaja. Kerana kita buruk sangka dengannya tanpa asas.

Sepatutnya kita didik diri dengan perbincangan, dengan mencari bukti, kemudian kita selesaikan sesuatu yang bermain dalam sangkaan kita, dalam firasat kita, secara terus dan telus. Usah kita tahannya dalam fikiran dan hati kita, tanpa kita cari bukti, tanpa kita berbincang.


Contoh mudah dalam isu main sangka-sangka

Saya bagi contoh mudah. Seorang pelajar suka membaca Al-Quran dengan berlagu. Dia hebat dalam membawa lagu-lagu Al-Quran yang pelbagai. Pelajar-pelajar lain pula suka dengan bacaannya. Tiba-tiba ada seorang guru berkata:

“Orang baca Al-Quran macam itu tidak ikhlas”

Lebih memburukkan keadaan, perkara begitu dikongsi dengan ramai.

Apa bukti dia tidak ikhlas? Dan sebagai seorang guru, apakah patut pendakwaan tidak ikhlas itu ditujukan seumum itu? Lebih jelas lagi, siapa yang meletakkan aras bahawa membaca Al-Quran berlagu itu tidak ikhlas?

Agaknya, selepas itu bagaimana hubungan pelajar itu dengan gurunya tadi?

Sepatutnya, guru itu boleh sahaja pergi terus bertemu dengan pelajarnya tadi, dan berbincang berkenaan keikhlasan dalam membaca Al-Quran, secara berhadapan tanpa terus menuduh.


Contoh lain: Seorang lelaki belajar di luar negara. Dia dahulunya terkenal pemalu dan segan-segan orangnya. Tetapi bila dia sudah di luar negara, orang di Malaysia melihat gambar-gambarnya dan kelihatan dia duduk di sebelah perempuan, gaya berpakaian berubah menjadi lebih stylo, dan rakan-rakannya kelihatan tidak terurus.

“Hish, dah jadi teruk dah dia ni”

Ding ding ding. Itu biasanya yang akan keluar apabila kita menjadi orang yang melihat gambar lelaki itu bukan?

Sikap begini adalah silap. Ada banyak posibiliti bahawa lelaki itu masih tidak berubah. Cuma suasana di tempat belajarnya membuatkan dia mempunyai gambar sedemikian rupa. Sebagai contoh, mungkin kawan-kawan perempuannya tak kenal erti segan dan masyarakat sekitarnya tidak terdidik. Dia pula berseorangan dan tak mampu bersuara menegur secara terus. Gaya berpakaian pula, mungkin dia mengikut suasana. Tetapi persoalannya, apakah dia membuka aurat? Apakah gambarnya bersentuhan dengan perempuan? Adakah gambarnya dengan perempuan itu pada waktu-waktu sunyi berduaan atau di majlis keramaian atau keluar bersama rakan?

Kita perlu mendidik diri kita mendahulukan sangka baik.

Kalau risau sangat dia berubah, kita jangan simpan sangka-sangka kita itu di dalam hati sahaja. Cakap terus. Tanya sendiri. Sembang dengan empunya badan tanya apa yang terjadi. Tanya apa yang berlaku pada gambar itu. Minta dia jelaskan.

Bayangkan, kita terus tuduh dia berubah, kita terus kata pada dia bukan-bukan, sedangkan mungkin dia pun dalam keadaan tersepit, mungkin dia seorang sahaja faham Islam, mungkin rakan-rakan baiknya tak faham Islam di sana dan sebagainya, mungkin dia tak tahu itu salah, dan ada 1001 kemungkinan lagi yang membuatkan dia tak bersalah. Bayangkan hubungan dia dengan kita selepas itu?

Maka, jangan sesekali terus menghukum.


Kisah Syeikh Mustafa Bugha dan peniru dalam peperiksaan.

Sekadar pengalaman hidup saya, begitu jugalah keadaannya. Saya sendiri dahulu orang yang kuat berfirasat dan bersangka-sangka. Ya, memang pada satu ketika kita akan melihat firasat kita sentiasa betul. Sangkaan kita sentiasa tepat. Tetapi jangan tertipu. Itu hakikatnya bukan satu lesen untuk terus menghukum.

Di hujung hari-hari saya asyik menggunakan firasat, saya dapat melihat betapa saya telah mematahkan banyak hati manusia dan merosakkan banyak hubungan. Sebab saya tak pernah percaya kepada manusia lain. Saya lebih percaya kepada firasat saya.

Maka saya tinggalkan firasat saya. Saya tinggalkan sangka-sangka saya.

Dan hari ini, saya benci orang yang suka main firasat-firasat, sangka-sangka.

Saya sangat menghormati syeikh-syeikh di tempat saya belajar sekarang. Salah seorang yang saya kenali adalah Syeikh Mustafa Bugha, ulama’ Fiqh terkenal di Tanah Syam. Dia adalah ulama’ besar yang hebat. Ramai orang menyatakan dia mempunyai ‘kasyaf’, yakni firasatnya sangat tepat.

Tetapi, apabila didatangkan kepadanya aduan bahawa seorang pelajar meniru di dalam peperiksaan, yang pertama sekali dia berkata adalah:

“Di manakah buktinya?”

Bila ditunjukkan buktinya bahawa markah pelajar itu sangat cemerlang pada setiap semester, dan kecemerlangan itu di luar paras normal(yakni sentiasa 95% ke atas, sedangkan pengajian di Syam sangatlah susah), Syeikh Mustafa Bugha berkata:

“Mungkin Allah membantunya”

Subhanallah. Lihatlah Syeikh ini. Dia ulama’ besar, dia sangat dihormati. Kalau dia mahu terus menghukum pelajar itu, tiada siapa akan mengatakan apa-apa kepadanya. Bahkan yang mengadu kepadanya bukanlah orang biasa, melainkan ulama’ tanah Syam juga. Tetapi selagi tiada bukti pelajar itu meniru dengan sebenar-benarnya(yakni ditangkap ketika meniru), maka Syeikh Mustafa tak mahu menyatakan bahawa pelajar itu peniru.

Untuk memuaskan hati pihak yang mengadu, Syeikh Mustafa Bugha berkata:

“Pergilah berikan penjagaan ketat kepadanya. Kalau kamu dapat menangkap dia meniru, maka barulah laksanakan hukuman ke atasnya”

Lihat. Dan akhirnya, pelajar itu rupanya benar-benar meniru. Dia pelajar perempuan, meniru dengan menggunakan headphone kecil yang disumbat ke dalam telinga, disembunyikan di bawah jilbab. Tetapi lihatlah Syeikh Mustafa Bugha. Dia tidak mendahulukan firasatya. Dia mendahulukan buktinya, barulah menghukum.

Kita bagaimana?


Nas-nas melarang berburuk sangka

Saya kongsikan dalil-dalil yang menunjukkan bahawa buruk sangka adalah dilarang.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;” Surah Al-Hujurat ayat 12.

“Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).” Surah An-Najm ayat 28.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” Surah Al-Hujurat ayat 6.

“Berhati-hatilah kamu dengan sangkaan, sesungguhnya sangkaan adalah pendakwaan yang paling dusta” Hadith riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi.

Saidina Umar Al-Khattab ada berkata: “Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan”

Maka perhatikanlah wahai manusia.

Hentikanlah sangka-sangka kamu itu.


Penutup: Adil lah kamu. Bersangka baiklah.

Bersangka baik hakikatnya adalah satu keadilan. Bukanlah bersangka baik ini, kita percaya sahaja semuanya. Tetapi selagi kita tiada bukti, maka kita tidak akan menghukum sesuatu yang buruk ke atasnya. Bahkan, kalau ada bukti pun kita selidik.

Apatah lagi kalau sekadar kita dengar-dengar cerita kawan, atau baru melihat si fulan itu sekali.

Didik diri untuk berlaku adil. Kalau betul ada rasa kurang senang di dalam hati, kita rasa perbuatannya tidak kena, kita rasa akhlaknya itu tidak ikhlas dan ada riyak di dalamnya, apa salahnya berbincang muka ke muka.

Kenapa terus menghukum?

Lebih buruk lagi, menceritakan pula kepada orang lain pandangan buruk kita itu, dalam keadaan kita tidak pasti. Dan hakikatnya, kalau kita pasti pun, keburukan sahabat kita adalah sesuatu yang mesti ditutup kerana ia adalah sesuatu yang aib.

Maka adil lah kamu.

Jangan rosakkan hubungan sesama saudara kamu.

Sangka-sangka bukanlah buah semangka yang lazat dan memberikan kelegaan di musim panas. Ia hakikatnya buah yang pahit, mengandungi racun yang merosakkan hubungan dan tidak menenangkan pada hari yang tersangat panas nanti(di padang mahsyar).

pautan dari : Langit Ilahi

1 ulasan:

  1. Tetapai penyakit main sangka-sangka ini memang sukar diubati, terutamanya pada orang kita, contoh yang paling mudah sekali, apabila saya memainkan lagu rancak berunsur rock di bolg ini sahaja, sudah ada orang menghantar komen kepada saya menuduh saya ini tidak islamik, berpaksikan barat. Jawapan saya: ha! ha! ha!

    BalasPadam

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]