Sabtu, 17 April 2010

Mengaplikasikan Husnuzzon Dalam kehidupan

Setiap dari kita mempunyai keinginan dan harapan dalam kehidupan kita. Dari sekecil-kecil impian hinggalah kepada keinginan yang besar. Persoalannya, bagaimanakah untuk kita mencapai apa yang kita impikan atau inginkan didalam kehidupan kita.

Kita tentu pernah mendengar ungkapan ' TIDAK SEMUA YANG KITA INGINKAN DALAM HIDUP INI AKAN KITA PEROLEHI'

Ungkapan seperti ini memang ternyata ada kebenarannya. Tetapi kita perlu memahami dengan betul apakah maksud sebenar ungkapan ini dari persepsi yang tepat. Pada pendapat peribadi saya, ungkapan ini merupakan satu pernyataan Negatif yang mana apabila kita menyetujuinya, kita telah mengesahkan di dalam minda kita bahawa tidak semua yang kita inginkan akan kita perolehi walaupun kita telah berusaha keras untuk mencapainya. Ungkapan ini juga hanya akan melemahkan semangat kita dalam usaha kita untuk mencapai sesuatu impian dan juga menyebabkan kita lebih cenderung mengeluarkan getaran negatif dalam diri kita. Dengan erti kata lain, kita telah menjadikan diri kita terperangkap dalam satu pendapat bahawa anugerah pemberian Allah itu terhad, sedangkan hakikat yang sebenarnya adalah disebaliknya.

Sedangkan Allah telah berfirman

" Allah telah menciptakan langit dan bumi, menurunkan air hujan dari langit, dengannya dikeluarkan buah-buahan yang boleh menjadi rezeki bagi kamu. Ia memudahkan bagi kamu kapal untuk belayar dilautan dengan perintahNya dan memudahkan kamu menggunakan sungai dan memudahkan untuk kamu matahari dan bulan yang terus beredar atau di sungai-sungai. Semuanya itu dengan perintahNya. Allah memudahkan bagi kamu dengan putaran malam dan siang. DIA MEMBERIKAN KAMU SETIAP PERKARA YANG KAMU POHON. Kiranya kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah tidaklah terkira, tetapi manusia itu zalim dan ingkar tidak berterima kasih. Ibrahim, (Ayat 31-34)

Dan Allah telah memberikan jaminan juga : Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina (Surah Ghafir:60)

Maka jaminan Allah didalam ayat-ayat diatas ini secara terang dan jelas membuktikan bahawa ungkapan 'Tidak semua yang kita inginkan dalam hidup kita akan dapat kita perolehi' adalah tidak benar sama sekali.

Persoalannya, adakah kita benar-benar ingin supaya apa yang kita impikan ini boleh kita capai? Tentu sekali kita ingin supaya keinginan kita tercapai dan dimakbulkan. Dan bagaimanakah pula cara dan kaedah untuk mencapainya?

Oleh itu, kita perlu mengenepikan ungkapan yang tersebut diatas tadi kerana ianya hanya akan membuatkan diri kita lemah, tidak bersemangat dan hanya berserah pada nasib sahaja. Atau pun kita mungkin akan berusaha, tetapi dengan semangat yang tidak konsisten, kerana minda kita telah disetkan dengan pendapat negatif bahawa ada kemungkinan kita tidak akan berjaya.

Seterusnya kita juga mesti sentiasa menyedari bahawa Allah hanya memberikan Yang Terbaik untuk hamba-hambanya. 'Yang baik itu dari Allah, dan yang khilaf itu dari kelemahan manusia sendiri dan firman Allah:

Allah tidak akan merubah nasib seseorang atau sesuatu kaum, sebelum orang itu atau kaum itu berusaha (menunjukkan komitmen) untuk mengubah nasib diri mereka. (Ar-Raad': 11)



Sebelum berbincang dengan lebih jauh lagi, kita perlu kembali semula pada tujuan asal kita diciptakan diatas muka bumi ini iaitu:

Firman Allah: DAN TIDAKLAH AKU CIPTAKAN JIN DAN MANUSIA MELAINKAN UNTUK MENGABDIKAN DIRI (BERAMAL IBADAH) KEPADAKU...(ADZ-DZARIYAT: 56)

Oleh itu, mintalah pada Allah apa sahaja yang kita inginkan, impikan, harapkan dalam kehidupan kita. Berdoalah kepada Allah, kerana, segala apa jua yang kita perolehi datangnya dari Allah S.W.T, Pemilik sekalian Alam Semesta yang mana Allah itu Maha Kaya Raya, Maha Pemurah (tidak kedekut) dan Maha Suka Memberi. Dalam pada kita berdoa itu, kita mestilah menerapkan dalam jiwa kita, bahawa setiap perkara yang kita inginkan tadi, setelah kita perolehi (dimakbulkan Allah) adalah bertujuan tidak lain hanya untuk memudahkan kita mengabdikan diri kita kepada Allah dengan semaksima mungkin. Kita perlu menghindari diri kita dari menjadi lupa diri, tamak, angkuh dan tidak bersyukur. Kerana Allah boleh menarik balik apa jua nikmat yang telah diberikan kepada kita pada bila-bila masa sahaja.

Jika nak copy paste atau nak link ke, mintak izin dari blogger dulu atau letakkan link asal artikel yg dikongsikan. Hidup biar ada adab.

Artikel asal susunan : arjunasetia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalan pesanan anda

Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa diberi KEBAIKAN kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, ‘jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka dia sungguh telah memberikan PUJIAN yang sangat baik.”
[HR Tirmidzi]