Ahad, 28 November 2010

Keyakinan yang selama ini terabai

TAHUN : 1967
TEMPAT: TANAH MELAYU

MINGGU PERTAMA

Seorang ibu/balu yang telah terpisah dengan anak kandungnya ketika perang dunia kedua terlalu rindu pada anaknya. Saban malam dia berdoa kepada Allah semoga dipertemukan semula dengan anak kandungnya.

" Ya Allah, temukanlah aku kembali dengan anakku, berilah kesempatan supaya aku menemuinya sebelum aku menutup mata, pelihara dia walau dimana dia berada kini....

Doa yang diikuti dengan tangisan yang amat sedih mengenangkan bagaimanalah nasib anaknya kini.
Begitulah keadaan dirinya setiap malam, menangisi nasib anaknya dalam ratapan tak berpenghujung.

Doa ibu amat mustajab, dan memang benar anaknya dipelihara Allah, hasil dari doa ibu yang bersungguh-sungguh setiap hari. Anaknya dipelihara oleh sebuah keluarga muslim peranakan dan kini sedang melanjutkan pelajaran ke England dalam bidang kedoktoran.

Akan tetapi ibu itu masih jua belum dipertemukan dengan anaknya yang amat dikasihi dan dirinduinya itu...

MINGGU KEDUA

Si ibu yang hanya bekerja mengambil upah menoreh getah mengalami kesempitan wang. Ibu ini juga bertanggung jawab menjaga kedua orang tuanya yang sudah uzur. Ketika itu, sudah tiada apa yang boleh dibuat lauk untuk makan malam itu. Sambil berfikir-fikir diladang getah tempat dia bekerja, Haji Usman Bugis lalu dengan basikal jaguar tuanya.

" Cik Khatun, apa yang menung tu, jauh nampaknya?"..

" hmm..tak ada apalah pak haji, saya tengah risau ni, saya dah tak berduit nak buat beli lauk untuk mak abah kat rumah malam nanti, entahlah, tak tau nak buat macamana, yang ada pucuk ubi ni aja..." sayu ibu itu menjawab pertanyaan Haji Usman Bugis.

"..beginilah Khatun, aku ni pun bukanlah senang sangat, kau tau ajalah, aku ni polis pencen, anak pun ramai, tapi setakat nak bantu kau untuk beli barang dapur buat beberapa hari ini, insyaAllah, ada. Nanti aku suruh si Dollah hantar ke rumah kau lepas asar ni" balas haji Usman sambil terus berlalu.

Ibu itu tidak sempat mengucapkan apa-apa kerana cepatnya Haji Usman berlalu,(mungkin untuk mengelakkan dari fitnah dan lain-lain). Akan tetapi hatinya yang amat runsing dan resah tadi tiba-tiba menjadi lega dan dia mampu tersenyum, kerana masalahnya dirasakan telah dapat diatasi buat beberapa ketika dengan janji Haji Usman tadi.

.........................cerita ini tergantung begini sahaja.......


Apakah tujuan saya berkongsi secebis kisah lampau ini?..

Hanya sekadar ingin mengajak anda semua berfikir akan sesuatu yang mungkin kita abaikan selama ini.

Firman Allah
‘Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya, orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu,akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.’
(Surah Ghafir, Ayat 60)

Allah memudahkan bagi kamu dengan putaran malam dan siang. Dia memberikan kamu setiap perkara yang kamu pohon. Kiranya kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah tidaklah terkira, tetapi manusia itu zalim dan ingkar, tidak berterima kasih.’
(Surah Ibrahim, Ayat 31-34)

Dalam hadis Riwayat Tarmidzi pula, berbunyi
Nabi S.A.W bersabda, ‘Berdoalah sekalian kamu kepada Allah, padahal kamu yakin diperkenankan dan ketahuilah, bahawasanya Allah Taala tidak memperkenankan doa dari hati orang yang lalai lagi lupa.’

Persoalannya:

1.Mengapakah si ibu masih menangis sedih yang tak berpenghujung setelah berdoa mohon dipertemukan dengan anaknya? Apakah perasaan yang dirasakan oleh ibu setelah berdoa? Sedih? Tetap sedih dan pilu? Bagaimanakah dengan janji-janji Allah bahawa setiap doa pasti dimakbulkannya? Bukankah sepatutnya si ibu wajar berasa lega dan gembira kerana telah berdoa kepada Tuhan yang Maha Benar janjiNya? Merasa gembira bahawa pasti dia akan dapat bertemu dengan anaknya dalam masa terdekat yang sesuai. Mengapa masih melayan rasa sedih? Apakah doa itu hanyalah satu luahan yang kosong tak bermakna? Dustakah Allah dalam firmannya hingga ibu tidak mampu merasakan kelegaan?

2. Mengapakah si ibu mampu tersenyum dan berasa lega serta merta sebaik sahaja Haji Usman Bugis berjanji akan menghantar wang selepas asar nanti? Tidakkah dia terfikir bahawa Haji Usman itu adalah manusia biasa yang mungkin akan sampai ajalnya sebelum sampai kerumah untuk memberi arahan pada si Dollah?

Janji siapa yang lebih confirm? Allah atau Haji Usman Bugis? janji siapa yang sepatutnya kita merasakan kelegaan? dan merasakan kegembiraan?

Sila jawab dengan jujur dari hati yang ikhlas:

Berapa kalikah, setelah kita berdoa kepada Allah, kita dapat merasakan kegembiraan dan kelegaan kerana yakin bahawa doa kita telah makbul seperti yang dijanjikan Allah didalam Al-Qur'an (Rukun Iman Yang Ketiga ialah Beriman dengan Kitab Allah) dan merasakan bahawa setelah berdoa, mengikut janji Allah, doa itu telah dimakbulkan dan kita kita berada didalam status dan proses "menerima permintaan" ?


Mungkinkah inilah sesuatu yang selama ini kita abaikan?..

Bagi mereka yang telah mempelajari langkah-langkah dalam Hukum Tarikan, tentunya anda akan memahami apa yang cuba saya sampaikan disini, iaitu

ALIGNING atau keutamaan berada didalam frekuensi yang betul dan tepat selepas membuat permintaan (doa)
-seiring dengan itu usaha atau komitmen perlu diatur dan dilakukan dan memastikan kita berada didalam flow atau aliran yang sama dengan permintaan kita,

contoh: mohon lulus periksa, komitmen: belajar (dengan perasaan optimis)

dan didalam konteks kisah diatas, si ibu perlu berusaha dengan apa yang dirasakan mampu, seperti membuat laporan pada pihak berwajib, mengiklankan diakhbar, dan lain-lain yang dirasakan sesuai dengan apa yang diminta. Berdoa, tanpa melakukan apa-apa tindakan bermakna kita tidak memasukkan diri kita didalam flow/ aliran yang sepatutnya. Memang Allah Maha Mengasihani, akan tetapi kita tidak boleh menunggu dan berserah begitu sahaja. Ini bukanlah sikap orang yang beriman.

Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita menyelaraskan emosi dan fokus kita selari dengan permintaan kita, kerana jika tidak, kita hanya mencetuskan frekuensi BERLAWANAN dengan apa yang kita harapkan.


KEKUATAN DO’A

Allah S.W.T berfirman,

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ (البقرة: 186)

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.” (Al-Baqarah: 186).

Dan Allah S.W.T berfirman,

ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

“Berdoalah kepadaKu, niscaya akan Kuperkenankan bagimu.”
(Al-Mukmin: 60).

Diriwayatkan dalam kitab at-Tirmidzi dari Ubadah bin ash-Shamit R.A, bahwa Rasulullah S.A.W bersabda,

مَا عَلَى وَجْهِ اْلأَرْضِ مُسْلِمٌ يَدْعُو اللهَ بِدَعْوَةٍ، إِلاَّ آتَاهُ اللهُ إِيَّاهَا، أَوْ صَرَفَ عَنْهُ مِنَ السُّوْءِ مِثْلَهَا، مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيْعَةِ رَحِمٍ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ: إِذًا نُكْثِرُ؟ قَالَ: اللهُ أَكْثَرُ

“Tidaklah seorang Muslim di muka bumi ini yang berdoa kepada Allah dengan sebuah doa melainkan Allah pasti memakbulkan permintaannya, atau Allah menyingkirkan keburukan darinya (sebagai gantinya) dengan sebesar permintaannya (dari segi kualiti dan kuantiti), selama dia tidak berdoa untuk suatu perbuatan dosa atau minta untuk memutuskan silaturrahim’. Maka seorang laki-laki dari suatu kaum berkata, ‘Kalau begitu kami akan memperbanyak (doa)’. Nabi menjawab, ‘Allah (memiliki pemberian) lebih banyak (daripada permintaanmu) ~Abundance~’.”

(Hadits Hasan Shahih, diriwayatkan oleh Ahmad)

Dan diriwayatkan oleh al-Hakim Abu Abdillah dalam al-Mustadrak ‘Ala ash-Shahihain dari riwayat Abu Sa’id al-Khudri, dan dia menambahkan di dalamnya,

أَوْ يَدَّخِرَ لَهُ مِنَ اْلأَجْرِ مِثْلَهَا.

“….atau Dia menyimpankan pahala semisal untuknya.”



Bersabar dan Tenang / Feel good


Diriwayatkan dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, dari Abu Hurairah R.A, dari Nabi S.A.W, baginda bersabda,

يُسْتَجَابُ لأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ فَيَقُوْلَ: قَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي.

“Doa akan dimakbulkan untuk setiap dari kamu selagi kamu tidak tergesa-gesa (minta dimakbulkan) yang mana yang berdoa itu bertanya-tanya, ‘Saya telah berdoa, tapi mengapa masih belum dimakbulkan untukku’.” -(HR Bukhari)



wallahuaklam,

arjunasetia...don't trust me if you didn't want to

5 ulasan:

  1. entry ni sangat bermnfaat..

    BalasPadam
  2. salam.. baru saja menamatkan satu paper yg menyesakkan dada,. persetiaan rapi sudah dilakukan.. seiring dgn flow yg diharapkan.. doa juga sudah diuntaikan..seiring dengan adab yg patut dihadapkan.. lalu saat menjawab soalan, tangan jadi kelu tiada ujung cerita.. fikiran jadi menerawang entah kemana.. diusaikan juga dengan sekudrat jiwa dan raga.. namun jiwa tenang entah mengapa.. seakan redha kerna sudah usaha.. lalu apa katamu utk itu? (hanya mohon respons mungkin berkaitan dgn hukum yg anda gemburkan).

    BalasPadam
  3. InsyaAllah, saya optimis anda pasti akan menemukan jawapan yang positif

    BalasPadam
  4. entry yg sgt bagus...buat diri trpikir betapa selama ini slalu mempertikaikan kenapa Allah x makbulkan doa yg dipohon..sdgkan DIA Maha Mengetahui yg trbaik utk hambanya..

    BalasPadam

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]