Rabu, 20 Oktober 2010

Proton Wira Coklat, US$2742.25 dan “The Secret”

oleh Zamri Nanyan

Pernahkah anda menonton video “The Secret” atau membaca buku karangan Rhonda Byrne yang mempunyai tajuk yang sama?

Di dalam buku atau video ini, anda akan mempelajari satu konsep yang dinamakan “The Law Of Attraction” atau “Hukum Tarikan”.

1. Pohon apa yang anda inginkan
2. Alam ini akan menjawabnya
3. Anda akan dapat apa yang anda minta

Ini merupakan sinopsis daripada “The Secret” tetapi bagi saya dan anda yang percaya wujudnya Tuhan, konsep ini sama dengan melakukan doa kepada yang Maha Esa. Doakan sesuatu yang anda inginkan dan jika diizin olehNya, maka sesuatu yang anda doakan akan dimakbulkan.
Walaupun konsepnya semudah A-B-C atau 1-2-3 seperti di atas, ianya memerlukan penghayatan dan kepercayaan yang mendalam sebelum anda dapat merasainya.

Buku seperti “Think & Grow Rich” daripada Napoleon Hill juga menekankan pemikiran (Think) untuk mencapai kekayaan (Grow Rich) dan tidak hairan lagilah kenapa banyak buku dan program pembangunan diri seperti NLP, motivasi, keyakinan diri dan banyak lagi dianjurkan walaupun ianya tiada “kaitan secara langsung” dengan membina kekayaan.
Ini kerana kaitan yang wujud ini sukar difahami dan dimengertikan melainkan seseorang itu sendiri yang mengalami apa yang diajarkan.

Apa kaitannya dengan Proton Wira Coklat dan US$2,742.25?

Biar saya ceritakan satu pengalaman menarik yang berlaku kepada saya 2 minggu yang lepas.
Sudah sekian lama saya bercadang untuk membeli sebuah kereta untuk ibu bapa saya. Kereta Ford yang lama sudah tidak dapat digunakan lagi.
Jadi, saya membuat cadangan untuk setiap beradik daripada keluarga saya menyumbangkan apa yang termampu untuk membeli sebuah kereta untuk kegunaan ayah dan emak saya.
Saya menyumbangkan hampir RM10,000 dan selebihnya disumbangkan oleh 3 orang adik saya.
Wang pun cukup dan sebuah kereta Proton Wira berwarna coklat pun dibeli.




Saya pasti ayah dan emak saya gembira.
Saya pun puas dengan apa yang kami adik beradik lakukan untuk ayah dan emak. Paling tidak, sekarang mereka akan senang bergerak ke sana sini dengan Proton Wira tersebut.
Walaubagaimanapun, saya berazam dan berdoa supaya wang yang saya keluarkan akan saya usahakan untuk mendapatkannya kembali. Bukannya berkira tetapi saya lakukannya sebagai motivasi diri.
Sudah ada perancangan di dalam fikiran untuk melakukannya dan seperti “magik”, sesuatu yang saya tidak fikirkan berlaku.




Saya memang selalu menerima pembayaran melalui PayPal (sistem pembayaran melalui internet). Ada yang sedikit dan ada juga yang banyak tetapi satu transaksi pada 23 Disember yang lepas menarik perhatian saya.US$2,742.25 dibayar kepada saya di atas usaha saya mempromosikan produk “Affiliate Classroom“. Setakat yang saya tahu, saya cuma mempromosikan Aff Sphere sebelum ini dan selebihnya pemilik program “Affiliate Classroom” ini menjalankan “follow-up” dan jualan produk susulan lain bagi pihak saya.

Selepas ditukarkan ke matawang Ringgit Malaysia (RM), saya dapati nilainya hampir sama dengan wang yang saya sumbangkan untuk membeli kereta kepada ayah saya.
Saya terdiam sejenak.

Mungkinkah inilah “The Law Of Attraction” yang dibincangkan atau mungkin inilah hasil doa dan usaha saya untuk sentiasa memberikan saingan kepada diri saya sendiri.

Walau apa pun yang anda andaikan, saya percaya bahawa rezeki yang telah ditetapkan untuk saya tidak ke mana. Ianya cuma beralih arah untuk seketika dan kembali kepada saya dalam masa yang begitu singkat.

Sudah tentu saya masih lagi menerima pembayaran melalui PayPal selepas peristiwa ini berlaku tetapi US$2,742.25 adalah satu angka yang terlalu dekat dengan apa yang saya belanjakan untuk kesenangan ayah dan emak saya – dan ini memeranjatkan saya.

Peringatan untuk saya yang seterusnya ialah sentiasa berbudi kepada ayah dan emak kerana ada berkat di dalam perkara baik yang anda curahkan kepada mereka.
Sungguh bermakna sekali pengajaran yang saya terima pada kali ini.

Artikel ini adalah pautan dari :
http://rahsia.bisnesdigital.com/perniagaan-internet/proton-wira-coklat-us274225-dan-the-secret/
Terimakasih pada Encik Zambri Nayan atas sumbangan artikel ini.

Mengenai Penulis
Zamri Nanyan mula berkecimpung di dalam perniagaan Internet sejak tahun 2003. Internet juga memberikan Zamri kebebasan untuk meluahkan fikiran beliau, menambah ramai kenalan dari serata dunia dan menjana pendapatan pada masa yang sama. Beliau berasa puas sekiranya dapat membantu lebih ramai orang membongkar rahsia menjana pendapatan melalui Internet. Lawati laman web beliau di http://www1.BisnesDigital.com untuk mengenali Zamri Nanyan dengan lebih dekat.

1 ulasan:

  1. napa lagu cedey jer ni sifu?..frust ke? nge..

    BalasPadam

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]